Ahad, 16 Oktober 2011

Malaysia negara kedua paling selamat di Asia


by WILLIE JUDE JUNAIDI,wjudeub@gmail.com


APA KHABAR ... Khalid (kanan) bersalaman dengan salah seorang peniaga di Jalan Gaya kelmarin.

Juga berada di tangga ke 19 daripada 153 negara seluruh dunia

KOTA KINABALU:  Kedudukan Malaysia dalam senarai negara paling selamat di dunia pada tahun ini terus meningkat apabila berada di tangga ke-19 daripada 153 negara dari seluruh dunia.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata kajian daripada badan bebas antarabangsa iaitu Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) itu juga menujukkan Malaysia menjadi negara kedua paling selamat di Asia selepas Jepun.
“Pada 2009, Malaysia berada di tempat ke-26 dan pada 2010 hasil kajian IEP menempatkan negara kita di tangga ke-22 dalam senarai negara paling selamat di dunia mengatasi Singapura.
“Bagi tahun 2011 ini pula, hasil kajian terbaru menunjukkan kedudukan Malaysia terus meningkat sebanyak tujuh tangga berbanding tahun 2009,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Ops Utama Perdana Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) peringkat negeri di Lintasan Deasoka di sini kelmarin.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.
Menurut Khalid, peningkatan berkenaan menunjukkan kejayaan pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah di negara ini.
Jelasnya, ia juga membuktikan kejayaan 21 inisiatif di bawah program NKRA yang ditetapkan oleh PDRM dengan sasaran mengurangkan lima peratus indeks jenayah dan 40 peratus jenayah jalanan.
“Ini adalah pencapaian dan peningkatan yang sangat membanggakan dalam tempoh tiga tahun terutamanya dalam konteks kesungguhan kita menentukan negara kita tersenarai sebagai dua puluh negara di kategori teratas yang paling selamat dan aman di dunia,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, selain pelbagai program yang dilaksanakan pihak polis, beliau berharap kolaborasi antara polis dan masyarakat dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, melalui pendekatan itu setiap pihak akan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk bersama-sama membanteras jenayah.
“Hakikatnya, seperti yang kita semua tahu polis tidak dapat bertindak secara sendirian tanpa kerjasama semua pihak terutamanya di kalangan masyarakat itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri ini, tumpuan akan diberikan di kawasan panas khususnya di Kota Kinabalu yang menyumbangkan hampir 50 peratus indeks jenayah di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...