Assalamualaikum WBT,
Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat walau di mana berada. Hari ini dah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Dan menyaksikan juga jalan-jalan keluar KL dan Putrajaya padat dengan pelbagai kenderaan. Ini adalah pemandangan rutin setiap kali tibanya bulan yang mulia ini. Kepada pengguna-pengguna jalan raya, banyakkan bersabar. Alangkah begitu harmoni, puasa diiringi kesabaran.
Ada segelintir pemandu berdesap-desup menyelinap di celahan kereta-kereta yang sabar berbaris.
Nilai-nilai ini boleh dilihat di mana-mana lebuh raya. Bagi saya yang bertugas di Putrajaya dan berulang alik ke Semenyih, Saya perlu lebih berhati-hati mengemudikan kenderaan. Bukan apa, kelihatan di atas jalan ada manusia lain yang menunjukkan mimik muka yang tidak sabar-sabar orangnya. Kelihatan rakus dan ghairah memandu jentera yang diubahsuai ekzosnya. Jentera yang mengelirukan dari segi keluaran. Sekali pandang jentera itu seperti dikeluarkan dari Texas, pandang kali kedua, baru tahu ia dibeli di Semenyih. Pengemudi melakukan aksi menggerakkan jentera selaju-lajunya. Meninggalkan Texas jauh ke belakang. Kelihatan di muka terpapar wajah membusung dada. Bangga memiliki kereta di bawah harga. Lagak di jalan melebihi tokoh korporat berjaya. Kenapa semangat memandu melulu tidak digunakan dalam diri untuk memiliki semangat merubah kehidupan. Gunakan semangat itu untuk cari kejayaan dan kekayaan. Biar kita lagak Semenyih, tetapi miliki Texas. Berhati-hati di jalanraya. Banyakkan bersabar. Biar keluarga dapat berbuka puasa bersama kita bukan bergegas menjaga kita dek kemalangan yang menimpa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan