Selasa, 28 April 2009

Kejohanan Bola Tampar MSSD Gombak di SMK SERI GOMBAK 2009










Greenwood-27 April2009. Bertempat di gelanggang bola tampar SMK Seri Gombak. Satu pertandingan telah dianjurkan oleh MSSD Gombak iaitu bola tampar. SMK Seri Gombak telah dipilih sekali lagi dan mungkin selamanya untuk menjadi tuan rumah kejohanan yang berprestij ini. Pn.Rahimah bt Umar, Pengetua SMK Seri Gombak yang dilantik menjadi Pengerusi Bola Tampar Daerah Gombak begitu komited dan bersedia untuk menjadi tuan rumah pertandingan. Menurut Encik Azam bin Hashim, Pengerusi Teknik Bola Tampar Daerah Gombak, pihak jawatankuasa pertandingan membuat persiapan yang begitu rapi dan teliti pada kejohanan kali ini.


Sebelum kejohanan, beliau tidak pernah lena tidur memikirkan kejohanan yang akan berlangsung di gelanggang SMK Seri Gombak. Kalau ada bajet atau sumbangan pihak korporat untuk menambah-baik gelanggang yang sedia ada, amat dialukan. "Kecil tapak tangan, gelanggang bola tampar kami tadahkan". Begitu juga dengan Pn.Nora, ikon bola tampar daerah Gombak yang sentiasa menghabiskan masa rehatnya untuk melatih pemain-pemain bola tampar SEMERBAK. Beliau sanggup dipanah matahari dan menahan cuaca panas ekstrem 34 darjah celcius demi pasukan bola tampar daerah Gombak.
Begitu juga dengan kecekalan Setiausaha Sukan Sekolah, Encik Mohd Yuzi yang sanggup memikul peralatan-peralatan berat seperti tiang gergasi, jaring, payung, khemah, kerusi dan meja yang mencecah beratus-ratus kilogram. Encik Osman, YM Tengku Shahrul, Pn.Salina, Pn.Mas Ayu, Pn.Azmaton,Cik Ainaa, Pn.Wan, Cik Lucy dan guru-guru lain banyak membantu tanpa mengharapkan wang saku pada kejohanan pada tahun ini. Nampaknya, boleh kekal membantu...kini dan selamanya. Tidak dilupakan anak-anak murid penulis yang disayangi iaitu pelajar dari Kelas 4 A dan 4 B, Kelab Bola Tampar SEMERBAK, Kelab YP dan PBSM yang dengan rela hati dan sukahati menjadi pegawai kejohanan. Lihat gambar mereka di bawah, begitu gembira dan ceria serta tidak sabar menjalankan tugas... TAHNIAH. The best...Nanti dapat elaun... Agak-agak tak lama lagi...Tanya Encik Yuzi.

Pada hari pertama kejohanan(27.4.09-ISNIN)- pasukan bola tampar SEMERBAK P 15 berjaya menjadi JOHAN setelah mengalahkan SMK Taman Keramat dengan penuh bergaya. SMK Taman Keramat hanya mampu tersenyum mendapat Naib Johan. Teruskan usaha... Banyakkan latihan tidak kira panas atau hujuan... Tempat Ketiga, SMK Sungai Kertas yang dikenali sebagai SUTAS. Permainan mereka pantas. Cuma kurang pintas apabila dilibas. Tempat Keempat SMK Selayang Baru. Pn.Rahimah, Encik Azam, Pn.Nora, guru-guru dan seluruh warga SEMERBAK tersenyum bangga campur syukur dengan kejayaan anak-anak yang kami kasihi berjaya mengangkat SMK Seri Gombak sebagai pasukan yang digeruni dan ditakuti serta dipuji setiap penonton yang menjadi saksi pada hari ini.



Pada hari kedua kejohanan(28.4.09-SELASA)-pasukan bola tampar SEMERBAK P 18 berjaya menjadi JOHAN setelah mengalahkan SMK Sungai Kertas dengan penuh bahaya. Manakan tidak, pada set pertama pasukan SMK Seri Gombak dijinak oleh pasukan lawan. Melihat situasi yang boleh mengundang kecewa, Pn.Rahimah sebagai pengetua yang tidak rela pasukan anak-anaknya ditertawa, terus memberi kata-kata istimewa. Set kedua, SMK Seri Gombak bangkit bagai ikan duyung diberi nyawa. Mereka berkuasa pada set kedua, pihak lawan seperti rela membiarkan diri mereka dipermainkan oleh duyung SEMERBAK. Set Ketiga kedua-dua pasukan bertarung separuh nyawa tetapi kelebihan tetap berpihak kepada yang terbilang iaitu SEMERBAK. Tempat Ketiga, SMK Gombak Setia dan Tempat Keempat SM Teknik Gombak.


Baby Kak Nora pun menjerit kesukaan dengan kemenangan pasukan bola tampar SMK Seri Gombak. Jeritannya menggegarkan dan meruntun perasaan penyokong pihak lawan. Apapun, TQ kepada baby atas sokongan padu sejak hari pertama hingga hari keempat kejohanan. Lebih membuatkan perasaan berbunga, SMK Seri Gombak berjaya menyapu bersih semua kategori baik P 15, P 18, L 15 dan L 18. Kejayaan ini jangan dipandang sepi oleh semua warga sekolah.



Pegawai-pegawai bertugas bukan hanya datang berborak dan bergelak-gelak. Pegawai bertugas "bukan mai lambat, balik awai". Mereka berborak membincangkan strategi. Mereka bergelak-gelak. Mereka bersenyum-senyum. Mereka minum. Mereka berjalan dan berlari. Semua itu adalah adat perjalanan sesuatu aktiviti. Takkan Tengku Shahrul terpaksa memikul payung bulat berwarna hijau dan kuning ke hulu ke hilir sehingga ke kantin. Tengok gambar sebelah, Yuzi, Azam , Tengku dan Osman bersama Honda PCN kesayangan Azam. Walau ditawarkan harga tinggi, Azam tetap menyepi diri. Kalau sesiapa sanggup bayar RM 1500 dan bayar tak lebih 2 kali boleh hubungi Azam dan mungkin dia tak akan menyepi diri lagi. Kesanggupan mereka menjayakan kejohanan bola tampar MSSD Gombak 2009, patut dipandang tinggi bukan diumpat keji. Begitu juga dengan pegawai-pegawai lain yang penulis yakin begitu ikhlas menabur bakti. Bukan berlakon sana-sini... Berapa ramai daripada kita sanggup membakar kulit muka yang licin di bawah panas matahari. Berapa ramai daripada kita sanggup menghilangkan suara lunak menjerit-jerit menyokong pasukan sendiri. Marilah kita hadapi sendiri. Merasai sendiri. Menjiwai sendiri apa itu aktiviti ko-kurikulum. Hubungan antara 'sahabat' amat penting untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Sebab itu, kita berborak. Sebab itu mereka bergelak. Sebagai manusia yang diberi akal yang letakkan Allah S.W.T pada tempat yang paling mulia sepatutnya kita gunakan dengan sebetul-betulnya. Bukan kita melihat dengan telinga. Mendengar... mendengar...mendengar kemudian membuat kenyataan yang boleh menimbulkan rusuhan. Seperti permainan bola tampar, anak-anak kita ini berusaha, bekerjasama, berazam dan beriltizam, berpeluh sebaldi, mengerut mata dek panas matahari, saling-membantu dan berdoa, akhirnya mereka berjaya menjadi JOHAN. Begitu juga dengan kita, gunakan resepi tersebut untuk berjaya dalam pekerjaan. Bukan mengadu-domba. Bukan mengata cerca. Seorang ahli fikir Islam berkata, "Banyak orang kenal diri orang lain tetapi tidak kenal diri sendiri. Sebab itu orang sibuk memikirkan kecacatan orang lain daripada kecacatan diri sendiri, buka hati buka minda. Cerminlah diri sendiri".
Apapun Tahniah kepada anak-anak yang berjaya mencipta gelaran JOHAN. Terima kasih kepada pegawai-pegawai bertugas. Muka tu aje... Balik-balik muka tu . Yang selalu terlepas diri dari segala aktiviti memang hebat di dunia realiti kerana sentiasa dihormati dan disayangi oleh mereka yang tak reti-reti menghargai. Jawabnya mudah, kini makin ramai lupa diri dan penting diri berkeliaran sana-sini mencari publisiti supaya mendapat anugerah tertinggi. SEKIAN





















Isnin, 27 April 2009

Kem Kepimpinan dan Motivasi Pengawas SEMERBAK 09












Janda Baik, Pahang, 24-26 April 2009 satu perkhemahan telah dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Pelajar SMK Seri Gombak telah diadakan di Kem Kuala Lurau, Janda Baik Pahang.

