ARAH SHAZWANI ALI
23 Ogos 2012
SINAR HARIAN
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan
KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila ditahan sebelum diserang sekumpulan lelaki yang tidak dikenali, dalam satu kejadian di Jalan Sultan Mahmud di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang juga seorang guru berumur 46 tahun bersama isteri dan tiga anaknya berusia antara 16 hingga 20 tahun, dikatakan dalam perjalanan dari arah Chendering menghala ke pusat bandar untuk menikmati makan malam di bandaraya ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu bermula apabila kereta Honda yang dinaiki keluarga itu dihimpit sebuah Perodua MyVi berwarna putih, dinaiki lima lelaki.
Berdasarkan laporan awal, salah seorang daripada mereka dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada keluarga berkenaan ketika berada di lampu isyarat Pantai Batu Buruk.
“Keluarga berkenaan bagaimanapun tidak menghiraukan perbuatan itu, sebaliknya meneruskan perjalanan. Tetapi sebaik mangsa tiba di sebuah bank di Jalan Sultan Mahmud, mereka dihampiri sebuah kereta Nissan Navara berwarna hitam yang cuba menghalang perjalanan.
“Pada masa sama, Perodua MyVi yang menghimpit mereka sebelum ini tiba di lokasi kejadian dan sekali lagi bertindak menghimpit kenderaan mangsa, menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan keretanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Jelas Manoharan, pihaknya percaya ia melibatkan lapan lelaki iaitu lima lelaki yang menaiki Perodua MyVi manakala tiga lagi menaiki Nissan Navara.
Mereka kemudiannya menarik anak lelaki mangsa yang berusia 20 tahun, lalu memukulnya menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkannya cedera pada muka, kepala dan badan.
Bimbang anaknya teruk diapa-apakan, mangsa kemudiannya cuba meleraikan namun turut ditumbuk sehingga cedera di muka dan badan, manakala isterinya jatuh kerana ditolak ketika cuba membantu meleraikannya.
“Kesemua suspek berusia 28 tahun ke atas itu, turut bertindak merosakkan kereta mangsa, sehingga menyebabkan cermin depan dan sisi pecah selain kemek, sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurut Manoharan, pihaknya masih menyiasat motif serangan kerana mangsa dan anaknya yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi itu mendakwa, tidak tahu punca sebenar mereka diserang.
Bagaimanapun katanya, pihak polis sudah mengenal pasti salah seorang suspek yang juga pemilik kereta MyVi itu dan tangkapan akan dibuat tidak lama lagi.
“Kita masih menyiasat sama ada kejadian ini disebabkan perselisihan faham atau masalah jalan raya. Jadi saya harapkan semua suspek untuk menyerah diri, sebelum polis sendiri menahan mereka di rumah.
“Jika keluarga mereka tahu mengenai kejadian ini, saya harap dapat menasihatkan anak mereka untuk menyerah diri di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan