Sabtu, 13 Ogos 2011

Penjawat awam termasuk guru terlibat dadah di S’wak meningkat




22 orang termasuk seorang guru ditangkap dalam tempoh Januari hingga Julai pada tahun ini
KUCHING: Gejala penyalahgunaan dadah di kalangan penjawat awam di Sarawak semakin meningkat dengan 22 orang termasuk seorang guru ditangkap dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Moses Agat berkata dalam tempoh yang sama tahun lepas hanya 18 penjawat awam yang ditangkap.
“Secara keseluruhan pada tahun lepas, seramai 34 orang penjawat awam ditangkap melakukan pelbagai kesalahan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Moses berkata antara kesalahan yang dilakukan tahun lepas ialah seorang penjawat awam yang ditangkap di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
Beliau berkata pada tahun lepas juga seorang penjawat awam yang disyaki mengedar dadah atau terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis telah membongkar satu taktik menjual dadah dengan menyembunyikan paket dadah di dalam paket makanan dan membalingnya ke lokasi tertentu untuk dikutip oleh pembeli.
“Kaedah ini dikesan berikutan kejayaan polis di sini menangkap seorang suspek lelaki berusia 32 tahun malam semalam yang membalingkan paket dadah tersebut ke sebuah stesen perhentian bas berhampiran Pusat Perubatan Pakar Normah di Petra Jaya,” katanya.
Beliau berkata hasil maklumat orang awam dan intipan polis di lokasi tersebut, polis mengekori suspek bersama dua rakan lain yang telah membaling pakej dadah tersebut yang mengandungi 1.85 gram syabu dan 63.3 gram ketamin dianggar bernilai RM3,300.
“Suspek kini ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan dan sementara itu kita masih memburu dua rakan suspek yang kini sedang menyembunyikan diri,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...