Rabu, 18 Januari 2012

KHOO KAY KIM DAKWA HANG TUAH BERSAUDARA DAN HANG LI PO TAK PERNAH WUJUD!



PETALING JAYA – Masyarakat Malaysia secara amnya mengetahui tentang sejarah negeri Melaka biar pun ada yang bukan berasal dari negeri tersebut.
Antara yang paling kerap diperkatakan ialah mengenai Hang Tuah lima bersaudara, Puteri Gunung Ledang dan Puteri hang Li Po semestinya.
Menurut sejarah Melayu negeri Melaka, Puteri Hang Li Po yang berasal dari negara China merupakan isteri yang kelima bagi Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka yang telah memerintah dari tahun 1456 hingga tahun 1477.
Diselitkan juga dalam sejarah negeri itu, terdapat cerita legenda pahlawan Melaka yang terdiri daripada lima sahabat iaitu, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Kisah lima sahabat yang sarat dengan nilai-nilai persahabatan dan kesetiaan kepada raja dan negeri mereka  itu menjadi terkenal dan sering diceritakan semula oleh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun sejarawan terkenal, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim yang ditemu bual oleh sebuah stesen radio tempatan, Business Radio Station (BFM) mendakwa sebaliknya.
Katanya, Hang Li Po dan kelima-lima pahlawan negeri Melaka itu tidak pernah wujud!
Memetik laporan daripada Free Malaysia Today (FMT), Canselor di Kolej KDU itu berkata, beliau telah membaca penulisan dari dua ahli sejarah Barat dan satu rekod sejarah oleh tokoh sejarawan terkemuka, Wang Gung Wu tentang hal ini.
Menurut rekod ahli-ahli sejarah tersebut, Dinasti Ming tidak pernah menyebut atau menulis watak pahlawan-pahlawan Melaka yang terkenal sejak zaman dahulu.
“Sejarah mestilah berdasarkan rekod yang empirikal dan tepat, dan ahli-ahli sejarah hanya perlu menerima rekod bertulis yang sahih, ” katanya.
Selain itu, Kay Kim juga menyatakan tiada bukti kukuh dalam rekod-rekod Malaysia menyatakan kewujudan lima pahlawan Hang tersebut.
“Tidak ada bukti dalam rekod-rekod Malaysia dan ini adalah cerita saja. Pencerita-pencerita sejarah menceritakan semula sejarah ini berdasarkan ‘cerita’ dan bukannya bukti,” tambahnya.
Untuk menguatkan lagi dakwaannya, Kay Kim memberitahu ahli-ahli sejarah telah pun menjalankan penyelidikan yang bersungguh-sunguh tentang dakwaan cerita sejarah tersebut.
“Kita memang mempunyai banyak cerita tentang sejarah ini. Hanya baru-baru ini, ahli-ahli sejarah telah bersusah payah melakukan penyelidikan sejarah awal negeri Melaka itu dan mendapati banyak cerita-cerita yang dimaklumkan pada masa lalu tidak dapat dibuktikan, “katanya.
Kay Kim juga memberitahu FMT bahawa terdapat khabar angin bahawa kerajaan Melaka telah diasaskan pada tahun 1292 walaupun terdapat rekod-rekod membuktikan bahawa ia ditubuhkan pada abad ke-15.
Beliau menambah, kerajaan telah mengarahkan jawatankuasa sukatan pelajaran melalui sukatan pelajaran sejarah sekolah untuk membetulkan kesilapan-kesilapan seperti yang beliau dakwa.
Sukatan pelajaran ini bagaimanapun hanya akan diperkenalkan pada tahun 2014 –Oleh NAIMAH SHAARI
17/1/12
ULASAN 
Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin 

Hang Tuah Memang Wujud, Jangan Nafikan!

