Isnin, 3 September 2018

Tengkuk Ayam

Disiarkan dalam Utusan Malaysia
21 April 2018

Oleh:
Amatara

ZAHARI duduk di warung Pak Sehak sambil meneguk kopi o ais. Tengah hari itu, bahang kepanasan amat dirasa, apatah lagi kipas angin yang berpusing ligat di siling warung hanya sebuah sahaja. Angin yang dihasilkan oleh kipas itu langsung tidak dapat menyejukkan penghuni di situ. Beberapa orang pelanggan Pak Sehak mula mengibas-ngibas tubuh mereka dengan surat khabar yang sudah kumal. Cuba mengatasi kepanasan dengan cara tersendiri.

Zahari duduk di kerusi sambil melihat pemandangan di kampung kelahirannya Pajat Song. Hamparan hijau sawah dilatari bukit-bukau itu amat mengasyikkan sesiapa jua yang memandangnya. Langit biru yang terbentang luas seolah-olah menggamit kepulangan Zahari ke kampung halamannya. Malah suara burung-burung yang berkicau riang di atas dahan pokok jambu air yang berdekatan tali air di warung Pak Sehak turut mengalu-alukan kepulangan seorang anak rantau seperti Zahari. Barangkali mereka bertanya khabar tentang Zahari yang sudah bertahun-tahun tidak pulang ke negeri sendiri.

Zahari tersenyum sendirian apabila melihat keindahan kampungnya yang langsung tidak berubah. Hanya penghuni di kampungnya saja yang sudah banyak berubah. Wajah-wajah yang tidak dikenali singgah membeli lauk-pauk di warung Pak Sehak tanpa menghulurkan tangan yang mesra untuk menyapa Zahari. Barangkali orang-orang tua yang selalu ditemui di warung itu sudah dijemput Illahi. Fikir Zahari, cuba menjawab pertanyaan diri sendiri.

“Zahari? Zahari anak Pak Haron?” soal Pak Sehak yang sedang mengutip pinggan di atas meja bersebelahan dengan Zahari.

“Benar Pak Sehak, saya Zahari anak Pak Haron.”

“Ya Allah, Pak Sehak langsung tak perasan tadi. Kenapa tak tegur Pak Sehak?” ujar Pak Sehak kembali.

“Maaf Pak Sehak. Saya tak mahu ganggu Pak Sehak. Saya lihat Pak Sehak sibuk melayan pelanggan.” Balas Zahari sambil bersalaman dengan Pak Sehak.

“Tak jadi masalah. Berapa hari balik ke mari?”

“Dalam tiga hari. Melawat kubur arwah ayah dan mak yang sudah lama tak dijenguk. Maju betul warung Pak Sehak. Ramai pelanggan yang datang.” Kata Zahari.

“Bolehlah. Lagi pun yang ramai ni sebab waktu makan tengah hari. Zahari dah makan ke?” soal Pak Sehak sambil tangan ligat membetulkan kerusi yang berselerak di hadapan meja pelanggan.

Zahari mengangguk-anggukkan kepala seperti mengiyakan pertanyaan Pak Sehak. Dia tersenyum sambil memandang Pak Sehak yang sememangnya seorang yang peramah di kampung Pajat Song. Meskipun Pak Sehak sudah berumur 70 tahun, namun ketuaan Pak Sehak langsung tidak kelihatan. Hanya kepalanya sahaja yang sudah beruban dan kulit-kulit tangan yang sudah berkedut. Seingat Zahari, warung yang diusahakan oleh Pak Sehak itu sudah hampir menyamai umur Pak Sehak.

“Atuk...mana tengkuk ayam Ijal? Atuk ada simpan tak?” tanya seorang kanak-kanak lelaki yang berumur enam tahun.

Serta-merta mata Zahari tertancap kepada kanak-kanak lelaki itu. Wajah Zahari tiba-tiba sahaja berubah apabila mendengar perkataan tengkuk ayam seperti yang diminta oleh kanak-kanak itu. Sudah berpuluh-puluh tahun, perkataan tengkuk ayam sentiasa melekat kuat di dalam hati Zahari. Malah, penduduk kampung juga memanggil dirinya sebagai ‘Ari Sitengkuk Ayam’.

“Ijal nak tengkuk ayam. Atuk dah simpan dan ada di dalam mangkuk tu,” jari telunjuk Pak Sehak segera ditunjukkan ke arah mangkuk kaca yang bertutup di atas para dapur.

Serta-merta kanak-kanak lelaki yang bernama Ijal itu menyanyi-nyanyi keriangan. Dia dengan pantas berlari menuju ke para lalu mengambil mangkuk kaca dengan senyuman yang melebar. Ijal meletakkan mangkuk kaca itu di atas meja dan tanpa mahu terus menunggu, Ijal meratah tengkuk ayam dengan penuh selera. Melihat kanak-kanak itu makan membuatkan Zahari tersenyum. Lantas terlintas di fikiran Zahari ketika dia masih kanak-kanak.

Kira-kira 41 tahun yang lalu ketika Zahari berumur 7 tahun, dia dan enam lagi adik-beradiknya dibesarkan dalam serba kemiskinan. Ibunya bekerja sebagai pemotong rumput di pejabat MARDI, manakala ayahnya pula bekerja sendiri iaitu membuat hulu pisau daripada kayu getah. Pendapatan ibunya yang tidak seberapa iaitu RM2 sehari tidak cukup untuk menampung keluarga yang ramai. Manakala ayahnya pula hanya kadang-kadang sahaja dapat menjual hulu pisau di kedai Ah Meng. Justeru kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh keluarga Zahari menyebabkan mereka jarang dapat makan.

