Sabtu, 10 Disember 2011

Pelajar lemas, hasrat duduki kertas terakhir SPM tidak kesampaian



MENYAYAT HATI: Durin dan ibunya meratapi kematian anak tunggalnya yang ditemui lemas, petang semalam.


KUCHING: Hasrat seorang pelajar Tingkatan 5 untuk menduduki kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan tidak kesampaian apabila dia lemas ketika menangkap udang di Sungai Merdang Lumut, Muara Tuang di sini, semalam.
Mangsa dikenali Jerrels Rurin, 17, mengikuti bapa saudaranya ke Sungai Merdang Lumut yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Merdang Gayam untuk menangkap udang ketika kejadian tragis itu berlaku sekitar jam 10 pagi.
Menurut bapa saudaranya, David Japet, 41, beliau sibuk menebar jalanya ke sungai yang mana kedalamannya hingga ke paras dada dan hanya menyedari kehilangan anak buahnya 30 minit selepas mereka tiba di sungai itu.
“Saya fikir dia mungkin berada di atas tebing sungai dan (saya) pergi mencarinya. Saya cuba memanggil namanya, tetapi dia tidak menjawab… menyebabkan saya memikirkan yang dia terjatuh ke dalam sungai dan tenggelam,” katanya.
Bimbang kejadian buruk menimpa anak buahnya itu, David memberitahu, beliau bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan ibu Jerrels, Durin Japet, 48, mengenai kehilangan mangsa sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.
Durin, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik kerajaan menjelaskan, mangsa seorang yang hormat kepada orang tua dan rajin.
Mangsa bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka untuk membantu keluarganya termasuk nenek dan adik pe-rempuannya.
“Kami dari keluarga yang susah. Selain bekerja di kedai, anak saya akan mengikut bapa saudaranya ke sungai untuk menangkap udang untuk dijual bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya  sambil menambah mendiang bakal menduduki kertas terakhir SPM pada 13  Disember ini.
Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Samarahan, Tabuan Jaya dan Padungan termasuk sepasukan penyelam bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi.
Ketua Balai Bomba Tabuan Jaya, Tawang Lingem memberitahu, anggotanya menemui mayat Jerrels pada jam 2.45 petang hari sama, kira-kira dua meter di bawah sungai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Durin yang tidak dapat menahan sebak terus mendapatkan anak lelakinya yang sudah tidak bernyawa lagi bersama nenek, sahabat handai dan rakan taulan.
Sementara itu, pemilik kedai tempat mendiang bekerja sambilan memberitahu Durin bahawa beliau akan membiayai kos pengebumian anak tunggal lelakinya itu.
Polis kemudiannya membawa mayat mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...