malaysiakini.com
Pengguna Internet bangkit menyatakan sokongan kepada Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas sebagai pensyarah, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Petaling Jaya.
Melancarkan laman (page) "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" di laman sosial Facebook, mereka turut menyindir kebebasan akademik di negara ini.
"Kebebasan akademik ala-Malaysia," tulis pentadbir laman itu apabila memuatkan semula pautan berita tentang penggantungan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Dalam tempoh beberapa jam sahaja dilancarkan, laman Facebook itu disukai (dengan menekan butang like) oleh 3,114 pelayar (setakat 7.07 petang).
Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang paling kanan universiti itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.
Belum ada reaksi UIA
Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian perhubungan awam UIA setakat ini masih belum berhasil.
Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan Datuk Prof Zaleha Kamaruddin daripada pejabat rektor mengesahkan surat itu dikeluarkan semalam.
Sementara itu, sebuah lagi laman "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" juga diluncurkan.
Setakat berita ini dikemaskini, ia sudah digemari 4,115 pelajar.
Pencipta kedua-dua laman ini tidak dapat dipastikan setakat ini.
Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan berhubung pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).
Aziz (kiri) sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.
Dalam perkembangan berkaitan, SKMM dan pihak polis juga menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan