Sabtu, 3 September 2011

Skim tawaran baru guru dijangka diumumkan dalam masa terdekat


Posted on September 2, 2011, Friday(The Borneo Post)


KUCHING: Kerajaan dalam masa terdekat dijangka mengumumkan perincian skim tawaran baru dan bayaran insentif kepada guru seperti yang diumumkan pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di sini baru-baru ini.
Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, perincian di peringkat makmal itu kini sudah pada tahap terakhir, yang bukan sahaja melibatkan imbuhan pengetua tetapi penjawatan perguruan secara holistik.
“Kita difahamkan bahawa perincian ini akan memberi kelegaan kepada para guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya di kediamannya di sini, semalam.
Pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuching, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bayaran insentif tawaran baru dan bayaran insentif sekolah berprestasi tinggi kepada pengetua, guru besar serta warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan di sekolah masing-masing.
Selepas pengumuman me-ngenai skim tawaran baru itu dibuat, ia telah menerima banyak rungutan khususnya daripada Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) dan beberapa kesatuan guru.
Susulan itu, ia dibawa ke peringkat makmal untuk perincian semula dan turut dibawa ke dalam mesyuarat kabinet.



Selasa, 30 Ogos 2011

Hafal punca pelajar tak kreatif berfikir




ABDUL HALIM ABDULLAH, 
Fakulti Pendidikan, 
Universiti Kebangsaan Malaysia. 

KETIKA Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri ada menyatakan pelajar sekolah pada hari ini perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning. 

Golongan guru pula perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya pelajar tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini.
Sebagai ahli akademik, saya amat bersetuju dengan saranan Datuk Seri Najib Razak dan saya melihat belajar secara menghafal mendatangkan banyak kesan negatif kepada pelajar.
Belajar secara menghafal ini kebiasaannya sesuai dipraktikkan kepada kanak-kanak yang mindanya masih dalam proses perkembangan. Mereka menghafal tanpa memahami apa sebenar dihafalnya. 

Lazimnya, kanak-kanak ini lebih ke hadapan berbanding rakan sebaya mereka yang tidak belajar langsung disebabkan maklumat yang disimpan dalam minda kesan daripada hafalan. 

Bagaimanapun, cara ini tidak sesuai dipraktikkan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia meminta pelajar mengingat sesuatu fakta secara berulangan. 

Impaknya, pelajar malas berfikir dan tidak memahami apa sebenar dihafalnya. Sedangkan kebanyakan sukatan pelajaran begitu menekankan proses berfikir. Contohnya matlamat pelajaran Matematik umpamanya melahirkan pelajar berkebolehan berfikir secara matematik dan mampu mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan. 
Justeru, apabila kaedah belajar secara hafalan ini terus diaplikasikan, sistem pendidikan pada hari ini akan terus melahirkan generasi pelajar tidak berpengetahuan. 

Ada beberapa kajian lepas yang menunjukkan pelajar yang mengamalkan kaedah belajar secara hafalan menghadapi masalah pada peringkat universiti. Ini disebabkan segala maklumat yang dihafal pelajar disimpan dalam ruang ingatan jangka pendek dan tidak bertahan untuk jangka panjang. 

Kaedah belajar secara menghafal juga membosankan pelajar kerana tidak diberi peluang meneroka sendiri konsep itu. kehadiran pelbagai teknologi pendidikan boleh digunakan dalam bilik darjah untuk mengelak belajar secara menghafal. 

ABDUL HALIM ABDULLAH, 
Fakulti Pendidikan, 
Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Isnin, 29 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432H daripada Cikgu Rasul



Assalamualaikum W.B.T
Saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada muslimin dan muslimat walau di mana berada. Terima kasih atas sokongan pada blog WADAH PAJAK SONG iCIKGU RASUL


Saya pulang berhari raya di Pajak Song, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang


YGMB bantu guru lanjut pelajaran


Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my


ALIMUDDIN Mohd. Dom dan Anuwar Ali berjabat tangan selepas menandatangani MoU
 antara YGBM dan OUM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam usaha untuk melahirkan warga pendidik yang mempunyai tahap pendidikan tinggi selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan mutu pendidikan negara, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) mengambil inisiatif dengan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran kepada golongan tersebut.

Peluang ini terbuka kepada semua guru di bawah Kementerian Pelajaran (KPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Kedoktoran (PhD) dalam hampir kesemua bidang yang ditawarkan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya bersedia menawarkan pinjaman kewangan kepada golongan pendidik termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
"Pinjaman dengan jumlah maksimum sebanyak RM30,000 akan disediakan oleh Koperasi YGMB kepada setiap ahli yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Alimuddin, perjanjian kerjasama dengan OUM itu sekali gus dapat membuka peluang kepada warga pendidik untuk mendapatkan pendidikan ke tahap tertinggi di samping menjaga kebajikan ahli-ahli YGMB.
"Pihak YGMB bukan sahaja menjaga kebajikan ahli-ahlinya dalam bentuk kewangan yang bersifat sementara namun kali ini fokus kepada perkara yang lebih bernilai untuk masa depan iaitu pendidikan.
"Pinjaman ini pastinya dapat membantu memudahkan lagi urusan warga pendidik kerana pelbagai kemudahan lain turut disediakan dan ia diuruskan sepenuhnya oleh pihak yayasan dan universiti," terang beliau.
Jelasnya lagi, tempat dan tenaga pengajaran bagi program pengajian di OUM juga tidak terbatas di kampus utamanya di Kuala Lumpur sahaja.
"Bagi guru-guru yang berada di luar Kuala Lumpur, tenaga pengajar dan tempat akan disediakan di lokasi berhampiran di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
"Pendekatan ini amat membantu dalam memudahkan guru-guru yang ditempatkan di luar Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu ke kampus utama OUM," ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, pengajian di universiti ini juga lebih kepada kaedah pembelajaran atas talian (online learning) yang tidak memerlukan para pelajar bertemu pensyarah secara bersemuka. Manakala sesi pengajian pula dijalankan pada hujung minggu sahaja.
"Oleh yang demikian, ia dapat mengelakkan aktiviti pembelajaran di universiti itu daripada mengganggu kerja-kerja harian guru di sekolah," katanya lagi.
Bagaimanapun Alimuddin memberitahu, beberapa kriteria tertentu perlu diberi pertimbangan sebelum seseorang guru itu layak untuk melanjutkan pelajarannya.
"Pihak YGMB berharap agar guru-guru yang masih belum mempunyai ijazah supaya merebut peluang ini bukan sahaja untuk meningkatkan tahap pendidikan malah sebagai salah satu cara untuk kenaikan pangkat," jelas beliau.
Pada masa yang sama, YGMB juga dalam proses untuk mengadakan kerjasama serupa dengan beberapa universiti lain seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).
Sementara itu, Tan Sri Anuwar Ali berkata, OUM telah bersedia menerima kemasukan lebih 100,000 ahli yayasan itu dengan program yang telah diubah suai mengikut keselesaan mereka.
"Sehingga kini pihak OUM mempunyai hampir 30,000 pelajar yang telah menyambung pelajaran mereka dalam bidang pendidikan dan ini menunjukkan kepercayaan warga pendidik terhadap kemampuan kami," katanya.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...