Utusan Borneo
by Jessica Jawing. Posted on October 27, 2011, Thursday
KUCHING: Pusat-pusat latihan kemahiran disaran membuat perancangan strategik dan drastik bagi mempromosikan pendidikan teknik dan vokasional, yang disifatkan bidang paling penting pada masa akan datang.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata selain menggunakan pendekatan konvensional seperti merayu ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka, pusat latihan hendaklah berusaha menguar-uarkan pendidikan teknik dan vokasional.
Ia kata beliau perlu disertakan dengan penekanan daripada perspektif kerja dan anggaran gaji yang diterima setiap bulan.
“Sistem pendidikan teknik dan vokasional yang baik mampu menjana pembangunan sumber manusia berkualiti dan seterusnya memacu negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi yang memerlukan pekerja mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Kualiti Teknik Sejingkat 2011 di Sekolah Menengah Teknik Sejingkat yang dihadiri Pengetuanya Abdul Munap Shaikh Abdul Kadir di sini, semalam.
Bagaimanapun kata Fatimah di Malaysia kedudukan pekerja mahir sebanyak 25 peratus pada masa ini dan ia masih dianggap rendah berbanding negara jiran untuk memacu ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Misalnya kata beliau, Taiwan sudah mencapai tenaga kerja mahir sebanyak 33 peratus, Korea Selatan (36 peratus) dan Singapura (48 peratus).
Kerajaan kata beliau menyasarkan untuk mencapai 48 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2020 di negara ini, tetapi ia pasti memerlukan perancangan dan strategi yang akan memberikan hasil.
“Maka itu untuk mencapai perkara berkenaan kerajaan melakukan program transformasi pendidikan termasuk teknik dan vokasional yang bermula dengan 78 kolej vokasional beroperasi sepenuhnya pada 2013,” kata beliau.
Selain itu Fatimah memberitahu bahawa Kementerian Pelajaran turut memperkenalkan Program Aliran Vokasional (PAV) di sekolah harian di mana pelajar telah mula belajar ketika Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga.
Pada 2012 katanya, sebanyak 15 sekolah menengah menjalani projek PAV dan SMK Belaga telah dipilih dengan menawarkan kursus pendawaian elektrik.
Bagi Sarawak jelas Fatimah, dengan pertambahan kelas yang mengikuti PAV serta penglibatan institusi latihan awam dan politeknik sedia ada, sasaran yang dianggarkan sebanyak 435,210 tenaga kerja teknikal berkemahiran untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah sesuatu yang munasabah.
saya pun sekolah teknik , and tahun depan sekolah saya tu pun naik taraf jadi kolej vokasional tu , balik pukul 5 oo .
BalasPadam