Sabtu, 6 Oktober 2012

Venovox: Banyak syarikat hadapi masalah calon guna ijazah palsu



KUALA LUMPUR - Syarikat Malaysia mesti melaksanakan program pemeriksaan pekerja sebagai prosedur operasi standard sebelum memilih calon sesuai untuk mengurus operasi mereka bagi mengelak mengambil pekerja yang tidak berkelayakan dan terlebih bayar gaji, kata Ketua Pegawai Operasi Venovox Sdn Bhd Rebecca.
Beliau berkata di Amerika Syarikat, Britain dan Jepun, program pemeriksaan pekerja diwajibkan.
"Apabila datang ke Malaysia dan beroperasi, syarikat menjadikan pemeriksaan ke atas semua pekerja sebagai dasar syarikat," katanya kepada Bernama pada temu bual.
Menurutnya banyak syarikat kini berhadapan masalah berikutan ada calon yang menggunakan ijazah palsu dan memberikan maklumat palsu mengenai pengalaman masing-masing.
"Jika pemeriksaan tidak dijalankan, dan calon itu diterima bekerja, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat, malah menamatkan perkhidmatan mereka juga sukar," katanya.
Berdasarkan kemajuan teknologi, sukar untuk pegawai sumber manusia mengesan ijazah palsu.
"Kita memiliki mesin penyalin dengan pencetak berkualiti tinggi, yang memudahkan calon memalsukan ijazah mereka," katanya.
Rebecca berkata menerusi program pemeriksaan pekerja Venovox, ia bukan sahaja memeriksa maklumat yang disediakan oleh calon dalam resume masing-masing, malah membuat risikan ke atas latar belakang mereka.
Menurutnya syarikat itu juga dapat mengesan sama ada ijazah yang diberikan itu palsu atau tulen, dan menambah mereka yang memalsukan sijil memiliki kemahiran dan menggunakan kelayakan itu untuk menuntut gaji yang tinggi.
Bagi sijil palsu, ia juga melibatkan pelbagai jenis, katanya.
"Sama ada ijazah itu tidak diperakui atau dipalsukan dengan menukar nama pada sijil," katanya.
Beliau berkata menerusi program itu, majikan dan pekerja turut memperoleh manfaat.
"Jika kelayakan anda (pekerja) dicabar, anda boleh menggunakan program pemeriksaan ini untuk mempertahan diri," katanya.
Venovox, penyedia global, membantu perniagaan di seluruh dunia untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang ada dan mengurangkan risiko tempat kerja.
Syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 11 November tahun lepas itu antara lain pakar dalam carian rekod jenayah, pengesahan pekerjaan pemeriksaan rujukan, pengesahan pendidikan dan kesalahan lalu-lintas. - Bernama

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...