Sabtu, 22 Oktober 2011

Pusat kokurikulum akan dibangunkan di Sandakan


Utusan Borneo
Berita Sabah
by NOORASVILLA MUHAMMA.

ANUGERAH... Muhiddin menyerahkan anugerah kepada Rhubasini Melissa Sekaran dari SMK Segaliud yang merupakan Murid Cemerlang Kokurikulum Sekolah Menengah Luar Bandar kategori perempuan.

SANDAKAN: Sebuah pusat kokurikulum akan dibangunkan di daerah ini dalam usaha memberi kemudahan prasarana pendidikan luar kepada pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Ia merupakan pusat kelima dibangunkan di negeri ini selepas Lahad Datu, Keningau dan Kudat selain Pusat Kokurikulum Negeri yang terletak di Tuaran.
Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin berkata pusat kokurikulum itu kelak akan dimanfaat dan digunakan bersama oleh pelajar-pelajar dari Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.
“Pusat kokurikulum yang akan diwujudkan di bangunan lama Sekolah Kebangsaan Sungai Kayu di sini sekaligus memberi kemudahan kepada sekolah-sekolah di kawasan Pantai Timur berikutan pusat sedia ada terletak jauh.
“Sementara menantikan kelulusan daripada pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Sabah akan memberi sokongan dan bantuan menerusi penyediaan peralatan dan kelengkapan untuk membolehkan pusat ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Anugerah Kokurikulum Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati di sini, kelmarin.
Pusat kokurikulum bertindak sebagai makmal bagi mengembangkan potensi peserta secara optimum, seimbang, menyeluruh dan bersepadu ke arah mencorakkan masyarakat yang berkeupayaan untuk memberi sumbangan yang konstruktif.
Dalam pada itu, Muhiddin berkata pihaknya akan terus berusaha untuk menyemarakkan kegiatan kokurikulum di semua peringkat sekolah bagi memastikan negeri ini tidak ketandusan pelapis berkualiti dan mampu mengukir nama di peringkat tinggi.
Katanya, ia termasuk menjalankan pelbagai perancangan dan pengukuhan program-program pembangunan dalam aktiviti kokurikulum.
Hari anugerah itu menyaksikan sembilan pelajar, dua guru dan 15 sekolah menerima anugerah kokurikulum masing-masing daripada lima kategori termasuk guru, murid, pendidikan khas, sekolah selain badan/kelab/persatuan/pasukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...