Ahad, 12 Julai 2009

Suatu Masa Dahulu

Suatu masa dahulu, sewaktu penulis masih bersekolah di Sekolah Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Penulis begitu menghormati guru-guru yang mengajar di sekolah. Ibu dan bapa penulis walaupun berasal dari kampung sentiasa mengingatkan penulis untuk meletakkan guru pada tempat yang tinggi. Mesti hormat. Mesti beri salam. Mesti patuh dengan arahan guru. Rakan-rakan yang lain pasti mempunyai pengalaman yang sama. Kalau kita mengadu dihukum oleh guru, ibu bapa akan 'menambah' lagi. Ibu bapa tidak pernah memenangkan kita. Apa yang ibu bapa tahu, tugas kita ke sekolah untuk belajar dan mendapatkan ilmu pengetahuan.
Kalau kita tidak pergi ke sekolah, kita sendiri berasa malu untuk keluar dari rumah selagi sesi persekolah belum tamat. Bukan apa, masyarakat sekeliling pasti bertanya kenapa kita tidak pergi ke sekolah. Apatah lagi kalau ponteng sekolah, pasti satu kampung menangkap dan memberi syarahan berjela-jela. Syarahan tersebut bersambung lagi di rumah. Justeru, kita sebagai pelajar takut untuk melakukan kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan pelajar-pelajar masa kini. Kita hormat guru dan orang yang lebih tua daripada kita. Bagaimana perkara ini boleh terlaksana. Sebabnya adalah didikan sempurna daripa ibu bapa kita dan masyarakat yang begitu prihatin dengan anak-anak bangsanya. Kita hanya perlu membuang rasa ego untuk belajar daripada ibu bapa terdahulu. Meniru gaya masyarakat suatu masa dahulu.
Sebagai ibu bapa kenapa kita tidak berupaya untuk mendidik anak-anak di rumah. Sekolah bukanlah Taman Asuhan Kanak-Kanak yang dihantar oleh ibu bapa moden untuk guru-guru menjaganya. Pelajar-pelajar hanya berada di sekolah pada pukul 7.20 pagi sehingga pukul 1.20 petang. 6 jam satu hari di sekolah. 18 jam lagi di mana pelajar-pelajar ini berada. Kenapa apabila anak-anak kita melakukan kesalahan, kita dengan sombongnya menyalahkan guru-guru. Salah kawan-kawan. Anak sendiri tidak pernah salah. Butakah mata kita apabila melihat personaliti anak-anak kita. Rambut merah. Kuku merah berkilat dan panjang. Tindik telinga berbaris-baris, di lidah dan dihidung serta pelbagai tempat. Bibir hitam hisap rokok. Anak-anak ini sepatutnya berada bersama kita dan kita sebagai ibu bapa wajib menegur dan bertindak sebagai seorang ayah dan ibu suatu masa dahulu. Bukan takut dengan anak. Bukan menjadi hamba anak. Bukan menjadi orang suruhan anak dan yang paling tidak bernilai, disepak terajang oleh anak. Pada masa itu barulah sibuk menyalahkan orang lain. Kalau guru-guru menegur rambut yang tidak mengikut peraturan, ibu bapa ini membela anak-anak. Kata mereka ini fesyen remaja, tidak boleh halang. Kalau mengadu anak-anaknya ponteng sekolah dan minta datang ke sekolah, ibu bapa menghantar datuk dan nenek anak-anak tersebut untuk berbincang dengan guru-guru. Alasannya mereka sibuk. Cari duit. Bekerjaya. Kadang-kadang kasihan juga golongan ini, hal anak-anak tidak diendahkan. Cari duit tidak pernah cukup. Bangga pula tu suruh anak cakap dengan guru-guru yang mereka ini dah kaya. Tidak payah belajar. Kalau begitu kenapa dihantar ke sekolah. Kenapa tidak hantar ke sekolah international yang yurannya mencecah ribuan ringgit. Sekolah kerajaan percuma.
Kemudian timbul cadangan-cadangan di dalam akhbar supaya diletakkan polis dan tentera untuk mengajar di sekolah menengah. Tidak ada masalah, dapatkan dahulu Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dari IPT. Kemudian dapatkan Diploma Perguruan barulah boleh mengajar pelajar-pelajar sekolah menengah yang menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Alasan mereka adalah untuk mendisiplinkan pelajar. Cadangan-cadangan yang melucukan ini mungkin datang daripada mereka yang tidak pernah mendapat pendidikan tinggi tetapi mempunyai idea-idea peringkat menteri.
Kesimpulannya, sama-sama kita memainkan peranan untuk mendidik generasi kini. Guru-guru teruskan usaha mendidik. Ibu bapa kembali seperti suatu masa dahulu. Masyarakat pula lakukan amali bukan sembang kosong di kedai kopi.
Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...