Idarasul
Utusan Malaysia
10 Mac 2018
SUASANA di ruang legar hospital agak suram. Hanya
beberapa orang jururawat dan doktor yang melalui ruang legar itu. Aku hanya
duduk tercatuk seperti seekor burung. Memerhatikan para jururawat dan doktor yang
mundar-mandir menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Di luar jendela, kelihatan
rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Seolah-olah menggambarkan kesayuan di
hatiku tatkala itu. Beberapa kali juga aku menghamburkan nafas seolah-olah
memberitahu betapa aku kelelahan dalam menghadapi pelbagai dugaan yang
mendatang. Sebagai hamba-Nya, aku sedar bahawa setiap dugaan dan ujian yang
diperturunkan itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Pun aku lebih sedar, selagi
aku bergelar insan maka aku tidak akan terlepas daripada diuji dan terus diuji
kerana ujian demi ujian itu menandakan bahawa Allah masih sayangkan aku sebagai
hamba-Nya.
Kemudiannya, mataku tertancap
kepada seorang pesakit yang duduk di atas kerusi roda. Wajahnya kelihatan
pucat. Pesakit lelaki yang berumur lebih kurang 60 tahun itu hanya duduk
seperti patung cendana tanpa menghiraukan kehadiran aku di situ. Barangkali
sedang berjuang dan berhempas-pulas melawan kesakitan yang dialaminya.
Kedut-kedut pada wajahnya menyimpan pelbagai cerita suka dan duka. Betapa dalam
usia sebegitu, dia terpaksa menahan kesakitan. Ternyata tubuh yang serba kurus
itu akan cepat lemah dan sakit tatkala menghadapi ujian kesihatan daripada
Allah jua.
Abah...Getusku di dalam hati.
Namun, panggilan keramat itu
hanya kaku di lubuk jiwaku tanpa abah mendengarnya. Aku juga tidak tahu mengapa
secara tiba-tiba aku menyebutnya. Barangkali kerana teringatkan abah yang
terbaring di wad hospital itu menyebabkan fikiranku menerawang mencari kelibat
abah tanpa kusedari.
Teringatkan abah membuatkan
hatiku terasa sebak. Sudah seminggu abah dimasukkan ke wad kerana masalah
kencing manis dan buah pinggang. Sudah seminggu jugalah mak menjaga abah tanpa
ruang untuk berenggang. Semua adik-beradikku telah menziarahi abah melainkan
aku yang terlalu sibuk dengan kerja-kerja di pejabat yang tidak pernah habis.
Kerana tuntutan kerja yang menimbun tinggi itu menyebabkan aku alpa dan
membiarkan abah menunggu lama di wad itu. Kasihan abah!
“Kak, kenapa duduk di luar?
Marilah masuk ke dalam. Abah panggil kakak.” Ujar Alang sambil melihat wajahku.
“Kenapa kak? Kakak menangis?”
soal Alang membuatkan aku cepat-cepat mengelap air mata yang semakin bertakung
di kelopak mata.
“Tak ada apa-apa.” Jawabku
ringkas. Cuba menyakinkan Alang.
Aku tidak mahu Alang sedih
apabila melihat perlakuanku. Sungguh, dalam setiap detik, aku menyesal kerana
mengabaikan abah dan mak. Aku lebih mengutamakan pekerjaanku daripada menjenguk
mak dan abah di kampung. Kerana kesibukan yang semakin bermaharajalela di hati
menyebabkan hubungan kasih sayangku terungkai dan hambar dengan adik-beradik
yang lain.
Namun, keluhanku itu hanya
berlegar-legar di dalam hati dan terhenti lalu terkulai di lubuk jiwaku.
Entahlah...
Aku melangkah lesu menuju ke
wad yang menempatkan abah. Pada waktu itu, aku bertemu dengan wajah-wajah yang
tidak ku kenali. Maklumlah, waktu itu merupakan masa untuk melawat pesakit.
Kemudiannya, aku menuju ke sebuah bilik yang bernombor 2A. Di dalam bilik itu,
terdapat empat buah katil yang menempatkan empat orang pesakit. Setiap katil
hanya dipisahkan oleh tirai putih sebagai sempadan. Di suatu sudut, aku melihat
wajah mak yang sedang tersenyum apabila melihat kehadiranku di situ.
Ah, mak. Dalam kepayahan
masih lagi tersenyum menyambut kehadiran anaknya, sedangkan aku sebagai seorang
anak, sering melukakan hati mak dan abah dengan ketidakhadiranku untuk
menjenguk mereka. Aku bermonolog sendirian. Ternyata, perasaan kesalku semakin
mencengkam ke seluruh urat jantungku.
“Mak...” panggilku mesra
sambil memeluk tubuh tua itu dengan erat.
Aku mahu mak tahu bahawa aku
terlalu bersalah kerana mengabaikan kasih sayangku terhadap mak dan abah.
Namun, mak dengan segera membalas pelukanku lebih erat dan hangat dengan
rimbunan kasih sayang yang mendamaikan. Aku terharu diperlakukan sedemikian.
Kemudiannya, aku melihat wajah abah. Wajah tua itu kutatapi sedalam-dalamnya.
Ada kolam-kolam derita yang semakin surut pada wajah itu. Pada wajah tua itu
kutemui garis-garis kehidupan yang semakin terbenam di ufuk senja. Terlalu
banyak pelabuhan yang disinggahi, namun selangkah lagi ke pelabuhan abadi. Aku
terkedu apabila memikirkan tentang ketentuan Ilahi. Wayar yang berselirat di
dada abah itu membuatkan air mataku merembes keluar. Kasihan abah!
Lantas terlintas di fikiranku
tentang abah pada masa yang lalu. Abah adalah nadi kehidupan kami sekeluarga.
Pada waktu mudanya, abah banyak menghabiskan masa dengan bekerja menyara
kehidupan kami. Ketika itu, adik-adikku masih kecil. Hanya aku dan Angah sahaja
yang bersekolah rendah pada waktu itu. Aku melihat kesusahan yang dihadapi oleh
abah. Abah mengerahkan tulang empat keratnya untuk melakukan pelbagai pekerjaan
untuk membesarkan kami adik-beradik. Abah memandu lori menghantar muatan
barangan tanpa mengira detik masa. Siang dan malam berhujan dan berembun demi
membesarkan anak-anak yang masih kecil. Tangan abah dari lembut bertukar
menjadi kasar kerana terpaksa mengangkat barang. Tubuh abah dari sehari ke
sehari menjadi sasa dan tegap. Seteguh cita-cita abah untuk melihat anak-anak
berjaya hingga ke menara gading. Abah langsung tidak pernah merungut dengan
kepayahan hidup yang dirasainya. Bagi abah, tanggungjawabnya sebagai ketua
keluarga menyingkirkan segala perasaan ingin hidup mewah sebagaimana insan yang
lain. Abah pasrah dan redha menerima segala-galanya.
Aku masih lagi teringat
tentang abah. Jika abah bercuti, abah akan menggoreng sayur kangkung kegemaran
aku dan Alang. Biarpun masakan abah tidaklah sehebat chef terkemuka, namun kami
dapat merasakan kelazatan kangkung goreng abah. Barangkali, air tangan abah
menjadikan hubungan kami adik-beradik begitu rapat dan dipenuhi dengan kasih
sayang yang abadi. Barangkali juga, abah menggoreng sayur kangkung dengan
menambah ramuan cinta abadi di hati kami.
Ah, abah. Jasa dan
pengorbananmu tidak dapat dibalas dengan kata-kata. Malah, sebesar kuman
sekalipun, aku pasti tidak akan dapat membahagiakan diri abah sebagaimana yang
pernah dilakukan oleh abah kepada anak-anaknya.
“Kakak...” panggil abah
dengan suara yang perlahan menyebabkan aku tersentak dari lamunan.
Aku menghampiri abah lalu
kucium tangan abah. Tangan abah yang berkedut dan sejuk itu membuatkan aku
tersentak. Baru kusedar abah yang dahulunya muda kini sudah semakin pudar
usianya. Abah yang dahulunya bertubuh sasa dan tegap sudah semakin kurus hingga
menampakkan tulang-temulangnya. Kini, rambut abah semakin putih membayangkan
betapa abah sudah semakin jauh meninggalkan kenangan silam pada masa nan lalu.
“Abah...” panggilku sayu.
“Kakak...abah kini bukan
seperti abah yang kuat dan sihat. Abah sudah semakin tua. Anak-anak abah
semuanya sudah besar dan ada keluarga sendiri. Kalau dulu, rumah abah dan mak
sentiasa riuh dengan kakak dan adik-adik yang lain tetapi kini rumah itu
semakin sunyi dan sepi. Tetapi abah masih redha menerimanya.” Luah abah dengan
air mata yang semakin bertakung di kelopak matanya.
“Kakak...abah tahu anak-anak
abah sentiasa sibuk bekerja siang dan malam. Abah langsung tidak pernah marah
kalau anak-anak abah sentiasa sibuk mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Abah mengerti dan redha. Kerana tuntutan hidup pada zaman ini menyebabkan
penghuninya terpaksa berhempas-pulas mengejar hakikat kehidupan yang serba
mencabar.” Ujar abah dengan linangan air mata.
Aku hanya tunduk memandang
permukaan simen yang menggerutu dan berbalam-balam. Selama ini, abah langsung
tidak pernah berfalsafah tentang kehidupan. Apa yang sebenarnya ingin abah
sampaikan kepada diriku? Aku bermonolog.
“Abah...”panggilku dengan
sayu. Aku mahu tahu apa yang bersarang di hati abah.
“Abah dan mak tak mahu
apa-apa. Jauh sekali wang ringgit dan kemewahan harta. Sudah lama kami
kehilangan anak-anak kami. Rumah itu sudah semakin sunyi. Semakin sepi. Hanya
tinggal mak dan abah sahaja yang melayani hari tua kami tanpa anak-anak di
sisi. Justeru, kami mahu anak-anak kami kembali bersatu seperti dahulu yang
semasa kecilnya bersama-sama membahagiakan hati mak dan abah. Itu sahaja yang
abah ingin.” Ujar abah hiba.
Aku tersentak. Permintaan
abah itu benar-benar meruntun hatiku. Kata-kata abah membuatkan diriku tertikam
dengan serpihan kaca yang jatuh berderai. Sakit dan pedih dengan kalimat yang
kudengar sebentar tadi. Selama ini, abah dan mak kesepian walaupun dalam
dakapan anak dan cucu-cucunya. Kami membiarkan abah dan mak menghabiskan
sisa-sisa kehidupan mereka tanpa anak-anak di sisi. Untuk sekian kalinya, aku
menghamburkan nafas yang panjang seperti baru tersedar dari lena yang panjang.
Kini, tekadku hanya satu, aku akan menjaga mak dan abah seperti mana mak dan
abah pernah menjaga kami adik-beradik seperti masa nan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan