Aktiviti dan budaya vandalisme yang semakin berleluasa di negara kita adalah perbuatan tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun kerana ia berlawanan dengan moral dan akhlak serta ajaran agama. Perbuatan merosakkan harta benda awam atau lebih dikenali sebagai vandalisme kini dilihat semakin meruncing terutama dibandar besar di Negara kita malah ia telah melarat ke Bandar kecil dan kampung.
Aktiviti vandalisme yang mencemarkan ini begitu menyakitkan mata dan memalukan terutama kepada masyarakat luar seperti pelancong. Antara contoh vandalisme yang terdapat di Negara kitaialah perbuatan merosakkan telefon awam, tandas awam, peralatan permainan di taman rekreasi, menconteng dinding, membuang sampah merata-rata, mencuri kabel, mencuri besi termasuk kepala paip, meter air, penutup longkang dan pagar besi penghadang jalan.
Kamus Dewan Edisi Empat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan vandalisme sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Secara umum, vandalisme membawa maksud membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Sehubungan itu, perbuatan tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan ini perlu dikekang segera dan semua pihak hendaklah mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah sosial ini, apatah lagi aktiviti negatif ini membabitkan generasi muda termasuk pelajar. Pelajar adalah modal insan dan aset penting negara. Mereka tidak boleh dibiarkan terdedah dengan budaya negative vandalisme yang merugikan dan mereka juga perlu dipantau dari semasa ke semasa agar menjauhi serta membencinya.
Perbuatan vandalisme juga perlu diperangi semua pihak agar ia tidak menjadi budaya dalam masyarakat dan menyusahkan orang ramai. Ini kerana ia membabitkan kepentingan dan keperluan awam termasuk sekolah, pusat rekreasi, perhentian bas, kereta api dan komuter. Akibat daripada aktiviti vandalisme menyebabkan pihak berkuasaterpaksa menanggung rugi kerana kos memperbaiki, memperbaharui dan mengganti semua kerosakan serta kecurian yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini. Malah Islam menghalang perbuatan yang dikeji dan memudaratkan orang ramai seperti aktiviti vandalisme yang dikategorikan sebagai perbuatan fasad (kerosakan) seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran. Oleh yang demikian bagi mengekang budaya dan aktiviti songsang ini, penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan terhadap pesalah vandalisme di Negara ini. Mengikut Akta Kerajaan Tempatan 9 undang-undang Kecil Vandalisme 1991 memperuntukkan sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan. Walaupun peruntukan undang-undang ini nampak ringan, namun mungkin sudah tiba masanya kita mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah vandalisme seperti dilaksanakan di negara maju. .
Pelaksanaan undang-undang lain seperti menetapkan pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat sosial juga wajar dipertimbangkan. Mereka boleh diwajibkan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme sebagai pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut serta menjadi teladan kepada semua. Ini kerana aktiviti vandalisme bukan perkara ringan dan boleh dianggap mudah oleh segelintir masyarakat kita terutama generasi muda.
Tiada kesedaran sivik dan kurangnya nilai murni dalam diri sesetengah anggota masyarakat serta pengaruh rakan sebaya menjadi faktor kes vandalisme membabitkan harta benda awam terus berlaku. Ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam usaha mengatasinya.
Peranan ibu-bapa, guru, tokoh masyarakat, ulama dan ahli politik wajar digembleng secara serius bagi mencari formula paling berkesan mengekang budaya tidak sihat ini. Media massa juga perlu memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai masalah kronik ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat.
sumber maklumat : Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan