Isnin, 27 April 2009

Kem Kepimpinan dan Motivasi Pengawas SEMERBAK 09












Janda Baik, Pahang, 24-26 April 2009 satu perkhemahan telah dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Pelajar SMK Seri Gombak telah diadakan di Kem Kuala Lurau, Janda Baik Pahang.

Pn Fouziah bt Yaacob, selaku Penolong Kanan HEM mengharapkan pengawas-pengawas memberi kerjasama erat kepada Guru-Guru Pengawas dan Guru Disiplin demi menjadikan SEMERBAK terbilang dalam menangani masalah disiplin pelajar. Pn.Adura bt Mohamed yang begitu komited menganjurkan Perkhemahan pada tahun ini berhempas pulas memerah keringat memikirkan supaya perkhemahan pada tahun ini mencapai objektif. Apatah lagi, di kala sahabat sejawat, Pn.Zizalina bt Abu Bakar yang menghadapi masalah kesihatan. Teacher(nama panggilan Pn.Adura) tetapkan hatinya yang keras seperti batu-batu sungai di Janda Baik untuk menjayakan kem yang sudah sebati dengannya. Bayangkan sudah beberapa hari teacher tak makan. Sudah beberapa hari tidoq tak lena asyik mengadap laptop. Asyik angkat handphone. Call sana, call sini... Tanya sana, tanya mana-mana. Hinggakan tempat letak naza citranya pun dilupakannya dek memikirkan Kem... Kem... Kemmmmmmmmmmmmm... Itulah teacher yang mementingkan kesempurnaan. Mementingkan tugasan. Mengutamakan keselamatan. Dan yang penting seorang guru yang mempunyai wawasan.
SMK Seri Gombak bertuah memiliki pahlawan sebegini kerana sanggup melakukan tugas yang diamanahkan tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran. Teacher celik-celik mata aje, terus ke KLcc Kitchen. TQ Cikgu-cikgu lain yang tidoq tak cukup juga seperti Miss Eeroh, Miss Banu, Miss Leeza, Miss Eeda, Miss More-na, Pn.Nik dan Cik Fatimah yang pandai buat teh tarik yang sama tarafnya dengan Restoran Taqwa. Tanpa mereka, susah juga. Boleh juga manja-manja minta buat teh tarik dan nasi goreng. Begitu juga dengan Fahmi dan Firdaus, generasi terkini yang satu hari nanti akan menjadi guru yang hebat melahirkan menteri. Mereka begitu ringan tulangnya. Kalau ditimbang tulang tu, jarum timbangan tak bergerak. Itu yang membuatkan penulis kagum dengan mereka yang bernama lelaki ini. Jasa kalian semua baik Miss, Mrs atau Mr tetap disanjung dan diletakkan pada tempat yang paling tinggi.


Teacher begitu mengambil berat pengawas-pengawas SMK Seri Gombak dan menganggap mereka seperti anak-anaknya. Makan-minum. Kesihatan. Kebersihan dan macam-macam lagi tak pernah teacher terlepas pandang. Renungan matanya, membuatkan pengawas-pengawas berjalan membusung dada dengan penuh karisma. Manakan tidak, kalau pada matanya, pengawas-pengawas longlai dan gemalai bergerak, mahu diterkam silonglai itu. Baginya pengawas-pengawas mesti ada gerak aktif bukan pasif dan kelihatan naif. Lihat sendiri teacher, kalau memandu bagaikan pemandu F 1 kat Sepang. Bukan apa, teacher mementingkan ketangkasan.


Putera-Puteri teacher yang begitu memahami tugas umi 'nya' terus merendam diri di dalam air sungai yang sejuknya mencecah 18 darjah celcius. Teacher seperti biasa meneliti senarai tentatif supaya semua guru yang dilantik bergerak aktif. Tengku Shahrul seperti biasa diarahkan mendapat 'kiub ais'. Memang tugas yang dinantikan oleh Tengku kerana tugas sebagai 'runner' kem memerlukan guru yang tabah dan idea bercambah. Pesan ais pukul 12.00 pm. Pukul 12.30 pm, Tengku dah muncul. Hebat...



Encik Rozmi yang dilantik sebagai Imam sepanjang kem, berjaya membuktikan bahawa beliau sebenarnya mempunyai kebolehan menjadi Imam dan Ustaz. Disebabkan Alfadhil Ustaz Mohd Rohan tidak dapat bersama sepenuh masa di kem kerana diperlukan oleh PPD Gombak untuk program peringkat Negeri. Boleh lantik Imam lagi tu... Tazkirah beliau boleh diangkat setanding dengan kebolehan alfadhil ustaz MRS(emares)-juga seorang blogger. Rozmi ni sebenaqnya, kalau kita tolak ke tengah boleh. Ke tepi boleh. Campak ke hutan jadi hutan. Campak ke gunung jadi gunung. Campak ke laut... tak tau apa jadi. Yang pasti beliau memang pandai berenang. Buktinya, semasa penulis, Firdaus, Fahmi dan Tengku ajak lawan berenang, beliau sentiasa menyahut cabaran. Selalu dapat nombor satu dengan kelajuan renangan dianggarkan 2o km sejam. Firdaus dan Fahmi sebagai orang muda bertenaga 'naga' tercungap-cungap mengaku kalah kepada Pak Imam kita ni.



