Sabtu, 13 Ogos 2011

Lapor salah laku guru terus kepada Jabatan Pelajaran, bukan ahli politik




KUCHING: Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah menasihatkan orang ramai agar melaporkan dakwaan salah laku guru terus kepada Jabatan Pelajaran dan bukan berjumpa dengan mana-mana ahli politik.
Perkara ini menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu adalah untuk mengelakkan berlaku perkara yang boleh menjejaskan imej sektor pendidikan di negara ini.
Tambahan menurut beliau, pendidikan bukan isu yang boleh dipolitikkan tetapi satu isu yang perlu diselesaikan secara profesional.
“Pendidikan adalah satu bidang profesional dan seharusnya diselesaikan secara profesional dan bukan dengan tindakan melaporkan kepada mana-mana ahli politik terutamanya pembangkang kerana isu pendidikan ini bukanlah isu yang boleh dipolitikkan.
“Selain itu, pembangkang hanya mahu mensensasikan isu tersebut tetapi penghujungnya masih juga ia diselesaikan oleh Jabatan Pelajaran dan disebabkan itu, sebarang dakwaan salah laku guru perlu dilaporkan terus kepada Jabatan Pelajaran.
“Kita juga risau jika pembangkang mempunyai agenda lain di sebalik laporan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
Beliau telah diminta untuk mengulas mengenai dakwaan seorang guru berbangsa Dayak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak yang dipercayai mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada lima pelajar berbangsa Cina di sekolah tersebut.
Perkara tersebut telah dikemukakan oleh pelajar-pelajar tersebut kepada ADUN Kota Sentosa yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chien Jen.
Justeru, menurut Fatimah satu kumpulan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kecil (PPDK) Padawan telah dihantar untuk menyiasat perkara tersebut.
“Perkara ini masih lagi disiasat dan kini kita masih lagi menunggu laporan penuh mengenai perkara ini.
“Lagipun kita tidak boleh hanya mendengar daripada satu pihak sahaja dan kita perlu berlaku adil. Disebabkan itu laporan penuh mengenai kes ini amat perlu sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...