Assalamualaikum WBT.
Pada petang semalam, penulis dapat bertemu dan berbual dengan kawan penulis di sebuah restoran berdekatan dengan rumah penulis. Cuma perbualan antara kami berdua tidak sepertimana biasa. Kawan penulis menjentik hati penulis dengan mengemukakan persoalan sama ada penulis percaya atau tidak dengan kewujudan makhluk halus atau diistilahkan oleh orang Melayu sebagai hantu, toyol dan lain-lain. Terkesima dengan soalan yang menebak, mulut terkunci seketika.
Penulis memberi respons pertanyaan tersebut berdasarkan pembacaan dan pengetahuan yang tidak seluas manapun.
"Beginilah", penulis mula menyusun kata perbualan. "Mereka ini tergolong dalam kumpulan, jin dan syaitan. Jin dan syaitan pula telah dijelaskan dalam Al-Quran tentang kewujudannya. Oleh itu, hal ini melibatkan tentang akidah dan wajib beriman dengan kewujudannya." Kata aku. Wajah kawan penulis makin menjelmakan keresahan dalam hatinya.
Penulis terus melontarkan pendapat, "Menjadi rukun iman iaitu percaya kepada benda-benda ghaib dan ia telah disebutkan di dalam al-quran seperti jin, syaitan, syurga dan neraka. Oleh itu, tidak mempercayai makhluk halus boleh meruntuhkan akidah kita". Kawan penulis terus meneguk air kopi sambil tangan kiri mendagu.
"Orang Arab menggelarkan makhluk halus ini sebagai Al-Asybah ( bayang-bayang). Makhluk halus ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan tubuh badannya. Sebaliknya, mereka menjelmakan diri mereka dalam bentuk manusia dan binatang-binatang. Hal ini pernah berlaku ketika mesyuarat para musyrikin Quraisy apabila syaitan menyamar menjadi seorang pemimpin Quraisy bagi menghasut untuk membunuh Nabi SAW."
"Makhluk halus juga boleh menjelma sebagai binatang-binatang sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis bagaimana seorang sahabat menikam seekor ular yang berada di dalam rumahnya dan sahabat tersebut meninggal dunia kerana makhluk halus bertindak balas."
"Bagi aku, sifat semulajadi manusia adalah takut kepada sesuatu yang menakutkan. Dan hantu digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan. Maka, takut kepada hantu adalah biasa dan ia tindak balas semula jadi seorang manusia. Apa yang ditegah ialah, takut yang membawa kepada hilangnya takut kepada Allah SWT, takut kepada azab-Nya dan takut digolongkan menjadi ahli neraka, iaitu takut yang berlebih-lebihan." Penulis terus memberi pandangan yang tidak semestinya diterima oleh kawan penulis.
Usai penulis meluahkan rasa dan kata, kawan penulis mula mengaktifkan peti suaranya. Ceritanya, "pada minggu lepas, aku pulang lewat dari pejabat. Keadaan memang gelap pada waktu itu sementelahan lampu-lampu telah ditutup secara automatik."
Penulis dapat bayangkan keadaan gelap pada waktu itu kerana penulis juga bertugas di Putrajaya sepertimana kawan penulis. Kawan penulis meneruskan ceritanya, "perjalanan dari bilik aku ke pintu utama untuk menggunakan lif hanya 20 meter sahaja. Aku ditemani dengan lampu-lampu emergency yang ditulis EXIT. Selalunya memang tidak pernah merasai apa-apa, tetapi pada hari itu, semasa aku melalui kaunter pertanyaan, kelihatan kelibat seorang perempuan cantik tersenyum sambil duduk menyandar di kerusi. Perempuan yang tidak dikenali itu hanya membisu, sesekali memandang tepat kepada aku. Seram dan sejuk keadaan badan aku. Bulu roma tegak berdiri. Aku perlu meletakkan jari di sistem perakam waktu elektronik yang dinamakan e-Jari. Aku perlu melalui di hadapan perempuan yang tidak dikenali itu. Aku kuatkan semangat yang telah merudum dengan mulut terkumat-kamit membaca ayat al-Kursi yang sudah tidak betul susunannya."
Kawan penulis terus bercerita kepada penulis yang sedang mendagu pula, " sebaik sahaja selesai meletakkan jari yang sudah beberapa kali di e-Jari, aku terus ke pintu utama dan mencanak membuka pintu. Pada waktu itu, ekor mata menunjukkan perempuan cantik yang tidak dikenali itu masih memandang aku. Betapa sukarnya pada waktu itu untuk mendapatkan kunci yang tersimpan di dalam poket seluar. Kunci untuk pintu utama kerana aku orang terakhir yang meninggalkan pejabat pada hari itu. Perempuan itu sangat cantik, jelas di bawah sinaran lampu emergency."
Penulis dapat gambarkan wajah perempuan itu berdasarkan cerita yang penuh dengan kesungguhan kawan penulis.
Rambut ikal mayang
Hidung mancung bak seludang
Pipi bak pauh dilayang
Mata bersinar bak bintang kejora
Bibir merah bak delima
Kulit putih kuning bak langsat ranum
Dagu bak lebah bergantung
Alis lentik berlesung pipit
Leher jinjang meneguk air berkaca
Pipi tergantung bak ulas bermuda
Gigi tersusun bak sirih
Rambut ikal mayang
Hidung mancung bak seludang
Pipi bak pauh dilayang
Mata bersinar bak bintang kejora
Kawan penulis menghabiskan cerita yang disimpannya selama seminggu. Kejadian yang dialaminya tidak diceritakan kepada kawan-kawan sepejabat. Dia sudah serik menjadi personalia yang terakhir keluar daripada pejabat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan