by Kepu Sidi
Utusan Borneo
BERKELIARAN: Antara gelagat beberapa ekor anjing liar sedang berkeliaran di Jalan Repok, yang dapat dirakam oleh lensa kamera pemberita, semalam. |
Ia mengundang rasa resah, suasana tidak selesa di kalangan penduduk dan pengunjung ke bandar ini
SARIKEI: Masalah kehadiran anjing liar di sekitar bandar ini mengundang rasa resah dan suasana tidak selesa di kalangan penduduk dan pengunjung yang berkunjung ke bandar ini.
Tinjauan pemberita ke beberapa lokasi yang sering diadukan oleh masyarakat sebagai ‘tumpuan’ anjing liar ini mendapati apa yang diadukan oleh masyarakat itu adalah benar.
Kawasan pasar basah, Tamu Nyelong serta beberapa kawasan kedai makan merupakan tumpuan utama sekumpulan anjing liar berkeliaran untuk mencari sisa-sisa makanan yang telah ditinggalkan.
Pekerja sebuah kedai menjual daging segar dan sejuk beku, Wong Lai Meng, 35, berkata, situasi anjing liar ini bukan hanya menjejaskan imej bandar tetapi turut mendatangkan kesan-kesan samping yang lain.
“Anjing liar ini juga antara punca menyebabkan longgokan sampah diselongkar sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran.
“Pemandangan seperti ini akan memberi imej yang tidak baik kepada Sarikei, terutama dalam usaha menjadikan bandar ini sebagai sebuah bandar agropolitan,” kata Wong ketika ditemui pemberita, semalam.
Bagi Ahmad Nizam, 52, dari Kampung Seberang Sarikei pula berkata, kehadiran anjing-anjing liar ini boleh memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat jika ia tidak diatasi dengan segera.
“Anjing-anjing ini selalu kami jumpa berkeliaran di jalan-jalan raya dan keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada para pengguna jalan raya iaitu boleh mengakibatkan kemalangan.
“Sehubungan itu saya menyeru kepada pihak yang bertanggungjawab agar segera mengambil tindakan dan langkah untuk mengatasi masalah ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Buat masa ini mungkin anjing itu tidak ganas tetapi siapa tahu keadaan boleh menjadi buruk jika ia terlalu lapar, ia mungkin bertindak agresif,” kata Ahmad.
Dalam tinjuan yang dilakukan oleh pemberita semalam mendapati anjing-anjing liar ini kerap berada dalam kelompok yang membabitkan jumlah sekitar tiga hingga enam ekor dalam satu kumpulan dan merayau dari satu kawasan ke kawasan lain.
Fenomena ini akan menjadi lebih jelas kelihatan pada sebelah petang apabila kebanyakan premis perniagaan sudah mula tutup dan peluang sebegini akan menjadikan anjing-anjing berkenaan bergerak aktif untuk mencari makanan dengan menyelongkar tong dan longgokan sampah.
Rata-rata masyarakat yang ditanyakan pendapat mereka tentang masalah terbabit, memohon agar pihak berkuasa tempatan dan pihak yang bertanggungjawab agar mengatasi masalah terbabit dengan segera sebelum ia menjadi satu masalah yang lebih parah kepada bandar ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan