Utusan Borneo
Berita Tempatan Sarawak
TERHARU: Gabriel (kiri) ketika menyerahkan kad pengenalan kepada penduduk Long Banga pada satu majlis ringkas baru-baru ini. |
MIRI: Setelah lebih 40 tahun menanti, akhirnya 100 penduduk di Long Banga, Ulu Baram memiliki dokumen pengenalan diri.
Ketua Kampung, Gabriel Liran berkata, rata-rata mereka yang menerima MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini semuanya berumur 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, kegembiraan jelas terpampang di riak wajah mereka setelah menerima dokumen berkenaan oleh pihak JPN yang datang ke kawasan mereka, baru-baru ini.
“Ini adalah hasil daripada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lalu, terima kasih banyak kepada beliau,” ujarnya kepada Utusan Borneo semalam.
Gabriel turut menjelaskan bahawa kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai apa-apa dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
“Sebab itulah mereka menyatakan rasa syukur terhadap kerajaan kerana prihatin terhadap masalah yang membelenggu sejak sekian lama,” jelas Gabriel.
Pada masa sama, Gabriel turut menyampaikan kegembiraan penerima melalui janji mereka dalam pilihan raya akan datang.
“Kami semua pasti akan membalas baik budi kerajaan Barisan Nasional (BN), lihat sahaja dalam pilihan raya akan datang,” tambah beliau.
Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/22/selepas-40-tahun-akhirnya-100-warga-long-banga-miliki-mykad/#ixzz1bUsGNBQx
Tiada ulasan:
Catat Ulasan