Jumaat, 21 Oktober 2011

Kanak-kanak harus diajar, dilatih menyelamat diri semasa kebakaran


Utusan Borneo

BEGINI CARANYA: Salah seorang anggota bomba memberi tunjuk ajar kepada murid
 sekolah tentang cara mengendalikan alat pemadam api, sambil diperhatikan oleh yang lain.


SARIKEI: Kanak-kanak harus diajar dan dilatih menyelamatkan diri apabila menghadapi situasi getir terutama semasa berlaku kebakaran.
Pendedahan seperti ini mampu mengurangkan risiko mereka menghadapi bahaya semasa kebakaran kerana mereka tahu tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi tersebut.
Pegawai Bomba Sarikei Unjah Janggau berkata, justeru pihak bomba Sarikei akan berusaha menyalurkan pengetahuan dan maklumat yang terperinci mengenai fungsi bomba, langkah pencegahan kebakaran, tindakan yang seharusnya dilakukan apabila berhadapan dengan kebakaran dan punca kebakaran berlaku.
“Secara dasarnya pada masa sekarang punca berlakunya kebakaran adalah disebabkan kecuaian serta kelalaian manusia sendiri dan sikap endah tak endah dalam melakukan sesuatu tindakan.
“Namun begitu terdapat juga punca lain yang menyebabkan kebakaran seperti petir, kilat, khianat, kerosakan elektrik, merokok, geseran, terlalu panas, kebakaran spontan yang disebabkan oleh kanak-kanak, kimpalan (welding), tindak balas kimia dan lain-lain.
“Sehubungan itu kepada golongan kanak-kanak dan pelajar terutama yang tinggal di asrama harus diberi pengetahuan tentang perkara tersebut terutama langkah yang harus diambil dalam menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan situasi kebakaran agar mereka tidak panik dan bertindak sembarangan,” kata Unjah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah khas kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Su Tak, semalam.
Semasa ceramah tersebut antara aktiviti keselamatan yang lain turut diberikan penekanan adalah seperti langkah pengosongan bangunan, demonstrasi memadam api menggunakan alat pemadam api jenis serbuk, merasai sendiri memadam api kebakaran dengan menggunakan perkakas kebombaan serta mengenali perkakas yang digunakan oleh pihak bomba semasa menjalankan tugas.
“Pelajar juga boleh berfungsi menyalurkan maklumat yang sama kepada masyarakat yang tinggal di kampung atau rumah panjang khusus sekali menerangkan kepada ibu bapa mereka tentang maklumat diperolehi semasa sesi ceramah ini.
“Perkongsian maklumat ini juga merupakan satu cara penyaluran pengetahuan yang sangat baik kerana apabila mereka memberitahu ahli keluarga mengenai langkah pencegahan serta mengamalkan ‘good house keeping’ bagi mengelakkan berlakunya kebakaran terutama sebagai langkah awal pencegahan,” ujar Unjah.
Pada masa yang sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei turut menghulurkan bantuan kepada pihak sekolah terbabit memotong sebatang pokok yang tumbang menimpa pagar sekolah terbabit akibat ribut yang berlaku semalam.
Kira-kira 80 murid dan kakitangan sekolah terbabit menyertai program berkenaan.
Hadir sama pada program itu ialah Pegawai Balai Bomba Kanan Harun Jenai bersama beberapa anggota yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...