Jumaat, 21 Disember 2018

Bila tiba detik itu...

Bila tiba detik itu...: RINTIK-RINTIK hujan mengundang kepiluan di hatiku tatkala melihat susuk tubuh rakan baikku yang penuh dengan wayar-wayar di hidung dan badannya.

Isnin, 17 Disember 2018

CERPEN "INSAFLAH HARIS!..."


 “INSAFLAH HARIS!...”
Oleh
AMATARA

HARIS begitu khusyuk bermain game secara online di komputer ribanya. Game Mafia Wars memiliki lebih dari pemain aktif iaitu 26,000,000 membuatnya menjadi salah satu permainan yang paling popular pada masa kini. Bermula dari sebuah keluarga Mafia bersama rakan-rakan, sipemain membina kerajaan kriminal dan berjuang untuk menjadi keluarga yang paling kuat. Jari-jemari Haris ligat menekan tombol keyboard yang mempunyai simbol tertentu dalam permainan itu. Sesekali kedengaran suara Haris menjerit kuat apabila beberapa simbol tenteranya ditembak bertubi-tubi oleh pihak lawan.
            “Haris!” jerit Umi memanggil anaknya.
            Haris yang sedang khusyuk bermain game langsung tidak mengendahkan panggilan ibunya. Malah, dia mengeluh keras kerana fokusnya terganggu dengan panggilan itu. Pantang baginya kalau ketika dia bermain game ada sahaja yang mahu mengganggu tumpuannya. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi mencari ruang untuk kedudukan yang lebih selesa.
            “Haris!”
            Umi menguak pintu sambil mengetap bibir. Sudah berbuih mulutnya memanggil nama Haris tetapi Haris langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti daripada bermain game. Sikap Haris yang biadap itu langsung tidak disenangi oleh Umi. Semuanya sudah menyalahi norma kehidupan seorang anak Melayu yang kaya dengan ketinggian nilai budi pekerti serta berakhlak mulia. Hanya kerana game, Haris sudah tersasar daripada jati diri dan peradaban bangsanya sendiri.
            “Haris! Tutup dulu game tu. Sakit hati Umi tengok Haris macam ni. Haris buat tak dengar saja bila Umi panggil sampai tekak Umi sakit. Haris nak jadi apa? Asyik main game saja.” Herdik Umi melepaskan perasaan amarahnya.
            “Ah! apa Umi ni. Tengok, semua askar Haris entah mati atau tidak? Sikit lagi je Umi.” Bentak Haris marah.
            Umi tergumam apabila mendengar kata-kata Haris. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia menampar mulut Haris biar sampai berdarah. Kalau tidak diajar dari sekarang, barangkali apabila sudah dewasa semakin berani menengking dan melawan ibu bapa. Pada masa itu, semestinya sudah terlambat ibarat, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Namun, niat itu terbatal dengan sendirinya apabila mengenangkan bukan salah Haris jadi begitu. Seingat Umi, hadiah komputer riba itu adalah bersempena hari ulang tahun Haris yang ke-9. Suaminya yang membelinya. Pada awalnya, memang semuanya berniat baik iaitu untuk membantu Haris agar belajar dengan menggunakan kemudahan teknologi yang terkini. Kata suaminya, Haris perlu belajar dan memahami selok-belok kemudahan ICT berpadanan dengan cara hidup generasi masa kini. Umi menghamburkan nafas apabila mengenangkan musibah yang diterimanya kini.
            “Haris...bukan ini caranya. Kemudahan yang babah beri ini untuk membantu meningkatkan pelajaran Haris. Ada banyak tugasan atau pun soalan-soalan yang boleh di download menerusi laman sesawang di internet. Haris boleh belajar dan menjawab soalan dari situ. Semuanya akan memudahkan ulang kaji Haris. Ini tidak, Haris lebih banyak bermain game daripada mengulang kaji. Kalau Haris cari maklumat atau info berkaitan subjek yang diajar di sekolah, sudah tentulah dapat memantapkan lagi ilmu pengetahuan. Kalau main game saja, apa yang Haris dapat? Insaflah Haris!” Umi berleter panjang lebar.
            “Sudahlah. Kawan kamu Razak sudah lama tunggu di ruang tamu untuk belajar bersama-sama.” Umi memberitahu hal yang sebenarnya lalu keluar dari bilik Haris.
            Haris menggaru-garu kepalanya walaupun tidak gatal. Dia sama sekali terlupa tentang janjinya untuk mengulang kaji bersama-sama dengan Razak. Setiap petang, Razak pasti akan datang ke rumahnya untuk mengulang kaji pelajaran. Razak yang merupakan jiran sebelah rumahnya itu sentiasa menepati masa. Mereka juga dari kelas dan sekolah yang sama. Cuma yang membezakan dia dan Razak adalah dari segi kemewahan yang dimilikinya.