Keadaan cuaca dan persekitaran yang indah dan menarik seperti ceria menyambut kedatangan 89 orang pengawas dan 20 orang jurulatih ke kem Kuala Lurau. Banyak aktiviti yang telah dijalankan untuk memantapkan daya tahan pengawas dan membina kognitif mereka. Pada hari pertama perkhemahan pengawas-pengawas bersatu hati di dalam kumpulan untuk menyelesaikan misteri pandu arah pada waktu malam. Pelbagai peristiwa lucu berlaku semasa berlangsung aktiviti tersebut. Ada yang menjerit. Ada yang menangis dalam kegelapan malam. Takut dengan malam le. Tambahan pula terdengar suara anjing yang mesra yang diperdengarkan oleh penulis melalui rakaman. Kesian jugak tengok pengawas-pengawas yang memegang tali memanjat bukit dalam keadaan mata tertutup. Sampai ayam berkokok pagi masih mencari-cari jalan. Hingga ada yang terkoyak seluar. Tertanggal kasut. Terjatuh cermin mata. Semua itu hanya dugaan. Cobaan... cobaan... Baru kita tahu yang pengawas-pengawas SEMERBAK ni bukan sebarangan. Semua doa dan jampi serapah dikeluarkan. Hebat...Boleh lawan Imam Rozmi dan Alfadhil Emares.



Telur amanah yang diamanahkan oleh teacher banyak yang pecah. Rugi tak boleh goreng dadar. Mereka yang gagal menjaga telur amanah ini digantikan pula dengan membawa batu sungai sebesar buah kelapa mawar. Batu sungai pun ada yang tidak boleh jaga dan bawa, akhirnya lima orang pengawas terpaksa membawa amanah yang lebih berprestij iaitu blok batu bata. Ke mana-mana lima bersaudara ini pergi mereka terpaksa membawa amanah baru. Lain kali jaga amanah sungguh-sungguh.



Komitmen oleh semua jurulatih amat membanggakan. Mereka sanggup bersama-sama pengawas dalam apa jua keadaan. Baik waktu susah mahupun senang. Jurulatih-jurulatih sentiasa mengadakan 'meeting' sebelum dan selepas aktiviti dilakukan. Pengalaman berharga pengawas-pengawas sewaktu melakukan aktiviti 'Jungle-Trekking' yang mengambil masa 3 jam tidak dapat dilupakan. Rata-rata daripada peserta menyatakan cabaran mendaki bukit dan menuruni lurah mampu mendidik mereka untuk terus gigih dan berusaha dalam memikul tugas mereka sebagai pengawas. Lepas aktiviti jungle trekking, apa lagi, baik guru-guru dan pengawas mengambil peluang untuk terjun ke dalam sungai. Ada yang menyelam hingga terhantuk kepala di batu. Ada berendam. Ada bergurindam. Ada yang muka pucat lesi. Sejuk macam di Itali... Peluang mandi sungai digunakan sepenuhnya. Terlihat riak kegembiraan dan puas pada muka-muka mereka.

SEMERBAK beruntung memiliki guru-guru yang tidak pernah bersungut bermalam bersama pengawas-pengawas. Mereka inilah sebenarnya wira-wira yang perlu diberi pujian bukan kejian. Tidak ada kata-kata indah dapat diucapkan buat mereka ini. Tahniah buat Pn Adura bt Mohamed, Guru Pengawas SMK Seri Gombak. Sebagai Ketua Guru Disiplin, penulis hanya mampu mengucapkan terima kasih buat kalian semua. Marilah kita sama-sama memohon kehadrat Allah S.W.T agar Pn.Zizalina(Kak Zack) memberi nikmat kesihatan yang baik. Amin...........


PERHATIAN: Diari selama tiga hari akan kem di atas akan disiarkan pada 7.5.2009

SEKIAN.




Khamis, 23 April 2009

Kem Intergrasi Unit Uniform SMK Seri Gombak

GOMBAK, 17-18 April 2009- Satu kem Intergrasi Unit Uniform telah diadakan di lembah tenang SMK Seri Gombak. Seramai 80 peserta perkemahan menikmati pengalaman baru bermalam di kawasan indah dan payah di sekolah. Banyak aktiviti yang dilakukan oleh para peserta. Antaranya, motivasi besar, explorace,LDK, senaman pagi, persembahan bakat dan aktiviti kawad.



