Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Januari depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias.
Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.
“Kami akan meneruskan SBPA, dan sebenarnya Cuepacs tidak menolak SBPA. Opsyen yang kami beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Disember tarikh tutupnya kerana ia melibatkan banyak isu perundangan.
“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan Cuepacs yang diketuai oleh Presidennya Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini semalam.
Rundingan itu yang berlangsung selama lebih tiga jam diadakan untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengarahkan supaya CUEPACS dan JPA mengadakan rundingan dengan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.
Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk ‘Exit Policy’ yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.
“Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu,” katanya.
Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.
Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan kelmarin mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama semalam merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.
Omar berkata, lima perkara yang telah dibangkitkan oleh CUEPACS ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.
Katanya, opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.
Beliau berkata, rundingan semalam turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.
“Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar,” katanya.
Mengenai ‘Exit Policy’, Omar berkata rundingan semalam mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.
Katanya, langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil CUEPACS akan hadir untuk memberi pandangan.
“Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, CUEPACS akan hadir sebagai pemerhati dan dari situ kita akan selesaikan.
“Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal,” katanya.
Omar berkata, satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara CUEPACS dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. — Bernama
More fully in : http://ari-software.blogspot.com/2011/11/membagi-postingan-menjadi-beberapa.html#ixzz1gBcHo5uS
Ari Software
Ari Software
Tiada ulasan:
Catat Ulasan