            Razak merupakan anak sulung daripada lapan orang adik-beradik. Ayahnya bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya pula hanyalah suri rumah tangga. Mereka menyewa di sebelah rumah Haris. Keadaan adik-beradik yang ramai dan pendapatan yang terhad itu menyebabkan Razak mencari alternatif sendiri untuk mengulang kaji pelajaran. Jika tidak, sudah pastilah adik-adiknya yang ramai dan masih kecil itu akan mengganggu dan membantutkan pembelajarannya jika di rumah. Atas dasar simpati, Umi menyuruh Razak datang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama dengan Haris.
            Sorry Razak. Dah lama kau tunggu?” soal Haris sambil membawa beberapa buah buku rujukan.
            Razak yang sedang berdiri itu hanya tersengih hingga menampakkan giginya yang kekuningan. Dia membetulkan kolar baju yang dipakainya seperti mahu mengadap Pak Menteri.
            “Baru saja.” Ujar Razak sambil menarik kerusi lalu menghenyakkan punggungnya di situ.
            “Soalan yang Cikgu Shidah suruh buat tu kau dah buatkah?” tanya Razak sambil membelek halaman pada buku teks Matematik.
            Haris tidak menjawab. Fikirannya menerawang di segenap pelusuk rumah itu. Fikirannya melayang-layang ditiup oleh angin kemalasan hingga ke permukaan siling rumah. Hanya permainan game itu sahaja yang sedang merajai matanya ketika itu.
            “Haris... kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” soal Razak. Keningnya berkerut.
            “Apa...apa yang kau tanya tadi?” jawab Haris keliru.
            “Apa yang kau sedang fikirkan?” soal Razak ringkas.
            “Entahlah. Aku betul-betul tak ada mood nak ulang kaji sekarang.” Ujar Haris sambil menongkat dagu.
            Razak mengerutkan kening. Dia tidak dapat menterjemahkan apa yang sedang difikirkan oleh sahabatnya itu.
            “Haris, aku ni kawan kau. Kau dengarlah apa yang aku nak cakapkan. Aku tahu kau tak ada mood nak ulang kaji pelajaran. Jangan macam tu kawan. Pelajaran sangat penting untuk masa depan kita. Aku tahu apa yang ada dalam fikiran kau sekarang,” tegur Razak sambil mengangkat keningnya.
            Haris terkedu. Serta-merta riak wajahnya berubah.
            “Apa yang kau tahu?” soal Haris cuba meneka ramalan Razak.
            “Dalam kepala otak kau sekarang sudah tentu nak main game saja, kan?” tanya Razak sambil tersengih.
            Dengan pantas Haris menekup mulut Razak. Dia khuatir jika Uminya mendengar kata-kata Razak itu.
            “Betulkan?” soal Razak lagi.
            Haris hanya mengangguk seperti burung belatuk. Wajahnya nampak ceria apabila mendengar perkataan game.
            “Hmm...tak salah kalau kau main game. Tapi kenalah dahulukan mana yang lebih penting. Tujuan Babah kau belikan komputer riba itu adalah untuk kemudahan kau belajar. Ada baiknya kau memanfaatkan kemudahan itu untuk tujuan peningkatan ilmu pengetahuan kau. Kau beruntung. Tak macam aku langsung tak ada komputer riba di rumah. Kau sendiri tahu macam mana keadaan kami sekeluarga. ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Hendak belajar pun susah kerana aku ramai adik-adik. Tak macam kau anak tunggal. Semua kehendak dan kemahuan kau akan mudah dapat. Aku ni jangankan kata komputer, telefon pintar pun tak ada. Aku harap kau jangan sia-siakan kemudahan teknologi yang babah kau berikan tu, Masih belum terlambat kawan. Insaflah!” panjang lebar saja nasihat yang diberikan oleh Razak.
            Haris tidak ambil peduli. Nasihat Razak itu ibarat ‘mencurahkan air di daun keladi’.
            Kau pun dah macam umi aku. Suka beri ceramah percuma. Haris bermonolog sambil mencebikkan wajahnya.
            Haris bingkas bangun. Keadaan itu membuatkan Razak tergamam.
            “Kau nak ke mana tu? Ulang kaji kita belum habis lagi.”
            Haris hanya menggoyangkan tangan kanannya seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dibualkan lagi. Razak hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja apabila melihat perlakuan sahabatnya itu. Haris masuk ke dalam bilik lalu menekan punat on pada komputer ribanya. Sementara menunggu komputer ribanya dibuka, dia melihat pemandangan di luar jendela. Tidak ada apa-apa yang menarik perhatiannya ketika itu. Hanya kebosanan yang semakin melingkari perasaanya. Dia menguap beberapa kali. Dalam tak sedar, dia tertidur di hadapan komputer ribanya.
