Ahad, 23 Oktober 2011

Elaun bulanan baru untuk ketua kampung di Sabah




KOTA KINABALU: Ketua-ketua Kampung di Sabah akan memperoleh elaun bulanan yang baharu berjumlah RM650 mulai bulan depan, demikian diumumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor semalam.
Beliau berkata, pembayaran elaun itu dipersetujui Kabinet negeri dalam mesyuaratnya dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita pada satu perhimpunan di kementerian itu di sini, beliau berkata, jumlah pembayaran itu berbeza dengan pembayaran elaun ketua kampung sebanyak RM800 di Semenanjung.
“Ini kerana di Semenanjung, Ketua Kampung adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Dalam lain perkataan, beliau melakukan dua kerja dan adalah adil untuk Ketua Kampung di Semenanjung memperoleh RM800.
“Tetapi di Sabah, keadaannya berbeza kerana ketua kampung dan pengerusi JKKK adalah orang yang berlainan. Yang demikian, sebelum elaun ini dinaikkan ketua kampung hanya mendapat RM450, dengan RM400 dibiayai Kerajaan Persekutuan dan RM50 oleh Kerajaan Negeri.
“Dengan elaun yang baharu, ketua kampung di Sabah akan mendapat RM650, dengan RM600 datang daripada Kerajaan Persekutuan dan RM50 oleh Kerajaan Negeri. Ini merupakan kenaikan RM200 sebulan bagi ketua kampung di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, berikutan perbezaan sistem di Sabah, Ketua Menteri telah membangkitkan hal ini dengan Kerajaan Persekutuan, dan akhirnya diputuskan kedua-dua ketua kampung dan pengerusi JKKK di Sabah mendapat tambahan elaun bulanan sebanyak RM200 sebulan.
Katanya, dengan itu, pengerusi JKKK akan menerima elaun bulanan baharu RM400.
Hajiji berharap elaun baru berkenaan akan memberi motivasi kepada ketua kampung dan pengerusi JKKK di Sabah untuk melaksanakan kerja dengan lebih baik.
“Kedua-dua ketua kampung dan pengerusi JKKK adalah tokoh penting di kampung dan kedua-dua mereka memainkan peranan penting sebagai “mata dan telinga” kerajaan.
“Mereka seharusnya bekerja keras bukan sahaja untuk membawa pembangunan, keamanan, keselamatan, perpaduan dan keharmonian kampung tetapi juga membantu merealisasikan Hala Tuju Ketua Menteri dan menjadikan Sabah sebuah tempat yang selesa didiami untuk semua,” katanya.  — Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...