Sabtu, 12 November 2011

Tuah ‘Chugo’ SM St Michael


Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah
by NIK JASNI CHE JAAFAR nikjasni.ub@gmail.com. Posted on November 12, 2011, Saturday


MENANG...Pasukan dari St Michael (dari kiri) Mandy, Collin, Kelvin dan Daniel menunjukkan rekaan mereka 'Chugo' dan piala yang dimenangi mereka, kelmarin.


KOTA KINABALU: Rekaan perangkap nyamuk daripada buluh ternyata membawa tuah kepada kumpulan pereka dari SM St Michael, Penampang apabila terpilih sebagai johan Pertandingan Rekacipta Peringkat Sabah tahun ini.
Dianggotai pelajar tingkatan empat, Daniel Liew, Mandy William dan Kelvin Chan di bawah seliaan guru, Collin Andrew Chong, kemenangan itu melayakkan mereka mendatangani kontrak dengan syarikat terkenal dalam bidang rekacipta, Zull Design Autotronic.
Menggunakan buluh, yis, gula perang dan air, Daniel yang juga ketua kumpulan itu mendedahkan idea penciptaan alat yang dipanggil ‘Chugo’ itu terhasil setelah selalu mendengar tentang ancaman Denggi oleh nyamuk Aedes.
“Kos membuatnya tidak mahal dan tidak ambil masa yang lama kerana hanya menggunakan buluh sebagai bahan utama,” katanya yang menambah, ujikaji selama seminggu dilaksanakan oleh pasukannya bagi memastikan keberkesanan alat tersebut.
Ditemui di majlis anugerah itu kelmarin, katanya, untuk menjadikan produk itu lebih menarik pada masa depan, mereka mungkin boleh menambah ukiran pada rekaan itu.
Sementara itu, Collin berkata kemenangan itu adalah di luar jangkaan dan ia adalah ganjaran kepada usaha para pelajarnya.
“St Michael adalah sekolah lestari yang mementingkan alam sekitar. Jadi, ini adalah gambaran kepada didikan yang diberikan oleh pihak sekolah kepada mereka,” katanya yang merupakan guru biologi.
Beliau yang bangga atas kejayaan pelajarnya itu berkata idea produk itu adalah ilham pelajar sepenuhnya dan beliau hanya memberi bimbingan dan nasihat bagi merealisasikan penciptaan alat itu.
Sementara itu, selain kontrak, pemenang bakal menerima royalti berdasarkan kepada perjualan rekacipta mereka. Namun, pemenang juga boleh memilih untuk menjual terus hak rekacipta kepada syarikat dipilih oleh penganjur.
Menerima lebih seratus penyertaan pada peringkat awal, pertandingan bagi kategori Automasi Rumah-Alat Membunuh/Perangkap Nyamuk itu menyaksikan enam ciptaan mara ke peringkat akhir.
Selain SM St Michael, Penampang, lima lagi rekaan yang bertanding di peringkat akhir adalah ‘MT2′ oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri diketuai Andy Sunny Abdul Kadir, serta ‘Mosco Trap’ diketuai Ahmad Quzazi Matimpan dan ‘Aedes Mirror Miracle’ diketuai Keristy Jose dari SMK Kota Marudu 2.
Dua lagi rekaan adalah ‘Rumah Nyamuk’ oleh SMK Kundasang diketuai Nurul Hamizah Jabidin serta ‘X Factor’  oleh MRSM Kota Kinabalu diketuai Mohd Khairul Anwar Hj Jolbi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...