Menurut, Penolong Pengarah Projek Perkhemahan 2009, YM Tengku Shahrul bin Awang Hafez, perkhemahan pada tahun ini amat mencabar dan menjadi ingatan kepada pelajar-pelajar SMK Seri Gombak. Selain itu nilai-nilai budi bahasa turut diterapkan sepanjang perkhemahan. Tambah beliau, tatkala kita bercakap mengenai amalan berbudi bahasa, sudah semestinya budi itu dikaitkan dengan cara bertutur, ciri perwatakan yang semestinya melibatkan interaksi sesama manusia di atas buana Malaysia yang bertuah ini. Dalam bahasa Melayu, berbudi bahasa selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Masyarakat menilai keperibadian seseorang individu berdasarkan tingginya nilai budi pekerti. Seseorang individu itu tidak dinilai pada paras wajah yang cantik sahaja, malah dinilai pada budi bahasanya. Pendapat beliau disokong oleh Cik Wina sambil berpantun;
Bunga Melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi, runtuhlah bangsa



Motivasi besar pada 17 April, 2009 dikendalikan oleh pakar motivasi, Cik Wina. Beliau berjaya membuatkan semua peserta dan jurulatih menangis teresak-esak bagai anak kecil kehilangan ibu. Bait-bait ayat yang indah amat menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya walaupun hati sekeras besi ia tetap mencair bagai kena api gunung berapi. Beliau yang petah bercakap pada malam program motivasi, mengayat sepenuhnya sehingga meresap masuk ke dalam roh peserta-peserta program perkhemahan. Tambahan pula SMK Seri Gombak juga mempunyai kepakaran 'gertak' dan 'hentak' peserta-peserta seperti Azam, Yuzi, Tengku, Fahmi, Firdaus, Pak Yem dan Othman turut membantu mengecutkan perasaan peserta-peserta program yang pada masa itu memang sudah lemah dibuai kata-kata syahdu Cik Wina.



Menurut jurulatih-jurulatih yang lain, kebolehan yang dimiliki oleh Cik Wina adalah anugerah Ilahi kepada seorang guru yang punyai visi dan mentaliti tinggi tanpa memerlukan terapi. Yang jelas di sini kerjasama guru-guru dan jurulatih telah menjadikan Perkhemahan Integrasi Unit Uniform mencapai objektifnya.

Gambar menunjukkan Cik Wina sedang menenangkan roh

Apapun kejayaan Program Perkhemahan Integrasi Unit Uniform adalah hasil kerjasama yang utuh dalam kalangan guru-guru SMK Seri Gombak serta bantuan fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada ahli-ahli Musyrif al-Musolla.

Selamat Tamat Praktikal


Selamat menamatkan Praktikal di SMK Seri Gombak pada hari Jumaat 24 April 2009 kepada Ainu dan Aisyah serta Khairul dan Syukur. Mereka berempat merupakan siswa dan siswi UPSI yang begitu komited menjalankan tugas yang diamanahkan. Kebolehan mereka berempat menyelami bidang pendidikan dan merasai roh perguruan, berupaya menjadikan diri Ainu dan Aisyah serta Khairul dan Syukur seorang guru yang mampu membentuk generasi terkini yang penuh dengan misteri.
Misteri pelajar-pelajar ini perlu dirungkaikan oleh mereka berempat nanti dengan penuh teliti agar diri tidak dicemeti oleh masyarakat setempat yang bertindak dan berfikir membuta tuli. Buktikan kepada masyarakat bahawa kita sebagai guru bukan seorang pengasuh yang dibayar gaji sebulan dua kali. Kita adalah guru yang punyai mentaliti yang tinggi dan juga punya harga diri yang tidak boleh dibeli di kedai kopi.

Happy Birthday Kak Nora

Selamat Hari Lahir buat Kak Nora yang ke 44 pada 22 April 2009. Kak Nora merupakan seorang guru yang mementingkan kesempurnaan dalam melaksanakan tugas. Beliau begitu komited dalam mendidik anak-anak bangsa SMK Seri Gombak. Walaupun ada segelintir pelajar yang seperti 'lepat liat' sewaktu belajar, Kak Nora tetap berpegang pada prinsip yang semua murid perlu diberi peratian yang sewajarnya. Kak Nora tidak pernah mengeluh walaupun sudah berpeluh-peluh.

Beliau juga berminat dalam permainan bola tampar dan amat disegani dalam kalangan pemain-pemain bola tampar daerah Gombak. Kehebatannya melakukan 'Gold Spiking' mengecutkan tali perut pihak lawan yang sememangnya mengetahui Kak Nora akan menggunakannya tanpa belas kasihan pada wajahnya. Justeru, pada 27-30 April bertempat di Kompleks Gelanggang SMK Seri Gombak, Pertandingan Bola Tampar Peringkat Daerah Gombak diadakan. Sesungguhnya, 'Gold Spiking' yang dimiliki oleh Kak Nora diperturunkan tanpa ada batasan. Memang tidak dapat dinafikan, sebagai Ikon bola tampar daerah Gombak, pasukan bola tampar SMK Seri Gombak turut memiliki ciri-ciri kepahlawan Pahlawan Terbilang.
Apapun, Kak Nora boleh dilabelkan sebagai Guru Berhati Cekal Berperibadi Ceria.

Sekian.......

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...