Selasa, 18 Oktober 2011

Masih ramai pelajar sekolah menengah yang buta huruf di Sabah?


Berita Sabah
The Borneo Post


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Putatan menggesa pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan perhatian menyeluruh kepada masalah pelajar-pelajar sekolah menengah yang buta huruf di negeri ini.
Ketua Pemuda Umno Putatan, Ir Shahelmey Yahya berkata masih ramai pelajar sekolah menengah tidak pandai membaca sama ada di bandar ataupun kawasan pedalaman dan ia adalah satu masalah yang mampu memberikan impak negatif kepada para pelajar selepas tamat pembelajaran di sekolah mereka.
“Berdasarkan penemuan kita, terdapat beberapa pelajar di sekolah-sekolah menengah di sekitar ibu negeri yang masih belum pandai membaca dan ia adalah merupakan masalah meruncing sekiranya tidak ditangani secara rasional dan bijak.
“Sehubungan itu, Pemuda Umno Putatan menggesa pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengenal pasti punca dan seterusnya menyelesaikan masalah pelajar yang buta huruf ini,” katanya sambil menambah di kawasan pedalaman juga berkemungkinan besar mempunyai golongan pelajar buta huruf bukan sahaja di pusat-pusat bandar atau daerah seperti mana diketahui oleh pihaknya.
Tambah Shahelmey, perkara sedemikan amat perlu diberikan perhatian segera malah menurut penemuan pihaknya, ada pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan golongan buta huruf.
“Lantaran itu, kita mencadangkan pihak berkaitan untuk mengkaji polisi berkenaan seperti mewujudkan kelas khas kepada golongan pelajar buta huruf terbabit, kerana bukan sedikit melalui penemuan baru-baru ini, ada pelajar tingkatan lima di beberapa buah sekolah masih belum pandai membaca.
“Ini benar-benar berlaku dan kita takut sekiranya golongan ini tamat persekolahan apa akan jadi kepada mereka? Ia akan menyukarkan dari segi ruang persaingan kerjaya dan sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan mereka nanti.
“Bukankah kita mahu menyelaraskan program transformasi negara dengan melahirkan belia-belia yang terdidik dengan asuhan di sekolah-sekolah. Kalau perkara ini berlarutan akan menjejaskan kredibiliti sistem pendidikan di negara kita, khususnya di Sabah,” katanya.
Shahelmey berkata demikian selepas merasmikan Program Smart Jawab SPM 2011 anjuran Pergerakan Pemuda Umno Putatan di SM La Salle dekat sini Sabtu lalu.
Seramai 214 peserta mengikuti program berkenaan yang terdiri daripada pelajar dari SM La Salle, SMK Putatan, SMK Tansau, SM Stella Maris, SMK Pulau Gaya, SMK Kolombong dan SMK Sanzac.
Beberapa penceramah diundangkan khas yang juga terdiri daripada guru-guru cemerlang di sekolah masing-masing untuk menyampaikan motivasi dan ceramah berhubung mengoptimakan keputusan SPM para pelajar.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata program itu dilaksana untuk tahun ketiga dan pihaknya menerima respon positif daripada peserta dan guru-guru.
“Program Smart Jawab SPM 2011 ini adalah untuk memperkenalkan teknik-teknik menjawab dan mengoptimakan jawapan-jawapan untuk peperiksaan berkenaan.
“Ini merupakan inisiatif pihak kita untuk anak-anak dalam persediaan menghadapi SPM pada bulan hadapan.
“Pada asalnya, peserta dipilih berdasarkan kepada golongan yang tidak menonjol dalam pembelajaran mereka namun untuk kali ini, ada juga mempunyai rekod cemerlang turut mengambil bahagian.
Katanya, Pemuda Umno Putatan turut merakamkan penghargaan kepada pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana menyediakan bantuan pengangkutan dengan dua bas khusus kepada peserta-peserta Smart Jawab SPM 2011 berkenaan bersempena Program Merubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...