Pn Fouziah bt Yaacob, selaku Penolong Kanan HEM mengharapkan pengawas-pengawas memberi kerjasama erat kepada Guru-Guru Pengawas dan Guru Disiplin demi menjadikan SEMERBAK terbilang dalam menangani masalah disiplin pelajar. Pn.Adura bt Mohamed yang begitu komited menganjurkan Perkhemahan pada tahun ini berhempas pulas memerah keringat memikirkan supaya perkhemahan pada tahun ini mencapai objektif. Apatah lagi, di kala sahabat sejawat, Pn.Zizalina bt Abu Bakar yang menghadapi masalah kesihatan. Teacher(nama panggilan Pn.Adura) tetapkan hatinya yang keras seperti batu-batu sungai di Janda Baik untuk menjayakan kem yang sudah sebati dengannya. Bayangkan sudah beberapa hari teacher tak makan. Sudah beberapa hari tidoq tak lena asyik mengadap laptop. Asyik angkat handphone. Call sana, call sini... Tanya sana, tanya mana-mana. Hinggakan tempat letak naza citranya pun dilupakannya dek memikirkan Kem... Kem... Kemmmmmmmmmmmmm... Itulah teacher yang mementingkan kesempurnaan. Mementingkan tugasan. Mengutamakan keselamatan. Dan yang penting seorang guru yang mempunyai wawasan.
SMK Seri Gombak bertuah memiliki pahlawan sebegini kerana sanggup melakukan tugas yang diamanahkan tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran. Teacher celik-celik mata aje, terus ke KLcc Kitchen. TQ Cikgu-cikgu lain yang tidoq tak cukup juga seperti Miss Eeroh, Miss Banu, Miss Leeza, Miss Eeda, Miss More-na, Pn.Nik dan Cik Fatimah yang pandai buat teh tarik yang sama tarafnya dengan Restoran Taqwa. Tanpa mereka, susah juga. Boleh juga manja-manja minta buat teh tarik dan nasi goreng. Begitu juga dengan Fahmi dan Firdaus, generasi terkini yang satu hari nanti akan menjadi guru yang hebat melahirkan menteri. Mereka begitu ringan tulangnya. Kalau ditimbang tulang tu, jarum timbangan tak bergerak. Itu yang membuatkan penulis kagum dengan mereka yang bernama lelaki ini. Jasa kalian semua baik Miss, Mrs atau Mr tetap disanjung dan diletakkan pada tempat yang paling tinggi.


Teacher begitu mengambil berat pengawas-pengawas SMK Seri Gombak dan menganggap mereka seperti anak-anaknya. Makan-minum. Kesihatan. Kebersihan dan macam-macam lagi tak pernah teacher terlepas pandang. Renungan matanya, membuatkan pengawas-pengawas berjalan membusung dada dengan penuh karisma. Manakan tidak, kalau pada matanya, pengawas-pengawas longlai dan gemalai bergerak, mahu diterkam silonglai itu. Baginya pengawas-pengawas mesti ada gerak aktif bukan pasif dan kelihatan naif. Lihat sendiri teacher, kalau memandu bagaikan pemandu F 1 kat Sepang. Bukan apa, teacher mementingkan ketangkasan.


Putera-Puteri teacher yang begitu memahami tugas umi 'nya' terus merendam diri di dalam air sungai yang sejuknya mencecah 18 darjah celcius. Teacher seperti biasa meneliti senarai tentatif supaya semua guru yang dilantik bergerak aktif. Tengku Shahrul seperti biasa diarahkan mendapat 'kiub ais'. Memang tugas yang dinantikan oleh Tengku kerana tugas sebagai 'runner' kem memerlukan guru yang tabah dan idea bercambah. Pesan ais pukul 12.00 pm. Pukul 12.30 pm, Tengku dah muncul. Hebat...



Encik Rozmi yang dilantik sebagai Imam sepanjang kem, berjaya membuktikan bahawa beliau sebenarnya mempunyai kebolehan menjadi Imam dan Ustaz. Disebabkan Alfadhil Ustaz Mohd Rohan tidak dapat bersama sepenuh masa di kem kerana diperlukan oleh PPD Gombak untuk program peringkat Negeri. Boleh lantik Imam lagi tu... Tazkirah beliau boleh diangkat setanding dengan kebolehan alfadhil ustaz MRS(emares)-juga seorang blogger. Rozmi ni sebenaqnya, kalau kita tolak ke tengah boleh. Ke tepi boleh. Campak ke hutan jadi hutan. Campak ke gunung jadi gunung. Campak ke laut... tak tau apa jadi. Yang pasti beliau memang pandai berenang. Buktinya, semasa penulis, Firdaus, Fahmi dan Tengku ajak lawan berenang, beliau sentiasa menyahut cabaran. Selalu dapat nombor satu dengan kelajuan renangan dianggarkan 2o km sejam. Firdaus dan Fahmi sebagai orang muda bertenaga 'naga' tercungap-cungap mengaku kalah kepada Pak Imam kita ni.



Keadaan cuaca dan persekitaran yang indah dan menarik seperti ceria menyambut kedatangan 89 orang pengawas dan 20 orang jurulatih ke kem Kuala Lurau. Banyak aktiviti yang telah dijalankan untuk memantapkan daya tahan pengawas dan membina kognitif mereka. Pada hari pertama perkhemahan pengawas-pengawas bersatu hati di dalam kumpulan untuk menyelesaikan misteri pandu arah pada waktu malam. Pelbagai peristiwa lucu berlaku semasa berlangsung aktiviti tersebut. Ada yang menjerit. Ada yang menangis dalam kegelapan malam. Takut dengan malam le. Tambahan pula terdengar suara anjing yang mesra yang diperdengarkan oleh penulis melalui rakaman. Kesian jugak tengok pengawas-pengawas yang memegang tali memanjat bukit dalam keadaan mata tertutup. Sampai ayam berkokok pagi masih mencari-cari jalan. Hingga ada yang terkoyak seluar. Tertanggal kasut. Terjatuh cermin mata. Semua itu hanya dugaan. Cobaan... cobaan... Baru kita tahu yang pengawas-pengawas SEMERBAK ni bukan sebarangan. Semua doa dan jampi serapah dikeluarkan. Hebat...Boleh lawan Imam Rozmi dan Alfadhil Emares.



Telur amanah yang diamanahkan oleh teacher banyak yang pecah. Rugi tak boleh goreng dadar. Mereka yang gagal menjaga telur amanah ini digantikan pula dengan membawa batu sungai sebesar buah kelapa mawar. Batu sungai pun ada yang tidak boleh jaga dan bawa, akhirnya lima orang pengawas terpaksa membawa amanah yang lebih berprestij iaitu blok batu bata. Ke mana-mana lima bersaudara ini pergi mereka terpaksa membawa amanah baru. Lain kali jaga amanah sungguh-sungguh.



Komitmen oleh semua jurulatih amat membanggakan. Mereka sanggup bersama-sama pengawas dalam apa jua keadaan. Baik waktu susah mahupun senang. Jurulatih-jurulatih sentiasa mengadakan 'meeting' sebelum dan selepas aktiviti dilakukan. Pengalaman berharga pengawas-pengawas sewaktu melakukan aktiviti 'Jungle-Trekking' yang mengambil masa 3 jam tidak dapat dilupakan. Rata-rata daripada peserta menyatakan cabaran mendaki bukit dan menuruni lurah mampu mendidik mereka untuk terus gigih dan berusaha dalam memikul tugas mereka sebagai pengawas. Lepas aktiviti jungle trekking, apa lagi, baik guru-guru dan pengawas mengambil peluang untuk terjun ke dalam sungai. Ada yang menyelam hingga terhantuk kepala di batu. Ada berendam. Ada bergurindam. Ada yang muka pucat lesi. Sejuk macam di Itali... Peluang mandi sungai digunakan sepenuhnya. Terlihat riak kegembiraan dan puas pada muka-muka mereka.

SEMERBAK beruntung memiliki guru-guru yang tidak pernah bersungut bermalam bersama pengawas-pengawas. Mereka inilah sebenarnya wira-wira yang perlu diberi pujian bukan kejian. Tidak ada kata-kata indah dapat diucapkan buat mereka ini. Tahniah buat Pn Adura bt Mohamed, Guru Pengawas SMK Seri Gombak. Sebagai Ketua Guru Disiplin, penulis hanya mampu mengucapkan terima kasih buat kalian semua. Marilah kita sama-sama memohon kehadrat Allah S.W.T agar Pn.Zizalina(Kak Zack) memberi nikmat kesihatan yang baik. Amin...........


PERHATIAN: Diari selama tiga hari akan kem di atas akan disiarkan pada 7.5.2009

SEKIAN.




Khamis, 23 April 2009

Kem Intergrasi Unit Uniform SMK Seri Gombak

GOMBAK, 17-18 April 2009- Satu kem Intergrasi Unit Uniform telah diadakan di lembah tenang SMK Seri Gombak. Seramai 80 peserta perkemahan menikmati pengalaman baru bermalam di kawasan indah dan payah di sekolah. Banyak aktiviti yang dilakukan oleh para peserta. Antaranya, motivasi besar, explorace,LDK, senaman pagi, persembahan bakat dan aktiviti kawad.



Menurut, Penolong Pengarah Projek Perkhemahan 2009, YM Tengku Shahrul bin Awang Hafez, perkhemahan pada tahun ini amat mencabar dan menjadi ingatan kepada pelajar-pelajar SMK Seri Gombak. Selain itu nilai-nilai budi bahasa turut diterapkan sepanjang perkhemahan. Tambah beliau, tatkala kita bercakap mengenai amalan berbudi bahasa, sudah semestinya budi itu dikaitkan dengan cara bertutur, ciri perwatakan yang semestinya melibatkan interaksi sesama manusia di atas buana Malaysia yang bertuah ini. Dalam bahasa Melayu, berbudi bahasa selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Masyarakat menilai keperibadian seseorang individu berdasarkan tingginya nilai budi pekerti. Seseorang individu itu tidak dinilai pada paras wajah yang cantik sahaja, malah dinilai pada budi bahasanya. Pendapat beliau disokong oleh Cik Wina sambil berpantun;
Bunga Melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi, runtuhlah bangsa



Motivasi besar pada 17 April, 2009 dikendalikan oleh pakar motivasi, Cik Wina. Beliau berjaya membuatkan semua peserta dan jurulatih menangis teresak-esak bagai anak kecil kehilangan ibu. Bait-bait ayat yang indah amat menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya walaupun hati sekeras besi ia tetap mencair bagai kena api gunung berapi. Beliau yang petah bercakap pada malam program motivasi, mengayat sepenuhnya sehingga meresap masuk ke dalam roh peserta-peserta program perkhemahan. Tambahan pula SMK Seri Gombak juga mempunyai kepakaran 'gertak' dan 'hentak' peserta-peserta seperti Azam, Yuzi, Tengku, Fahmi, Firdaus, Pak Yem dan Othman turut membantu mengecutkan perasaan peserta-peserta program yang pada masa itu memang sudah lemah dibuai kata-kata syahdu Cik Wina.



Menurut jurulatih-jurulatih yang lain, kebolehan yang dimiliki oleh Cik Wina adalah anugerah Ilahi kepada seorang guru yang punyai visi dan mentaliti tinggi tanpa memerlukan terapi. Yang jelas di sini kerjasama guru-guru dan jurulatih telah menjadikan Perkhemahan Integrasi Unit Uniform mencapai objektifnya.

Gambar menunjukkan Cik Wina sedang menenangkan roh

Apapun kejayaan Program Perkhemahan Integrasi Unit Uniform adalah hasil kerjasama yang utuh dalam kalangan guru-guru SMK Seri Gombak serta bantuan fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada ahli-ahli Musyrif al-Musolla.

Selamat Tamat Praktikal


Selamat menamatkan Praktikal di SMK Seri Gombak pada hari Jumaat 24 April 2009 kepada Ainu dan Aisyah serta Khairul dan Syukur. Mereka berempat merupakan siswa dan siswi UPSI yang begitu komited menjalankan tugas yang diamanahkan. Kebolehan mereka berempat menyelami bidang pendidikan dan merasai roh perguruan, berupaya menjadikan diri Ainu dan Aisyah serta Khairul dan Syukur seorang guru yang mampu membentuk generasi terkini yang penuh dengan misteri.
Misteri pelajar-pelajar ini perlu dirungkaikan oleh mereka berempat nanti dengan penuh teliti agar diri tidak dicemeti oleh masyarakat setempat yang bertindak dan berfikir membuta tuli. Buktikan kepada masyarakat bahawa kita sebagai guru bukan seorang pengasuh yang dibayar gaji sebulan dua kali. Kita adalah guru yang punyai mentaliti yang tinggi dan juga punya harga diri yang tidak boleh dibeli di kedai kopi.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...