Sabtu, 29 Oktober 2011

Senapang patah, barang curi dirampas


Sumber:
Utusan Borneo

by Rosemaria Buma. Posted on October 29, 2011, Saturday

RAMPAS: Jamaluddin (tengah) menunjukkan selaras senapang patah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pin Fook Garden, Jalan Airport di Miri awal pagi semalam sambil disaksikan Nixon (kanan) dan Khusaini.


Polis Miri yakin selesai beberapa kes pecah rumah ekoran dua serbuan berasingan


MIRI: Polis Miri semalam merekodkan dua kejayaan apabila merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri dan beberapa barangan curi bernilai RM10,000 dalam dua serbuan berasingan di Jalan Airport dan Desa Senadin di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim berkata, berikutan dua serbuan itu, polis menangkap dua lelaki dan seorang perempuan dalam serbuan pertama yang dilakukan di sebuah rumah di Desa Senadin dan seorang lagi lelaki dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Pin Fook Garden, Jalan Airport di sini.
“Kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang berlaku di sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya tiga suspek dalam serbuan pertama di Desa Senadin tengah malam semalam,” katanya.
Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini, pagi semalam.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri, Deputi Superintenden Polis (DSP) Nixon Joshua Ali dan pengawai penyiasat kes, Inspektor Khusaini Sulaiman.
Menyentuh lanjut kes itu, Jamaluddin berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 12.30 tengah malam, sepasukan polis diketuai Asisten Superintenden Polis (ASP) Cheong Soon Yew dari Bahagian Siasatan Jenayah Miri telah menangkap dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 28 tahun serta seorang perempuan, 17 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini.
Dalam serbuan sama, katanya, polis merampas dua komputer riba, dua kamera, lima unit telefon bimbit dan empat utas jam tangan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000 untuk dijadikan barang kes kerana dipercayai harta curi.
“Kita turut menjumpai dan merampas dua paket plastik kecil lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya sambil menambah ketiga-tiga suspek terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan kes mengikut Akta 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, menurut Jamaluddin, dalam serbuan kedua yang dilakukan jam 6 pagi di sebuah rumah di Pin Fook Garden, Jalan Airport di sini, polis telah menangkap seorang lelaki berusia 30-an dan merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri.
“Tangkapan ke atas suspek telah dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana kesalahan memiliki senjata api tanpa memiliki lesen atau permit yang sah,” ujar beliau sambil memberitahu tiada peluru dijumpai dalam senapang berkenaan.
Katanya, suspek yang merupakan pekerja di sebuah syarikat swasta akan dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ada memiliki senjata api hendaklah mendapatkan lessen yang sah untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah.
Pada masa sama, Jamaluddin terus mengharapkan kerjasama yang padu daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat yang berkualiti dalam membantu polis membanteras kegiatan jenayah di bandar raya ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...