Zahari menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali. Kemiskinan membuatkan seseorang itu cekal dan sabar. Malah, kemiskinanlah yang mengajar Zahari untuk menghargai kehidupan pada masa kini. Zahari menasihati anak-anaknya agar mengamalkan sikap jimat-cermat, malah Zahari sentiasa menggalakkan amalan menabung di dalam jiwa anak-anaknya.

Kata Zahari, “Membazir itu adalah amalan syaitan. Jadi jangan suka membazir. Dulu, ayah hidup susah. Makan pun hanya kadang-kadang. Kalau ada duit lebih, eloklah disimpan untuk keperluan yang mendesak nanti.”

Sebenarnya Zahari bukanlah seorang yang berkira. Malah jauh daripada sikap kedekut. Kerana hidup dalam kemiskinan itulah yang membuatkan Zahari sentiasa terpanggil untuk mengingatkan anak-anaknya. Sudah puas Zahari hidup dalam kemiskinan. Kadang-kadang untuk memenuhkan perut yang keroncong, Zahari dan adik-beradiknya hanya minum air paip sahaja. Dalam seminggu, hanya sekali sahaja mereka dapat makan nasi. Untuk hari yang lain, mereka hanya makan ubi kayu dan kacang goreng. Itu pun kalau ibunya dapat upah memotong rumput. Untuk mengharapkan jualan hulu pisau, barangkali sebulan atau dua bulan, barulah dapur di rumah mereka berasap.

Namun, Zahari bukan seperti adik-beradik yang lain. Zahari tidak makan makanan laut. Hanya makan ayam dan daging semata-mata. Bukanlah Zahari memilih tetapi Zahari sendiri tidak tahu mengapa dia mempunyai tabiat makan yang pelik? Dia langsung tidak boleh menjamah ikan dan makanan laut yang lain. Jika dia menjamahnya, dia akan muntah dan pengsan.

Disebabkan miskin, Zahari hanya makan nasi berlaukkan kicap semata-mata. Kadang-kadang kasihankan Zahari, ibunya akan mencari telur ayam hutan untuk dibuat lauk. Hari gaji merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh Zahari. Pada masa itu, pagi lagi ibunya akan ke pasar menunggu kalau-kalau ada tengkuk ayam yang tidak diingini oleh pelanggan. Kebiasaannya, pelanggan hanya memilih isi ayam dan membuang bahagian lain. Melalui simpati daripada penjual ayam, maka dapatlah ibu membawa pulang tengkuk ayam untuk Zahari.

Disebabkan tengkuk ayam jugalah Zahari dan abangnya dihukum oleh penduduk kampung. Kisah pahit itu meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati Zahari. Suatu masa dahulu, Zahari dan abangnya telah dituduh mencuri seekor ayam. Ayam jantan kepunyaan Pak Seman, jiran sebelah rumah itu yang menjadi punca kepada pergaduhan keluarga. Segalanya bermula apabila Zahari dan abangnya tanpa sengaja telah terjumpa ayam jantan Pak Seman yang merayau-rayau di kawasan semak di belakang rumah mereka. Ayam jantan Pak Seman yang mempunyai bulu berwarna merah dan bercampur hitam itu amat disayangi Pak Seman.

Zahari dan abangnya telah dituduh mencuri ayam jantan itu untuk dijadikan lauk makan tengah hari. Akhirnya, mereka dikenakan hukuman iaitu semalaman tidur di dalam reban ayam kepunyaan Pak Seman. Meskipun hukuman itu tidak seberapa tetapi maruah Zahari dan ahli keluarganya tercalar.

“Ijal juga macam kamu, suka makan tengkuk ayam. Kamu masih suka makan tengkuk ayam lagi ke?” soal Pak Sehak mematikan lamunan Zahari.

Zahari tersentak. Baru tersedar dia sudah terlalu jauh mengelamun. Teringatkan ayam jantan Pak Seman, hatinya sakit. Kerana ayam jantan itulah, dia dipulaukan kawan-kawannya di sekolah. Dia mendapat jolokan ‘Ari Sitengkuk Ayam’ juga daripada peristiwa pahit itu.

“Kau masih marahkan Pak Semankah? Sudah lama kisah itu berlaku. Sudah berpuluh-puluh tahun. Pergilah jumpa dengan Pak Seman. Dia asyik sebut nama kau saja. Kalau orang datang ke rumahnya, dia akan suruh orang itu pergi cari kau untuk minta maaf. Zahari, Pak Seman sudah semakin uzur.”

Tercengang mulut Zahari mendengar cerita mengenai Pak Seman. Semua rasa sakit hati dan dendam itu secara tiba-tiba merungkai keegoan hati Zahari. Disebabkan peristiwa yang lalu itu, natijahnya sudah terbalas kepada Pak Seman.

Lewat petang itu, dia ke rumah Pak Seman. Pak Seman yang sedang berbaring dan batuk-batuk itu dihampirinya. Pak Seman tercengang melihat kemunculan Zahari. Pak Seman menangis dan meminta maaf kerana sikap melulunya terhadap Zahari dan abangnya dahulu.

“Zahari, kamu masih suka makan tengkuk ayamkah? Jangan kerana peristiwa itu, menyebabkan kamu tidak sukakan makanan itu,” ujar Pak Seman.

Zahari tergumam. Kerana dendamnya itu, dia langsung tidak menyentuh tengkuk ayam sehingga hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...