Aktiviti aktif gunung berapi Anak Krakatau melalui kekerapan gempa volkanik dan kebocoran gas belerang di tubuh gunung sejak akhir-akhir ini, memberi tanda-tanda kemungkinan ia akan meletus lebih besar daripada kejadian pada tahun 2007. Bagaimanapun pihak berkuasa meminta masyarakat tidak cemas kerana letusan yang dijangka itu tidak akan sekuat yang berlaku pada tahun 1883, yang turut menghancurkan tubuh gunung berapi Krakatau. Ketua Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Surono yang menjelaskan kemungkinan letusan lebih besar oleh Anak Krakatau itu, berkata pada masa ini sekitar lima kali gempa volkanik dicatat setiap minit dan sehari boleh berlaku lebih 5,000 kali.
Kebocoran gas belerang di tubuh Anak Krakatau pula menyebabkan gunung berapi itu diliputi lapisan belerang putih kekuningan dan ia adalah suatu fenomena yang belum pernah berlaku sebelumnya, kata beliau seperti yang dipetik akhbar harian Kompas, Sabtu. Kejadian gempa volkanik sehingga ribuan kali adalah perkara baru di Anak Krakatau, sedangkan gunung berapi lain yang status amarannya di peringkat siaga, hanya mencatat puluhan hingga ratusan gempa volkanik sehari, kata laporan itu. Surono bagaimanapun meminta masyarakat supaya tidak cemas dengan keadaan itu kerana magma Anak Krakatau itu bersifat cair dan kurang gas, tidak seperti sifat makma kental pada ibunya dulu iaitu gunung berapi Krakatau yang meletus besar pada tahun 1883.
Justeru walaupun ada kemungkinan Anak Krakatau akan meletus lebih besar daripada kejadian pada tahun 2007, ia tidak boleh menghancurkan tubuh gunung berapi itu sebagaimana dalam kejadian letusan Krakatau pada tahun 1883. Pada masa ini pihak berkuasa, yang meningkatkan status amaran gunung berapi itu ke peringkat waspada sejak 30 Sept lepas, telah menasihatkan masyarakat menjauhi Anak Krakatau dengan menetapkan zon bahaya pada radius 2km dari kawahnya. Harian itu juga memetik ahli geologi dari Muzium Geologi, Inyo Pratomo sebagai berkata bahawa letusan Krakatau pada 1883 telah mengakibatkan 36,000 orang terbunuh terkena awan panas abu volkanik serta bencana tsunami yang melanda wilayah Lampung dan Banten. Bagaimanapun Anak Krakatau belum memperlihatkan tanda-tanda kebangkitan tenaganya sebagaimana yang dimiliki oleh Krakatau sebelum ini kerana ia masih dalam tahap membangun, kata laporan itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan