Rabu, 1 Ogos 2018

Mengimbau Sejarah Kemerdekaan Negara


Merdeka 1957



Mengimbau sejarah kemerdekaan tanah air, rancangan kemerdekaan PTM bermula pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Perekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.
Wakil dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang hadir sama pada upacara itu ialah Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Encik T.H.Tan, Encik Abdul Kadir Shamsuddin, Kolonel H.S Lee dan wakil-wakil daripada Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak), Dato' Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan). Dato' Mohd Seth Mohd Said (wakil Sultan Johor) dan Encik Abdul Aziz Majid (wakil Sultan Selangor) manakala perwakilan daripada Kerajaan British yang turut serta di upacara ini ialah Mr. John Hore, Menteri Negara; Mr. Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu; Mr. David Watherston, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan Mr. Oscar Spencer, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Persekutuan Tanah Melayu.
Sekembalinya rombongan Perjanjian Kemerdekaan tersebut ke Tanah Melau pada 20 Februari 1956, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanan Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Pengumuman itu disambut dengan jeritan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" oleh lebih daripada 100,000 orang yang datang dari seluruh  pelosok Persekutuan Tanah Melayu.
Kepulangan rombongan tersebut yang sememangnya ditunggu dan dinantikan, diiringi oleh sepasukan pemuda bermotosikal dan berpuluh-puluh kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam Melaka ke Padang Banda Hilir Melaka.
Melaka telah dipilih sebagai tempat mengumumkan tarikh kemerdekaan sebagai simbolik bahawa negeri tersebut adalah antara yang mula-mula dijajah oleh kuasa asing. 
Mengimbau sejarah pada 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya sehingga jam 6.30 pagi, acara yang sepatutnya dimulakan pada jam 7.00 pagi ditangguhkah kepada 8.00 pagi kerana masih ramai yang belum dapat hadir. Perekutuan Tanah Melayu telah merdeka secara rasminya tepat jam 9.30 pagi. Sambutan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara dan anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra kemudiannya membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebaik selesai, beliau melaungkan kata keramat, "MERDEKA" sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan, 'Negaraku'.  Sebanyak 101 das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi negara yang merdeka dan berdaulat.
Dalam masa beberapa hari lagi, Persekutuan Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61 tahun.Sambutan Hari Kebangsaan 2018 adalah penuh bersejarah kerana pertama kali diraikan di bawah tampuk kepimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Bertemakan 'Sayangi Malaysiaku', Putrajaya dipilih sebagai lokasi sambutan pada 31 Ogos nanti bagi meraikan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.
Sambutan akan bermula di Padang Kota Lama, Pulau Pinang dengan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang akan disempurnakan Perdana Menteri pada 4 Ogos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...