Ahad, 28 Jun 2009

Konvoi Ke Apartment Sri Ehsan, Kepong



Kepong, 28 Jun 2009- Apartment Sri Ehsan dikunjungi oleh Kelab Rekreasi dan Kekeluargaan SEMERBAK membuat lawatan ke rumah Yuzi yang juga merupakan ahli Kelab seumur hidup. Konvoi yang diketuai oleh Tn.Hj.Ibrahim bin Abdullah mula bergerak meninggalkan Greenwood tepat pukul 9.30am. Penulis bersama Yuzi menunggu kumpulan Kelab tersebut di hadapan Stesen Minyak BHP Tmn.Sri Ehsan. Azam, Firdaus, Am, Abe Mi, Kak Zura serta anak-anak, Roziah serta anak-anak turut memeriahkan program pada kali ini. Pelbagai program telah diatur sepanjang konvoi tersebut. Tn.Hj Ibrahim yang bertindak sebagai 'marsyal' memberi taklimat ringkas tentang keselamatan jalan raya dan mengingatkan ahli-ahli supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t sepanjang perjalanan ke Kepong. Peserta konvoi dihidangkan pemandangan indah sepanjang konvoi berjalan. Pemandangan Tasik Metropolitan, Kepong mengujakan peserta konvoi. Tambahan pula, suasana damai di Kepong membuatkan para peserta melupakan kesibukan Greenwood yang dikenali sebagai kawasan termeriah di Gombak.


Tepat pukul 10.00 am pesrta konvoi tiba dengan selamat di Stesen Minyak BHP Tmn.Sri Ehsan. Setelah memastikan tidak ada peserta yang teringgal atau terbabas ke tempat lain, Yuzi dengan wajah tersenyum-senyum, mengarahkan anggota konvoi untuk membontoti keretanya. Kami akhirnya selamat tiba di perkarangan Apartment Sri Ehsan dengan disambut oleh Pengawal Keselamatan yang begitu berkarisma. Mereka seperti pelakon tambahan yang dipukul mati oleh hero filem Hindi. Sambutan yang diterima membuatkan anggota konvoi hilang rasa penat memandu menempuh pelbagai halangan yang tidak dapat dibayangkan.


Kemudian anggota konvoi diarahkan berehat 10 minit sebelum bergerak ke Blok H Apartment Sri Ehsan. Tn.Hj. Ibrahim bin Abdullah mengarahkan kami mengadakan aktiviti tarik dan hembus nafas supaya darah di dalam badan berjalan lancar.




Selepas aktiviti tarik dan hembus nafas, kami beramai-ramai bergerak ke rumah Yuzi. Sambutan yang diterima daripada keluarga Yuzi membuatkan kami tidak sabar untuk menikmati nasi dagang Trengganu. Sambil menikmati nasi dagang, anggota konvoi dapat menggomol anak pertama Yuzi yang diletak namanya 'Alif Irfan' berumur 48 hari. Kecomelannya mengalahkan ayahnya. Ini membuatkan ayahnya tidak senang duduk dengan sikap tetamu yang tidak memperdulikan ayahnya, sebaliknya memberi perhatian kepada Yuzi Junior. Untuk menghilangkan rasa geram, Yuzi akhirnya mengambil peluang keemasan mempromosikan perniagaan 'ceramicnya'. Anggota konvoi mendengar dengan penuh gembira dan ada yang bersahaja dan mendengar selamba.

Apapun, konvoi pada kali ini berjaya. Cuma ketidakhadiran tetamu VVIP, YM Tengku Syahrul amat mengejutkan semua ahli kerana Tengku tidak pernah menolak sekiranya diajak makan nasi dagang dan teh ais kegemarannya. Tolong jawab surat tunjuk sebab kepada Tn.Hj.Ibrahim bin Abdullah pada 29.6.2009. Pada kesempatan ini juga pihak kelab mengucapakan Selamat Hari Jadi buat Ira, puteri kepada Azam yang turut menyambut hari lahirnya pada hari ini.



Sekian, wassalam.

MD RASUL BIN HARON










Isnin, 18 Mei 2009

Sambutan Hari Guru 2009 SEMERBAK

Greenwood-18 Mei 2009- Mengenang jasa. Bagi menghargai bakti pendidik yang tidak jemu mengajar, Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan(BKGK)SMK Seri Gombak dan Lembaga Pengawas Sekolah telah menganjurkan sambutan hari guru peringkat sekolah. Pengerusi BKGK Semerbak, Pn.Sapiah bt Mohd Baki berkata, tujuan sambutan adalah untuk menghargai jasa guru yang telah mendidik anak-anak SMK Seri Gombak dan menjadikan ia sebagai satu platform untuk merapatkan hubungan antara guru-guru dengan pelajar serta dengan ibu bapa. Kehadiran YDP PIBG SMK Seri Gombak, Dr.Ir Mohamad Helmi bin Zulkawi bersama-sama AJK PIBG lain ke majlis sambutan hari guru mewarnakan lagi suasana pada hari ini. Seawal jam 7.00 pagi pengawas-pengawas sekolah di bawah penasihat, Pn.Adura bt Mohamed sudah sibuk memastikan segala persiapan termasuk tempat sambutan dan peralatan berada pada tahap 'A'. Kehadiran pelajar-pelajar serta guru-guru sesi petang pada sesi pagi adalah semata-mata untuk menunjukkan bahawa begitu erat dan akrabnya hubungan warga SEMERBAK. Kemeriahan sambutan dapat dirasai pada 8.00 pagi apabila majlis bermula secara rasmi.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Sekolah. Seterusnya penulis diamanahkan untuk membaca perutusan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin. Lepas itu, Pn.Nurhanani pula membaca perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato'Hj Alimuddin bin Mohd Dom.


Ketua Pelajar, Saudara Farid juga tidak melepaskan peluang untuk berucap. pada hari yang begitu istimewa. Farid mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di SMK Seri Gombak. Kemudian Pn.Rahimah bt Omar, Pengetua SMK Seri Gombak berucap dan turut menyatakan penghargaan beliau terhadap jasa dan pengorbanan guru-guru yang tidak pernah mengenal erti jemu dalam mendidik pelajar-pelajar. Di samping itu, beliau mengingatkan semua guru untuk terus menghayati tema hari guru tahun 2009, Guru Pembina Negara Bangsa. Pengetua kemudian menyampaikan sijil-sijil penghargaan cemerlang kepada guru-guru mata pelajaran yang meningkatkan prestasi pencapaian akademik PMR dan SPM. Guru-guru yang tidak pernah mengambil MC juga diberi penghargaan. Penulis pun masuk di dalam senarai. Acara perhimpunan khas hari guru diteruskan dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh penulis sendiri. Sebelum acara persembahan hari guru, kami guru-guru menyanyikan lagu 'Kami Guru Malaysia' dan Lagu Tema Hari Guru 2009,'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Lebih kurang 10.20 pagi, semua guru, tetamu jemputan dan para pelajar mula berkumpul di kantin sekolah untuk dihidangkan persembahan segar oleh guru-guru dan para pelajar. Persembahan pertama diserikan dengan deklamasi sajak oleh Cik Wina dan penulis. Sajak kedua, kami turut ditemani oleh Pn.Sapiah. Antara persembahan yang dapat disaksikan pada hari sambutan adalah seperti Nyanyian oleh Guru-Guru (GSTT), nyanyian nasyid, sketsa pelajar, dikir barat, coral speaking, tarian India dan tarian Endang. Saudara Alif turut menyumbangkan dua buah lagu dengan tiupan soprano sexaphone.











SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU TIDAK KIRA DI MANA BERADA...











































































































































