Disiarkan dalam selangor.kini
Hadiah Sastera Selangor 2018
Oleh Amatara
AWANG Besar mula memukul gendang menari-nari di tengah gelanggang. Sambil menari, Awang Besar menyanyi dengan suara yang merdu. Suara serak-serak basah dan seni kata lagu yang didendangkan oleh Awang Besar benar-benar menarik perhatian sesiapa jua yang mendengar.
Bunyi gendang Awang Besar itu menyebabkan beberapa orang anak dara segera meninggalkan nasi yang ditanak di dapur. Beberapa orang ibu pula meninggalkan anak-anak yang masih kecil menangis di dalam buaian. Tangisan demi tangisan anak-anak kecil itu langsung tidak dipedulikan oleh ibu-ibu malah mereka hanya memekakkan telinga dan terus tidak berganjak dari tepi gelanggang.
Seluruh kampung Gajus juga dicemari oleh bau nasi yang hangit. Bau itu meskipun menerjah hidung penduduk kampung, mereka masih tidak memberikan sebarang respons. Mereka sudah nekad untuk berada di tepi gelanggang. Semua ini kerana aura yang dipamerkan oleh Awang Besar, tukang pukul gendang dan tukang sebar maklumat melalui nyanyiannya.
Tiba-tiba Awang Besar berhenti daripada memukul gendang. Dia seumpama patung cendana di tengah gelanggang. Semua kehairanan melihat Awang Besar kejung dan pucat.
“Awang Besar, apa yang hendak disampaikan kepada kami? Nyanyilah Awang Besar, biar terhibur duka di hati kami!” Laung seorang perempuan separuh umur.
Awang Besar terkedu. Dia tidak keruan. Sebentar tadi, dia mendapat maklumat tentang wabak yang akan menyerang Kampung Gajus. Wabak yang diberi nama pilihan raya itu akan menyebabkan penduduk kampung demam. Barang sesiapa yang terkena wabak demam itu pasti akal mereka akan keliru dan kedua-dua belah tangan akan menggeletar. Barangkali, akal dan tangan itu adalah bersaudara. Akal akan mendorong tangan untuk berjuang. Jika ada di antara yang tidak mempunyai akal, sudah tentu tangan akan berperanan untuk menentukan sesuatu keputusan.
“Wahai penduduk Kampung Gajus, aku sudah mendapat alamat. Bukan dari mimpi tetapi alamat itu diberikan oleh seseorang yang amat berpengaruh di negeri ini. Akan datang dalam sepurnama lagi, satu kejadian yang aneh akan berlaku di kampung ini. Akan datang banyak jentera yang pelbagai bentuk untuk menarik perhatian seluruh penduduk Kampung Gajus. Waktu itu, gendang perang akan dipalu tanpa henti. Waktu itu, gendang perang akan dipukul meminta kamu segera bersiap sedia.”
Awang Besar menelan liur. Dia seperti cuba mengingati sesuatu. Sambil membetulkan selempang pemberian seseorang yang amat berpengaruh, dia menyambung percakapannya.
“Waktu itu suasana akan hiruk-pikuk dengan pelbagai kata. Wajah-wajah yang tidak dikenali akan meminta simpati untuk mengikut mereka. Andai kamu dapat berfikir, berfikirlah dengan waras. Jangan sesekali kamu melakukan sesuatu di luar dugaan. Semuanya untuk kebaikan anak cucu kita pada masa akan datang.”
Awang Besar memukul gendang bertalu-talu. Menyanyi-nyanyi mengingatkan sesuatu kepada seluruh penduduk Kampung Gajus. Dia menari-nari di tengah gelanggang. Lagaknya seperti seekor ayam jantan yang sedang bersabung. Habis sudah nyanyian Awang Besar, maka seluruh penduduk Kampung Gajus beredar meninggalkan Awang Besar dengan gendangnya. Mengerjakan pekerjaan yang telah ditinggalkan. Anak-anak dara kembali menanak nasi. Ibu-ibu kembali mendapatkan anak-anaknya. Yang lelaki pula bertungkus-lumus mengerjakan sawah demi sesuap nasi. Manakala Awang Besar pula duduk tercatuk seperti seekor burung di bawah pokok menanti maklumat yang bakal mendatang.
