Sumber:
Utusan Borneo
Posted on October 29, 2011, Saturday
TUNTUT KEADILAN: Yusri ditemani ayahnya (kiri) ketika ditemui media di Lawas. |
LAWAS: Anak Ketua Kaum Kampung Serdang Lawas yang koma selama dua hari kerana kecederaan di kepala selepas mendakwa dipukul oleh anggota penguat kuasa menyifatkan kejadian malang terhadapnya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Mangsa, Yusri Usop, 37, mendakwa beliau diserang oleh tiga lelaki bertopeng dan bersenjata ketika mengail udang di Sungai Merapok, berdekatan dengan sempadan Sabah pada 25 September lalu.
Ayah mangsa, Ketua Kaum Kampung Serdang Lawas, Usop Ibrahim kesal kerana belum ada tindakan dikenakan ke atas anggota berkenaan atas kekasaran yang dilakukan terhadap anaknya.
Yusri mendakwa, selain tangannya diikat, kepalanya juga dipijak dan badannya ditendang berkali-kali.
Kata Yusri, salah seorang daripada mereka memperkenalkan dirinya sebagai ‘anggota’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Cawangan Labuan.
Yusri menjelaskan, dia kemudiannya dihentak di kepala dengan pangkal senapang oleh ‘anggota’ terbabit yang menyebabkannya pengsan.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius dibantu oleh dua rakan nelayan yang membawanya ke Hospital Lawas sebelum dirujuk semula ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah yang terletak tiga jam perjalanan.
“Anak saya koma selama dua hari. Saya kesal dengan tindakan kasar dan salah guna kuasa mereka. Saya rasa ramai nelayan di sini pernah dikasari yang menyebabkan mereka takut keluar ke laut,” jelas Usop.
Menurutnya, anaknya masih trauma dengan kejadian itu dan belum bersedia untuk keluar ke laut bagi mencari rezeki menyara keluarga dan tiga anaknya yang bersekolah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Fauzilan Abdul Aziz mengesahkan bahawa mangsa telah melaporkan kejadian berkenaan kepada mereka.
Menurut Fauzilan, siasatan lanjut masih dilakukan berhubung kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan