Laman Web JAKIM
“Gagah tapi tidak bengis" bermaksud setiap penjawat awam perlu menghargai kesihatan tubuh badan agar dapat berkhidmat dengan tenaga dan minda yang sihat. Justeru, sekalipun seseorang diberi kuasa, namun tidak wajar sewenang-wenangnya menunjukkan sifat bengis kepada sesiapa.
“Lembut tapi tidak lemah” adalah sikap bijaksana Rasulullah yang mendidik seseorang itu agar menunjukkan kelembutan serta kesantunan adab supaya tindak-tanduk disenangi oleh orang ramai. Namun, kelembutan tidak wajar disalahgunakan sehingga dilabel pula sebagai seorang yang lemah.
“Pemurah tapi tidak boros” juga merupakan sifat ihsan Rasulullah yang mengajar manusia agar sama-sama memanfaatkan nikmat jawatan, gaji serta keistimewaan yang diperolehi melalui sedekah kerana ianya menambah keikhlasan serta keberkatan. Namun, sifat pemurah tidak wajar diselewengkan sehingga mengundang pembaziran.
“Genggam tapi tidak bakhil” bermaksud, sesiapa yang diberi kuasa hendaklah menjaga amanah dengan kawalan yang bijaksana. Namun jangan sampai bersikap haloba serta bakhil sehingga tidak menunaikan perkara yang sepatutnya ditunaikan.
Itulah taklimat ringkas bersulam nasihat yang telah disampaikan oleh Dr. Abu Bakar Sarpon, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur merangkap ahli Lembaga Penasihat ILIM kepada 14 orang ahli lawatan ke institut tersebut pada 17 Oktober 2011, anjuran Unit Perhubungan Awam ILIM.
Rombongan yang diketuai oleh Ustaz Zamzuri bin Ruslan, mewakili Pengarah ILIM bagi menjayakan program Lawatan Rakan Latihan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi pandangan di dalam menambah baik mutu perkhidmatan kepada setiap pelanggan ILIM.
Dalam pertemuan yang diaturkan, ahli rombongan diberi taklimat berkaitan fungsi Institut Integriti Malaysia semenjak ditubuhkan pada tahun 2004 dalam menjayakan Pelan Integriti Nasional (PIN) untuk membasmi rasuah serta menyalakan sikap integriti, etika serta moral di kalangan rakyat Malaysia.
Hasil lawatan tersebut telah banyak menyedarkan ahli rombongan akan kegigihan kerajaan menanamkan sikap integriti pada semua rakyat Malaysia. Usaha-usaha tersebut dilaksanakan melalui program seminar, forum, poster, kursus dan lain-lain kepada penjawat awam, peniaga, institusi keluarga, masyarakat, pelajar serta sektor awam.
Antara pesanan Dr. Abu Bakar Sarpon sebelum menamatkan sesi lawatan tersebut ialah “Laksanakanlah perkara yang betul pada setiap masa dan tempat. Maka itulah Integriti.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan