Khamis, 23 Ogos 2018

TUJUH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

WASIAT YANG DITERJEMAHKAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN – Secara Ringkas
1.      MALAYSIA – perkara 1 (Nama, negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan) Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
2.      TANAH SIMPANAN MELAYU – Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)
Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.
3.      REJIMEN ASKAR MELAYU – Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972
Seksyen tersebut menyatakan:”Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu Diraja”.
Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua.
Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udaradarat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar Negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.
4.      RAJA-RAJA MELAYU – Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan Dan Permaisurinya)
Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun.
5.      ISLAM – Perkara 3
(Agama Bagi Persekutuan)
Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja/Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, Yang di-pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam negeri itu termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
6.      BAHASA MELAYU – Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada Perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.
7.      KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN – Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit Dan Sebagainya Untuk Orang Melayu) 
Perlembangan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada yang di-pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

(Dipetik dari Jabatan Penerangan Malaysia, R05 (B.M) JANUARI 2010 (100), Arkib Negara Malaysia 2010/0008911)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...