            Segala keseronokan pada petang itu dihabiskan dengan permainan game. Tiba-tiba dirinya menjelma menjadi seorang pemain utama dalam permainan itu. Haris meneliti baju yang dipakainya. Sepasang baju teluk belanga tersergam kemas pada tubuhnya. Dia kini berada di alam permainan siber yang diciptakannya sendiri.
            Sedang dia terpinga-pinga melihat keadaan di sekelilingnya, tiba-tiba bahunya dicuit orang.
            “Haris, tolong Babah! Tolong Babah!” suara Babahnya kedengaran kuat dari arah belakangnya.
            Haris berpaling ke belakang. Dia melihat kaki babahnya luka terkena tembakan. Darah merah pekat mengalir di kaki babahnya. Babahnya tidak dapat berjalan. Wajah Babah berkerut sakit. Sesekali, dia menyeringai menahan kesakitan. Haris memapah Babahnya menuju ke semak di belakang sebuah rumah. Ketika dia sampai di situ, beberapa orang tentera sedang mengarahkan kesemua penghuni rumah itu keluar. Dari pengamatan Haris, kesemua tentera itu memakai uniform tentera Jepun. Haris terpinga-pinga. Apa yang dilihatnya kini saling tidak ubah seperti dalam filem ‘Sarjan Hassan’.
            “Potong  kapala,” jawab seorang tentera Jepun sambil menghunuskan mata pedangnya yang berkilau ke arah seorang lelaki tua yang telah ditangkap.
            Sekali hayunan sahaja, mata pedang itu memisahkan kepala daripada badan lelaki itu. Haris terduduk di dalam belukar ketika menyaksikan adegan itu. Beberapa orang lelaki muda pula disuruh minum air sabun sehingga perut menjadi kembung. Kemudian, perut mereka dipijak oleh tentera Jepun sehingga terkeluar air yang diminum. Jeritan dan pekikan sentiasa mewarnai seluruh kawasan itu. Ada di antara mereka yang dirodok perut dengan mata pedang oleh tentera Jepun. Haris menekup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. Dia hampir menjerit melihat kekejaman yang dilakukan itu.
            “Kamu!” tiba-tiba seorang tentera Jepun dari arah belakang Haris menghunuskan mata pedang ke arah Haris. Haris tersentak. Dia tergamam. Dia dan Babahnya langsung tidak dapat melarikan diri. Entah dari mana tentera jepun itu datang tanpa disedari.
            “Kamu! Potong Kapala!”
            “Jangan! Jangan potong kepalaku. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku. Tolonglah aku!” jerit Haris sekuat hati.
            Haris ingin lari. Kalau boleh dia mahu  lari sejauh yang mungkin. Tiba-tiba dia terasa badannya bergoyang-goyang. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Wajah Umi dan Razak sedang memerhatikan dirinya dengan wajah yang penuh curiga.
            “Umi!” jerit Haris sambil menangis.
            Razak dan Umi saling berpandangan. Mereka tidak tahu apa yang telah dilalui oleh Haris.
            “Kenapa ni? agaknya Haris mimpi.” Jawab Umi sambil mengesat air mata Haris.
            “Umi, maafkan Haris. Haris janji tak akan ingkar cakap Umi lagi. Mulai hari ini, Haris tak mahu main game lagi. Haris nak belajar bersungguh-sungguh. Haris tak mahu mati ditangan tentera Jepun.”
            Sekali lagi Razak dan Umi berpandangan sesama sendiri. Mereka masih keliru dengan sikap yang ditunjukkan oleh Haris.
            “Tentera Jepun?” soal Razak sambil ketawa.
            Umi hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja apabila mendengar ‘tentera Jepun’ itu. Manakala Haris masih terpinga-pinga memikirkan apa yang telah berlaku.
            Mulai hari itu, Haris tidak lagi bermain game. Kemudahan internet yang diberikan kepadanya digunakan dengan sebaik mungkin. Setiap petang, dia dan Razak akan belajar mengulang kaji secara online. Soalan-soalan UPSR tahun lepas dan juga kerja rumah yang diberi oleh guru dirujuk melalui pencariannya di google. Info dan carian diperoleh tanpa sempadan.
            Benarlah kata Cikgu Shidah, kepantasan dan kemudahan meneroka pelbagai sumber maklumat secara global melalui Internet membolehkan pelajar menjana pengetahuan mengikut kebolehan mereka dan ini membantu kepada pencapaian matlamat yang lebih bermakna dengan tidak hanya menghafal fakta.
            Kini, Umi dan Babah boleh tersenyum bangga. Bangga kerana pada peperiksaan akhir tahun itu Haris telah berjaya memperoleh kedudukan tempat pertama di dalam kelas. Manakala Razak pula mengikut rapat dengan menduduki tempat kedua.  Umi paling gembira dengan pencapaian dan perubahan Haris. Kerana ‘tentera Jepun’ itulah maka kemudahan internet tidak lagi disia-siakan oleh Haris.



Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...