Sabtu, 16 Mei 2009

Perasaanku Sempena Hari Guru

Assalamualaikum W.B.T kepada semua followers dan pembaca ruangan Wadah Pajak Song. Setiap kali tiba hari guru, 16 Mei, aku adalah insan yang paling gembira dan ceria. Manakan tidak, hari guru adalah hari yang amat bermakna buat diri aku yang bergelar sebagai seorang pendidik sejak tahun 1993.
Iqra'-Bacalah. Perkataan pertama yang diajar pada nabi Muhammad s.a.w memberi banyak pengertian kepada umat manusia. Segala apa yang ada di dunia dan di akhirat akan hanya boleh dipelajari dan dihayati sekiranya kita memahami dan untuk memahami semua ini kita mestilah membaca. Bermula dengan membaca, kita akan diperkenalkan kepada ilmu dan ilmu inilah yang akan mengajar kita cara hidup, tujuan hidup dan sebagainya. Tanpa ilmu, manusia tidak akan ada pengetahuan dan tanpa pengetahuan, manusia akan hidup seperti zaman batu, bukan sahaja tiada kemajuan malah tiada tujuan hidup. Bila bercakap tentang ilmu, kita tidak boleh lari daripada pendidikan iaitu cara sistematik untuk mendapatkan ilmu. Ia bermula daripada Guru-Guru yang mengajar di pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan universiti. Lantas guru sepatutnya menjadi satu pekerjaan yang dihormati oleh masyarakat dan menduduki status sosial yang tinggi.
Skim ganjaran dan saraan profesion perguruan perlu dinaikkan oleh Kerajaan Malaysia. Skim ganjaran yang kompetitif perlu disusun sesuai dengan peredaran zaman demi memastikan bakat terbaik menjadi guru. Kami sebagai guru sentiasa bersedia dari aspek pengetahuan, skil dan emosi untuk memikul tanggungjawab sebagai pendidik. Ada segelintir ahli masyarakat luar yang tidak memahami tugas perguruan, hanya pandai mengkritik. Bagi mereka, apa yang dilakukan oleh pihak sekolah semuanya tidak betul dan menyalahi peraturan. Sedangkan anak-anaknya terus merudum prestasi akademik. Anak-anaknya begitu bijaksana menipu ibu bapa yang selalu menegakkan benang basah. Anak-anak ini tahu, bapanya yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi seperti guru-gurunya yang mendapat ilmu di menara gading akan menunjukkan kehebatan di pejabat pentadbiran sekolah dengan membawa imej kononnya dia adalah golongan intektual yang mempunyai transkrip ijazah berjela-jela panjangnya. Dari situ, golongan yang menyedihkan ini mula menutur kata bak ceti. Berjalan membusung dada membawa handphone saguhati bagai wakil rakyat melawat kawasan. Mula menunjuk-nunjuk bahawa hanya dia yang mengenali menteri. Menteri itu. Menteri ini. Benarkah menteri mengenali golongan yang selipar berwarna-warni dan cakap yang tinggi-tinggi ini dan datang dengan teksi. Tahukah golongan ini, guru-guru yang mereka hadapi ini sudah mengetahui lagak-lagak ngeri dan basi ini. Kita sebagai golongan yang berpendidikan lebih suka berdiam diri apabila menghadapi golongan yang sebegini. Ibu bapa begini hanya mahu anaknya lulus tidak tinggi supaya kemudian hari anaknya boleh menjadi pengganti diri sebagai bapa mithali yang cakap tidak berhenti-henti tetapi kerja kurang sekali, mendapatkan ilmu jauh sekali.
Marilah kita sama-sama memikirkan masa depan anak-anak kita. Jangan hanya pandai menyalahkan pihak sekolah apabila anak-anak kita cabut lari. Anak yang baik tingkah lakunya di sekolah adalah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang punya visi dan jati diri. Guru-guru hanya senyum simpul dan bersimpul-simpul apabila mendengar kelentongan sesetengah ibu bapa yang seperti tidak mengerti yang kita ini ada kredibeliti dan mentaliti tinggi. Hormatilah guru-guru...baik yang lama atau yang baru
Sekian.

Rabu, 13 Mei 2009

Kejohanan Bola Tampar MSS Selangor 2009







Kuala Selangor-10 Mei 2009. Kontinjen Bola Tampar Gombak berkumpul di SMK Seri Gombak sebelum berangkat secara konvoi ke Kuala Selangor. Lebih kurang pukul 2.00 petang dengan semangat membara untuk menjulang nama Gombak, enjin kereta mula menderum-derum seperti tidak sabar memulakan perlumbaan Formula 3 di litar Sepang. Manakan tidak, pada pukul 4.00 petang. Pegawai-pegawai pasukan seperti Azam, Aina dan Kak Nora perlu menghadiri mesyuarat pengurus pasukan dan pendaftaran serta semakan borang M01, R01, M02 dan R02.


Pendaftaran dan taklimat berlangsung di Pantai Indah Seaview Resort. Penulis bersama Kamrul pula menghadiri mesyuarat pengurus pasukan. Kelihatan di dalam gambar, Azam, Aina dan Kak Nora begitu tekun mendengar penerangan Pegawai Pendaftaran yang begitu semangat menyambut pegawai-pegawai dari Gombak. Bukan apa, selepas Gombak membuat pendaftaran, boleh lah pegawai-pegawai yang rambut dibelah tepi ini rehat. Pasukan P15 dan P18 pada ketika dan saat ini sedang menikmati udara segar di Apartmen Majlis Daerah Kuala Selangor.Kedatangan Dr.Ir Mohd Helmi Yang DiPertua PIBG SMK Sri Gombak pada hari pendaftaran juga menyuntik semangat pasukan Gombak. Beliau memberi kata-kata semangat kepada pegawai-pegawai dan pemain-pemain bola tampar untuk mengharumkan nama Gombak. Beliau turut berpuas hati dengan kemudahan penginapan yang disediakan oleh pihak penganjur dan sempat membuat tinjauan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan apartmen.

Walaupun masih belum menikmati makanan tengahari, pegawai-pegawai serta pemain-pemain bola tampar Gambar tetap senyum dan bertegur sapa dengan kontinjen daerah lain yang jalan membusung dada menunjukkan ciri-ciri mereka adalah pasukan yang sukar ditandingi. Pembawaan pasukan-pasukan daerah lain ini tidak sedikitpun memberi getaran jiwa kepada pasukan Gombak yang terkenal dengan sikap singa di dalam hati. Di luar senyum. Di dalam mengaum. Ganas... ganas...

