CORETAN ADILA RAYA 2018 OLEH: MD RASUL BIN HARON
NAMA PENA: AMATARA
BAHAGIAN MATRIKULASI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA ARAS
6-7, BLOCK E15, KOMPLEKS KERAJAAN PARCEL E PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN
PERSEKUTUAN 62604 PUTRAJAYA
PENGISYTIHARAN
pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh mula berpuasa
di kaca televisyen itu benar-benar dinantikan oleh aku. Seperti ada satu
penantian yang berlegar-legar di sanubariku tatkala mendengar pengumuman
tersebut. Begitu juga dengan pengumuman hari raya yang pada diriku terlalu
istimewa sehinggalah sekarang. Sejak kecil lagi aku akan menantikan saat-saat
pengumuman kedua-dua hari tersebut dengan senyuman yang melebar. Syukur
alhamdullilah kerana Allah memberikan aku peluang untuk terus menikmati Ramadan
bulan yang penuh berkah ini. “Abah, esok kita dah mula puasa. Tahun ini kita
tak payahlah balik ke kampung.” Ujar anak bongsuku sambil melihat skrin pada
telefon bimbitnya. Secara tiba-tiba hatiku tersentap dan kesemua kegembiraanku
tiba-tiba bertukar menjadi debu yang berterbangan di udara. Anak bongsuku yang
berusia 19 tahun itu langsung tidak mengerti perasaanku ketika itu malah dia
menghumbankan seluruh perasaanku ke lurah yang paling dalam. Coretan Dua
“Kenapa adik tak mahu balik kampung? Raya hanya setahun sekali sahaja. Masa
inilah kita berpeluang untuk bertemu dengan saudara-mara kita di kampung.”
Jawabku. “Raya sekarang dah tak seperti dulu, abah. Raya sekarang makin bosan
dan hambar. Adik dah tak rasa apa-apa pun sekarang ini,” ujar anakku dengan
mimik muka bersahaja. Aku terdiam apabila mendengar kata-katanya itu.
Barangkali ada kebenaran daripada keluhan anakku itu. Sambutan hari raya pada
zaman sekarang tidak begitu meriah jika dibandingkan dengan raya zaman dahulu.
Zaman sekarang anak-anak sudah diperangkap dengan telefon pintar dan gajet berteknologi
tinggi sehinggakan mereka langsung tidak bertegur sapa dengan tetamu yang
datang bertandang ke rumah. Malah, mereka semakin biadap langsung tidak
mempelawa atau bersalam-salaman dengan tetamu. Mereka sibuk melayan kerenah
masih-masing dan berada dalam dunia mereka sendiri. Aku menggeleng-gelengkan
kepala berulang kali. Cuba mencari sebab dan alasan kepada apa yang telah
terjadi. Lantas terlintas di fikiranku ketika zaman kanak-kanakku. Hari raya
amat ditunggu-tunggu oleh aku dan adik-beradikku. Meskipun aku hidup dalam
serba kemiskinan, namun keadaan itu langsung tidak mempengaruhi kegembiraanku
pada waktu itu. Baju melayu abang akan aku pakai. Manakala abang pula akan
mendapat baju melayu daripada abang yang lainnya. Baju yang kami pakai itu
adalah turun-temurun sehinggalah kami dewasa. Baju itu jugalah yang kami pakai
sehingga ke malam. Dengan baju itu jugalah, kami cuba mencari duit raya
sehinggakan kembung semua poket pada baju itu. Waktu itu, makan tidak penting,
yang aku tahu aku mahu cari seberapa banyak duit dan dengan duit itu dapatlah
aku membeli barangan yang aku suka. Aku tersengih apabila mengenangkan
kemeriahan hari raya pada masa lalu. Selepas aku berumah tangga, aku melihat
hari raya semakin tegang. Masakan tidak, apabila menjelang hari raya isteriku
akan marah-marah dan berwajah masam. Emosi isteriku sentiasa tidak baik.
Pantang ditegur, maka muncung mulutnya boleh diikat dengan reben. Waktu itu aku
tahu isteriku bersikap begitu kerana protes untuk balik berhari raya di
kampungku. Bukan aku tidak kasihan dirinya tetapi aku buat-buat tidak faham dan
tersengih seperti kerang busuk. Yang paling penting, aku dapat balik berhari
raya bersama-sama adik-beradikku yang lain. Ini belum lagi bab menyusun beg-beg
pakaian di dalam bonet kereta. Beg baju anak, bakul susu anak, beg pakaian kami
suami isteri, toto dan selimut, tikar mengkuang, bantal, bakul permainan anak,
bakul lampin dan segala jenis bakul akan diangkut oleh isteriku. Semua benda
hendak disumbat di dalam kereta. Macamlah hendak duduk di kampung
bertahun-tahun padahal balik ke kampung hanya tiga hari sahaja. Apabila
menjelang malam raya, situasi semakin tegang. Sampai sahaja di muka pintu,
keadaan di dalam rumah makin tidak terkawal. Ada sahaja anak-anak saudaraku
yang berlari dan bermain kejar-kejar di dalam rumah. Habis tunggang-langgang
sofa di ruang tamu. Adik dan ipar-duaiku pula sibuk menggantung langsir dan
mengemas rumah. Masing-masing sibuk ke hulu ke hilir walaupun aku tahu mereka
hanya buat-buat sibuk sahaja. Waktu itulah gas memasak habis, santan habis,
gula habis dan sebagainya. Waktu itulah aku dikerah ke kedai sedangkan mereka
tahu aku baru sampai di rumah. Aku hanya tersengih apabila melihat isteriku
menarik muka masam sambil mendukung anak. Itulah kebahagiaan dan kegembiraanku
pada raya zaman dahulu. Anak-anak saudara serta ipar-duai tidur di ruang tamu
bergelimpangan. Aku sendiri tidak tahu mana sudut yang diambil oleh isteriku
untuk tidur. Namun isteriku lebih tahu situasi ketika itu, dia sudah menempah
sudut di belakang sofa untuk kami beradu. Barangkali isteriku sudah masak
dengan strategi anak-anak saudaranya yang tidur di depan televisyen. Aku masih
tersengih apabila mengingati semua itu. Tidak seperti sekarang, anak-anakku
langsung tidak mahu tidur di rumah kampung. Mereka lebih suka menginap di hotel
daripada berperang dengan sepupusepupu mereka. Keakraban dan kejelekitan sudah
semakin terhakis dalam diri anak-anak zaman sekarang. Waktu subuh adalah waktu
yang sangat kritikal. Mana tidaknya, ahli keluargaku yang ramai akan
berebut-rebut untuk memasuki bilik mandi. Waktu itu suasana semakin gamat.
Kalau tidak mahu terlambat terpaksalah aku membawa isteri serta anak-anak mandi
di hentian RNR yang kebetulan tidak jauh dari rumahku. Mujurlah ada kawasan RNR
di lebuh raya. Walaupun mandi seperti musafir namun aku tetap gembira. Wajah
isteriku kembali ceria apabila menjelang hari raya ketiga. Senyumannya manis
bergula. Isteriku akan tersenyum sehingga ke telinga apabila aku mengangkat
semua beg ke dalam bonet kereta. Waktu itu, isteriku akan bangun awal dan
bersiap sedia untuk pulang ke rumah ibu bapanya. Hmm...kalaulah aku dapat
memperlahankan masa sudah tentu aku akan diikat di pokok yang banyak kerengga
oleh isteriku. Aku tiba-tiba ketawa apabila mengingati semua kenangan tersebut.
“Abah, kenapa abah ketawa?” soal anakku dengan wajah yang sedikit curiga. “Tak
ada apa-apalah. Abah hanya teringat kisah dulu-dulu.” Aku membalasnya dengan
wajah selamba. “Jadi tahun ini kita raya di mana?” soalku cuba memancing
kedua-dua anakku. “Abang, mak dan ayah abang sudah tak ada. Adik-beradik abang
pun sudah ada keluarga sendiri. Daripada tujuh beradik kini yang tinggal hanya
lima orang sahaja. Alang dan Acu sudah lama pergi meninggalkan kita. Uda pula
balik ke kampung mertuanya setiap kali hari raya. Hanya tinggal abang Tam
sahaja itu pun dia balik ke kampung mertuanya. Setiap kali hari raya kita hanya
boleh pergi ziarah Bang Long dan Bang Ngah yang tinggal di rumah pusaka. Bang
Long langsung tak pernah pelawa kita bermalam di rumahnya. Seperti biasa, kita
faham keadaan sekarang yang jauh bezanya setelah mak dan ayah abang meninggal.
Kita tetap akan balik ke kampung walaupun abang sudah semakin tersisih daripada
adik-beradik abang yang lain.” Kata-kata isteriku itu benar-benar menyedarkan aku
tentang kehidupan yang aku alami sekarang ini. Setelah mak dan ayah tiada,
adik-beradikku juga membawa haluan masingmasing. Sudah kurang kasih sayang
antara kami. Sudah semakin terpinggir tali kekeluargaan yang telah terbina
sejak bertahun-tahun lamanya. Cuma aku sahaja yang bersusah-payah mencari
adik-beradikku yang lainnya. Cuma aku sahaja yang bertungkus-lumus untuk
mengeratkan tali kekeluarga yang semakin terputus. “Ya Allah, aku mohon agar
kau satukan kembali kasih sayang kami adik-beradik.” Ujarku dengan linangan air
mata.
Lagu
yang dipilih:
1. Selamat Hari Raya – Puan Sri Saloma
2. Dendang Perantau – Tan Sri P.Ramlee
3. Air mata syawal – Datuk Siti Nurhaliza
Tiada ulasan:
Catat Ulasan