Rabu, 18 Januari 2012

Karnival kahwin-kahwin Kedah mulai 6 April




Karnival Kahwin-kahwin Kedah 2012, yang mengetengahkan produk-produk perkahwinan tempatan, akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti dekat sini pada 6 hingga 8 April depan. 
 
Program anjuran Seri Panglima Sdn Bhd itu antaranya akan menampilkan produk butik pengantin, butik fesyen, kesihatan dan kecantikan, produk katering, fotografi dan videografi, pakej berbulan madu dan cenderamata.



Ketua Pegawai Eksekutif Seri Panglima Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail berkata karnival itu diadakan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri bagi memberi peluang kepada bakal pengantin baru di wilayah utara untuk mendapatkan keperluan perkahwinan secukupnya.
    
Beliau berkata karnival itu adalah hasil cetusan idea Pengerusi Eksekutif syarikat itu Tunku Putri Intan Shafinaz memandangkan sebelum ini pameran perkahwinan hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja.  
   
"Karnival ini menjadi satu destinasi persinggahan dan tempat untuk pasangan yang bakal berkahwin untuk memilih serta mendapatkan produk dan perkhidmatan perkahwinan dengan mudah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
    
Beliau berkata karnival itu juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan negeri yang sekaligus dapat menarik orang ramai untuk berkunjung ke Kedah dan mempromosikan Negeri Jelapang Padi.
    
Wan Ahmad berkata di pameran itu, pengunjung akan dapat melihat replika perkahwinan Diraja Kedah serta pameran foto perkahwinan Diraja dan koleksi peribadi kerabat Diraja Kedah.
    
Beliau berkata pihaknya turut membuka peluang kepada pengusaha butik perkahwinan untuk menyertai karnival bagi mengetengahkan produk-produk mereka kepada orang ramai.
    
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang di pejabat Seri Panglima Sdn Bhd di Kompleks Perniagaan Sultan Abdul Hamid, Alor Setar atau boleh melayari lamanweb di www.seripanglima.com.my.  
    
Beliau berkata pihaknya mensasarkan lebih 15,000 pengunjung sekitar negeri ini, Perlis, Pulau Pinang dan Perak akan hadir sepanjang tiga hari itu bagi memeriahkan karnival yang diserikan dengan pelbagai program.

Antara pengisian karnival yang bermula pada jam 10 pagi dan berakhir 10 malam itu adalah persembahan artis tempatan, pertandingan fotografi, pertandingan solekan dan andaman, gerai dan pelamin tercantik, pengiring kanak-kakak, pertunjukan fesyen busana muslimah dan cabutan bertuah. Masuk adalah percuma.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...