Pasukan Gombak beruntung kerana Kak Nora yang terkenal dengan sikap menjaga kebajikan kontinjen Gombak mulai risau dengan makan-minum pemain-pemain dan pegawai-pegawai. Kak Nora mula membuat tinjauan kedai-kedai makan lima bintang di sekitar Kuala Selangor. Mas Ayu yang bertindak sebagai Pegawai Kebersihan Makanan, Pegawai Kesedapan Makanan, Pegawai Pemantau Makanan Baru Atau Lama dan macam-macam lagi jawatan telah menetapkan kedai-kedai yang diberi penarafan 'A' untuk pasukan Gombak menyerbu menghabiskan makanan yang dihidangkan oleh peniaga-peniaga yang tidak sangka rezekinya bertambah di sepanjang kejohanan berlangsung bermula 10-15 Mei 2009. Ada peniaga yang berkira-kira nak tukar sport-rim kereta baru. Ada isteri peniaga asyik membelek pergelangan tangan dengan menjerit, 'gelang emas bang, murah aje, 1 gram baru RM 103. Pasukan Gombak datang makan dan minum sahaja boleh mencecah RM 140 hingga RM 200 dan mungkin lebih. Itu baru satu sesi menghadap makanan.





Komitmen Jurulatih-Jurulatih yang tidak kenal letih seperti Enal, Saras, Neezam, Farah, Hel dan Wan untuk meletakkan nama Gombak pada tempat yang terbilang memang tidak dapat disangkal lagi. Walaupun pada kejohanan kali ini pasukan P15 dan P 18 tidak merangkul gelaran Johan. Pasukan Bola Tampar Gombak masih diiktiraf sebagai pasukan lima terbaik di negeri Selangor. TAHNIAH. Tidak dilupakan juga pasukan perempuan 12 yang mendapat sentuhan jurulatih-jurulatih yang tidak dapat disangkal kredibeliti mereka. Antaranya Sir Yazid dan Hafeez yang dikenali sebagai "The Greatest Blocker" dalam kalangan peminat bola tampar daerah Gombak. Pasukan perempuan 12 berjaya mendapat tempat ketiga pada peringkat negeri Selangor.




Apa yang membanggakan pasukan L 12 berjaya merangkul gelaran Juara Bola Tampar Lelaki MSS Selangor 2009. Kejayaan membenamkan pasukan dari Sabak Bernam merupakan kenangan terindah. Manakan tidak, ramai penyokong Gombak berteriak bagai histeria apabila Gombak menang dengan penuh bergaya.




Cabaran seterusnya dibawa oleh pasukan Lelaki 15 dan 18. Menurut Pengerusi Teknik Bola Tampar Daerah Gombak, Azam bin Hashim yang juga dikenali sebagai "The King of Setter" dalam kalangan jurulatih dan pemain bola tampar Gombak, pelbagai persiapan telah mereka lalui sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut dan mereka sudah giat menjalani latihan setiap hari bagi memantapkan lagi corak permainan. Pasukan kita diwakili pemain yang mempunyai fizikal dan mental yang mantap. Jadi, pendedahan pada kejohanan peringkat negeri ini adalah jalan terbaik bagi membolehkan kami bersaing pada peringkat kebangsaan kelak.


Pendapat Azam turut disokong oleh Aina dan Ayu yang setia menyokong pasukan Gombak. Mereka begitu fanatik dan agak ekstrem apabila menjerit nama Gombak yang sudah sebati di dalam jiwa mereka. Selain membantu Kak Nora dalam menyediakan makanan dan kebajikan pasukan Gombak, mereka juga penjerit nama Gombak di dalam keriuhan dan kebisingan penonton-penonton lain di Stadium Tertutup Majlis Daerah Kuala Selangor. Kelihatan di sebelah Aina seorang penyokong daerah lain yang mungkin sedang membuat panggilan kepada pihak polis agar mengambil tindakan tegas kepada kedua-dua penyokong yang fanatik ini. Hasratnya satu, keluarkan mereka berdua dari stadium atau penjarakan mereka sehingga tamat kejohanan.


Pada hari Jumaat 15 Mei 2009, tiba saat yang menyedihkan. Wan Kamarul tidak dapat berpisah dengan baby Kak Nora. Manakan tidak baby merupakan salah seorang pengunjung setia Stadium Tertutup MDKS.













Tahniah pasukan Gombak. Gombak masih terbaik dan masih menjadi igauan daerah-daerah lain.






Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...