Khamis, 23 Ogos 2018

Fungsi - nya dalam Ayat

1. Saya amat simpati akan dirinya. (Saya sangat simpati akan Aina.)

2. Saya memarahi Adib kerana dia telah memecahkan pasunya yang mahal itu. (Saya memarahi Adib kerana dia telah memecahkan pasu dia yang mahal itu.)

Fungsi –nya juga dapat digantikan dengan dia atau beliau. Sebagai contoh:

3. Hantar kertas itu kepadanya. (Hantar kertas itu kepada dia/beliau.)

4. Doktor Faridah telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikannya. (Doktor Faridah telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikan beliau.)

Penggunaan –nya yang merujuk kepada Tuhan, ditulis dengan huruf besar dan didahului oleh tanda sempang (-). Penggunaannya terdapat dalam doa, seperti;

5. “Hanya kepada-Nya tempat aku mengadu dan bermohon.”

Fungsi –nya sebagai kata tugas dalam Tatabahasa Dewan terdiri daripada kata penekan dan kata pembenda. –nya sebagai kata penekan memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. –nya jenis ini juga digolongkan sebagai –nya penegas. Misalnya:

6. Sesungguhnya, cikgu itu telah difitnah sebelum ini.

7. Pokok manggis itu nampaknya akan tumbang.

8. Bahawasanya, tuntutan saman itu perlu diteruskan bagi membersihkan nama baik kita.

Kata pembenda menurut Tatabahasa Dewan ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Sebagai contoh –nya sebagai kata pembenda yang hadir pada akhir kata sifat itu mengubahkan kata sifat itu menjadi kata nama.

Contohnya:

9. Bukan kepalang rindunya kepadaku.

10. Dia menolak batang kelapa itu dengan kuatnya.

Fungsi –nya pada akhir kata nama membawa makna milik. Contohnya:

11. Kunci keretanya telah rosak.

12. Rumah di kaki bukit itu rumahnya.

Penggunaan –nya dalam ayat berfungsi sebagai objek kata kerja transitif.

13. Lebai Husin telah menutupnya  dengan papan.

14. Ismail telah mengecatnya setelah didesak oleh ibunya.

15. Khairi  menumbuknya beberapa kali.

Perkataan –nya juga digunakan untuk merujuk kepada perkataan atau perkara yang dinyatakan sebelumnya. Pada mulanya, Haziq hanya mengharapkan dia lulus sahaja dalam peperiksaan itu. Namun, harapannya bertukar apabila melihat abangnya telah memperoleh ijazah kelas pertama.

Fungsi –nya dapat pula merujuk kepada penyertaan. –nya membawa makna ‘berserta’ atau ‘bersama-sama’.

16. Siapakah yang belajar dengannya semalam.

17. Rayyan sedang bergurau dengannya di depan rumah.

-nya juga menunjukkan manfaat. Ada pihak lain yang mendapat manfaat daripada sesuatu perbuatan.

18. Zarina menghadiahkan jam tangan yang mahal kepadanya.

19. Ibu memasakkan bubur untuk tetamunya.

Penanda wacana juga menggunakan –nya.

20. Kita mestilah berfikir semasak-masaknya apabila membuat pilihan. Seandainya, kita salah membuat pilihan, maka musnahlah impian kita.

21. Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Kesilapan dalam penggunaan –nya.

1. Kata ganti diri ketiga ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi ‘ianya’.

Contoh:

a. Penagihan dadah dalam kalangan remaja perlu dibanteras segera kerana bimbang ianya akan menular. (X)

b. Penagihan dadah dalam kalangan remaja perlu dibanteras segera kerana bimbang perbuatan itu akan menular. (√)

2. Ayat yang hendak dipasifkan, bentuk –nya harus digantikan dengan kata atau frasa nama yang utuh. Binaan ayat tidak dapat diterima, jika –nya tidak digantikan. Teliti ayat 22 dan 24 di bawah ini.

                22. Nya telah ditutup oleh Husin  dengan papan (X)

                23. Lubang telah ditutup oleh Lebai Husin dengan papan. (√)

                24. Nya telah dicat oleh Ismail setelah didesak oleh ibunya. (X)

                25. Bilik telah dicat oleh Ismail setelah didesak oleh ibunya. (√)

                26. Nya ditumbuk oleh Khairi beberapa kali. (X)

                27. Khairul ditumbuk oleh Khairi beberapa kali. (√)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...