Kelmarin kita dikejutkan dengan kenyataan sejarawan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim yang menyanggah kewujudan Hang Tuah lima bersaudara dan Puteri Hang Li Po.
Katanya, Hang Li Po dan kelima-lima pahlawan negeri Melaka itu tidak pernah wujud!
Memetik laporan daripada Free Malaysia Today (FMT), Canselor di Kolej KDU itu berkata, beliau telah membaca penulisan dari dua ahli sejarah Barat dan satu rekod sejarah oleh tokoh sejarawan terkemuka, Wang Gung Wu tentang hal ini.
Menurut rekod ahli-ahli sejarah tersebut, Dinasti Ming tidak pernah menyebut atau menulis watak pahlawan-pahlawan Melaka yang terkenal sejak zaman dahulu.
“Sejarah mestilah berdasarkan rekod yang empirikal dan tepat, dan ahli-ahli sejarah hanya perlu menerima rekod bertulis yang sahih, ” katanya.
Mungkin artikel yang pernah tersiar dalam Kosmo! kira-kira dua tahun dulu boleh membuatkan kita merenung kembali kenyataan yang dibuat oleh Kay Kim;
Timbalan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep) Melaka, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin memberitahu, apa yang terkandung dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah bukan berpaksikan khayalan semata-mata.
Menurutnya, watak-watak yang disebutkan di dalamnya adalah catatan dan ingatan terhadap peristiwa yang berlaku pada zaman dan persekitaran zaman itu. Selanjutnya, ia terkesan dalam masyarakat sehingga akhirnya ia direkod secara bertulis oleh penulis hikayat.
“Selain daripada dua kitab itu, di Melaka, makam Hang Tuah juga sudah ditemui dan dibuka untuk kunjungan awam di Tanjung Kling. Begitu juga dengan penemuan sebuah perigi di Duyong.
“Mengapa masih ada yang tidak percaya mengenai jejak Hang Tuah?,” soal Mohd. Jamil yang melahirkan rasa kurang senangnya terhadap golongan yang mahu menafikan kebenaran Hang Tuah.
Apatah lagi dokumentasi hidup Laksamana Hang Tuah dalam hikayatnya bukan sahaja tersimpan baik di dalam negara, malah salinannya mendapat tempat di perpustakaan terkemuka di London dan Belanda sebagai naskhah rujukan dunia Melayu.
“Bukankah setiap catatan yang bertunjangkan kisah ketuanan Melayu dan Islam sering menjadi sasaran perubahan yang dirancang?
“Laksamana Hang Tuah bukan sahaja pahlawan dunia Melayu negara ini, malah seorang tokoh yang diagungkan di seluruh gugusan Melayu Nusantara ketika abad ke-15,” rumus Mohd. Jamil.
Walau bagaimanapun, kisah Hang Tuah seakan hilang jejak selepas Sultan Mahmud Shah dari Melaka berundur ke Johor.
“Sejak itu, nama Hang Tuah tidak dikaitkan dengan sebarang sejarah pembentukan dan perkembangan negeri ini,” kata Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd. Ismail Jamjam.
Menurut pemilik nama pena Zam Ismail itu, walaupun negeri Johor tidak memiliki apa-apa sokongan atau bukti sejarah mengenai kewujudan Hang Tuah, kewujudan pahlawan terbilang itu suatu masa dahulu tetap diyakininya.
“Keraguan tentang benar atau tidak Hang Tuah wujud berpunca kerana kita tidak memahami secara mendalam tentang pensejarahan Melayu.
“Memanglah ada antaranya yang dicedok daripada cerita-cerita lisan namun tidak bermakna kandungannya langsung tidak boleh diberi peluang untuk dinilai semula,” katanya.
Ismail berpendapat, ketika Tun Sri Lanang menulis Sejarah Melayu, tiada orang Melayu lain yang lebih arif untuk merekod apa yang berlaku pada zaman tersebut. Maka, itu adalah sumber paling hampir.
Ismail walau bagaimanapun tidak menafikan tentang perubahan jalan cerita, versi penceritaan dan kecenderungan untuk menokok-tambah dalam pengkisahan cerita lama.
Memandangkan dokumentasi antara penulis hikayat sedunia dahulu kala saling berkait akibat kerancakan aktiviti perdagangan laut, maka pertindihan fakta tidak dapat dielakkan hingga boleh mengelirukan.
Jalan keluarnya adalah dengan menjalankan kajian yang terperinci supaya kedudukan Hang Tuah lebih kukuh dalam pemikiran dan penilaian generasi semasa dan akan datang.
“Panglima Awang yang dianggap dongeng oleh masyarakat kita misalnya, diangkat sebagai figura penting dunia Melayu oleh penulis Barat. Mereka mencatatkan bahawa dia seorang yang berketurunan Orang Laut,” katanya memberi contoh.
“Sebarang usaha memutarbelit cerita tentang laksamana itu sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merendahkan ketuanan Melayu di negara ini hingga membuatkan masyarakat Melayu berasa lemah.
“Tindakan memperlekeh ini tidak boleh berterusan,” tegas Ismail yang juga tidak dapat menerima idea yang mengatakan Hang Tuah itu berketurunan Cina.
Apa pendapat anda agaknya?

2 ulasan:

  1. Pasai apala la ni baghu khoo kim kata Hang Tuah tak ujud?Dia dah ajaq sejarah sejak muda sampai ke tua di UM baru nak sanggah fakta sejarah ka? Pelik bin ajaib lak atau sejak pencen dan dah jadi cancelor KDU otak pun dah pusing???rasa bebas??Apa pun harap dia tak dipergunakan dan tak dipolitikkan isu ketuanan Melayu dan jangan lupa penulis sejarah Melayu Tun Sri Lanang yg kretif dan kita amat bangga dgn pahlawan Melayu dlm Hikayat Hang Tuah oleh Kassim Ahmad!!Takkan Melayu Hilang di dunia!!

    BalasPadam
  2. Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

    Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Windstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.

    BalasPadam

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...