“Awang…sudahkah kamu memukul gendang? Sudah kamu memberitahu apa yang telah kusuruh?” soal seorang lelaki tua bertongkat.
Pertanyaan itu membuatkan Awang Besar tersentak. Dia mendongak melihat gerangan yang sedang berbicara dengannya. Mata Awang Besar terkebil-kebil apabila melihat orang yang berada di hadapannya.
“Sudah tok.” Jawab Awang Besar dengan mata yang bercahaya.
Benarlah kata Awang Besar, usai sepurnama penduduk kampung dikejutkan dengan kehadiran jentera-jentera yang menggamatkan keadaan. Seluruh penduduk kampung keluar melihat kedatangan pemerintah sambil membawa panji-panji kemenangan. Di sana sini ditaburkan segala bantuan yang diperlukan. Tangan-tangan penduduk kampung disumbat dengan pelbagai bantuan. Kali ini, tidak ada janji-janji khayalan. Semuanya adalah realiti.
Kemudian, Awang Besar diarahkan memukul gendangnya kembali. Kali ini tidak berhenti-henti. Awang Besar tidak menyanyi. Kerjanya hanya memukul gendang. Dua hari dua malam juga Awang Besar tidak tidur kerana memukul gendang. Kata pemerintah, gendangnya berbisa dapat menarik perhatian penduduk kampung. Justeru, tidak ada orang lain yang lebih layak memukul gendang selain Awang Besar.
Benarlah juga kata Awang Besar, akan datang wabak yang menyerang penduduk Kampung Gajus. Deman pilihan raya semakin menghampiri. Semua penduduk Kampung Gajus mula tidak tidur lena.
Bermula dari rumah tok ketua sehinggalah demam itu menyerang orang dewasa di dalam rumah itu. Kemudian, demam itu merebak di rumah yang berhampiran dengan rumah tok ketua, di situ juga demam itu hanya menyerang orang dewasa sahaja. Sehinggalah rumah yang terletak di hujung kampung, semuanya diserang oleh demam pilihan raya. Anehnya kanak-kanak tidak pula diserang dengan wabak demam itu. Kanak-kanak dapat tidur lena dan sihat tanpa sebarang virus yang menjangkitinya. Begitu juga Awang Besar yang langsung kalis daripada terkena virus tersebut. Sedang penduduk kampung mengerang kesakitan, Awang Besar tetap memukul gendangnya bertalu-talu. Benarlah bahawa Awang Besar ini tidak begitu siuman maka dia terhindar daripada menerima serangan virus demam pilihan raya.
Seluruh penduduk kampung tidak dapat pergi ke sawah. Anak-anak dara yang belum matang diarahkan untuk duduk diam di dalam rumah. Merekalah yang menjaga ibu bapa dan abang-abang yang sudah matang memicit-micit kepala yang sedang berdenyut-denyut. Memikirkan pilihan raya yang semakin dekat yang menghampiri kampung itu.
Benarlah kata Awang Besar lagi. Kali ini kepala semua penduduk kampung semakin sakit. Otak mereka berdenyut-denyut. Berfikir tentang pemilihan yang harus dibuat. Tangan mereka mula menggeletar. Ada di antaranya terlalu nazak. Awang Besar tidak peduli. Dia terus memukul gendang bertalu-talu. Mengingatkan pesanan tok ketua buat penghabisan kalinya. Dia mahu pemerintah negeri mengambil alih. Awang Besar yang tidak siuman itu terus memukul dan memukul gendang tanpa henti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan