Salam buat semua,
Setiap kali kita tatap akhbar harian, sudah pasti mata melirik dan hati kita mendetik. Keganasan rumahtangga sudah menjadi satu asam yang digaram. Pada awal Februari yang lalu, seorang lelaki bernama suami bertindak mengamuk memukul dan menjerut leher wanita yang bernama isteri. Puncanya isteri tak beri 'nafkah' RM 100 untuk si suami membeli dadah. Si suami mentali ini, akhirnya dihukum tiga tahun penjara.
Apakah kita sebagai lelaki tidak punya harga diri. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak dan isteri adalah kewajipan yang tidak ada tepinya. Jangan kita sebagai lelaki menjadi 'gong', gedegong, gedegong, gedegong. Hanya bunyi sahaja mersik dan bergema. Kemudian terhenti. Palu lagi gong. gedegong, gedegong, gedegong.
Di kedai kopi kitalah pencipta cerita. Hanya bermodal secawan kopi, kita mula gedegong. Cerita kehebatan diri. Cerita tentang jenama. Cerita tentang memiliki duit ribuan ringgit. Cerita tentang kereta yang memiliki eksoz gergasi. Menderum. Akhirnya di hujung habisnya minum kopi, hanya dapat kebanggaan diri. Rasa diri dihormati. Di sebaliknya, apabila pulang ke rumah, anak dan isteri tidak makan nasi. Adakah kita sebagai lelaki akan terus begini bersama secawan kopi sambil gedegong, gedegong, gedegong. Palu sampai tidak lagi berbunyi.
Marilah kita insafi diri, jadilah suami mithali bukan mentali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan