Ahad, 31 Oktober 2010

Internet dan Cabaran Untuk Ibubapa

Mari Kita Lengkapkan Diri
Melengkapkan Ilmu Internet
Internet, satu lagi medium yang menjadi magnet yang kuat kuasanya dan melekakan buat anak-anak. Jika tiada kemudahan internet di rumah, banyak kafe siber yang menawarkan kesempatan melayari internet dengan bayaran yang amat murah.
Berapa ramai ibu bapa yang monitor laman web yang dilayari anak-anak mereka? Berapa ramai ibu bapa yang ada akses, mahir menggunakan internet dan arif mengenai segala laman web sosial yang jadi kegilaan ramai sekarang? Realitinya hari ini anak-anak remaja lebih pantas dan cekap dengan kemudahan internet, melebihi jangkauan ibu bapanya sendiri. Oh, sukar sekali menjadi ibu bapa pada zaman ini.

Jangan Berfikiran Negatif

Proses Pembelajaran Tidak Akan
Tamat Sampai Bila-Bila
Terlalu banyak perkara negatif yang membelenggu diri anda boleh menghalang kemajuan diri. Diminta buat ini tidak boleh. Disuruh buat ini terasa sukar. Payah, susah, takut, kalau itu, kalau ini, tidak boleh dan macam-macam lagi perkataan seumpamanya sering berlegar dalam minda ini. Kalau berterusan begini, apa sudahnya? Usahakan agar anda dapat mengikisnya. Jangan biarkan diri menjadi mangsa keegoan dan kelemahan diri sendiri. Tidak semua orang dilahirkan sempurna tetapi orang berjaya sering mencari kesempurnaan dalam hidup. Tidak mengapa berbuat kesilapan kerana dari situ kita akan mempelajari akan cabaran kehidupan.

Pernahkan Anda Terjatuh?

Pernahkah anda gagal apabila mencuba sesuatu hal yang orang lain anggap hal itu mudah?
Dan pernahkah anda merasa kejauhan pada saat semua orang tidak menghiraukan keadaan anda?
Dan apa yang anda lakukan setelah itu? menyerah?atau bangkit kembali dari hal tersebut? Saat anda ingin mengejar sesuatu yang ada di depanmu baik itu abstrak mahupun nyata, Teruslah kejari! Kalaupun ada batu yang banyak dan membuat anda terjatuh tetaplah berjuang untuk terus berlari ke depan. Saat anda gagal mencuba sesuatu hal yang orang lain mengganggapnya hal tersebut mudah.
Tetaplah mencuba! Kalaupun ada hinaan dan cacian kerana anda tidak berupaya melakukannya tetaplah berusaha hingga anda berhasil menciptakan apa yang anda cuba. Saat anda merasa kejauhan di saat semua orang tidak menghiraukanmu, berfikir secara positif! Kalaupun banyak orang yang mengecewakan anda dan membuatkan anda terluka tetaplah tersenyum hingga semua orang menyedari bahawa anda begitu bererti bagi mereka
Kenapa kita harus lakukan semua itu???Penting kah???
Batu yang menjatuhkan anda saat mengejar sesuatu mengajarkan kita bahawa kita perlu teliti dalam melangkah dan belajar dari kesalahan di saat kita terjatuh.* Gagal di saat mencuba sesuatu merupakan hal yang mengajarkan kita untuk pantang menyerah dan menunjukkan kita bahawa kita itu bukannya bodoh melainkan kita menemui hal  yang orang lain tidak temui sebagai pembelajaran bagi kita. Merasa kejauhan mungkin merupakan kesalahan dari kita berpandangan terhadap orang lain dan perasaan seperti ini mengajarkan kita untuk berfikiran positif bahawa orang-orang  di sekeliling kita tetap peduli terhadap kita mungkin cara mereka untuk peduli kurang kita fahami. Untuk itu, di sinilah kita perlu belajar mempelajari karakter orang lain. Semua hal yang membuat kita putus asa sebenarnya menyimpan pembelajaran yang sangat berharga bagi kita. Bukan lagi saatnya kita menyerah saat keputusan menyerang kehidupan kita, namun di saat itulah kita harus bangkit untuk berusaha menyelesaikan itu semua kerana semua itu hanya kita yang dapat selesaikannya dengan baik. Dan lihatlah sisi baik dari setiap masalah yang ada jangan selalu melihat sisi buruk dari suatu masalah, kerana tiap sisi menimbulkan kesan yang berbeza.

Sabtu, 30 Oktober 2010

Masalah Moral Remaja; Salah Siapa?

 

Oleh:

Amar Razali



SAYA berasa sangat terpanggil untuk mengupas isu berkenaan permasalahan moral di kalangan remaja setelah saban hari dimomokkan dengan pelbagai karenah remaja yang semakin menakutkan di akhbar-akhbar utama negara. Jujurnya saya mengambil berat dan sensitif dengan hal ehwal remaja lantaran pelbagai faktor. Pertama saya menyedari bahawa saya juga berada di kalangan mereka, sebaya dan kedua saya sekadar ingin membuat gambaran terhadap para pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Sesungguhnya, pada masa akan datang itu bukanlah seabad, atau sealaf yang akan datang, tetapi hanyalah sekitar 10 tahun atau 20 tahun yang akan menjelang.

Kemuncaknya, saya telah dimaklumkan oleh seorang kenalan yang memberitahu bahawa sekolah lama saya sendiri telah termuat di dalam akhbar tempatan lantaran telah berlakunya kes buli di kalangan pelajar di sana.

Sepanjang lima tahun saya menuntut di sekolah tersebut belum pernah berita buli atau salah laku pelajar terpampang di dalam akhbar. Saya menyedari ketika saya menuntut di sana, telah terdapatnya kes salah laku pelajar, tetapi bagi saya kejadian tersebut tidaklah sampai mencederakan pelajar yang terlibat dan masih pada tahap terkawal. Guru-guru juga mengambil pendekatan tegas dan tidak berkompromi terhadap permasalahan ini.

Justeru, apabila kes seperti ini terjadi, perkara tersebut telah menjadi satu indikator kepada saya berkenaan dengan mutu dan nilai akal budi para remaja ketika ini secara mutlak.

Namun, perlu diingatkan terlebih dahulu di sini bahawa seringkali terdapatnya media masa yang begitu banyak tersalah tafsir dan begitu lapar dengan berita-berita sensasi, lebih-lebih lagi perkara yang berlaku di sekolah yang dikatakan bagus dan indah pada pandangan masyarakat sekitar. Bukanlah saya mahu mendabik dada menghamburkan pujian berlebihan menyatakan bekas sekolah saya itu tersangatlah bagus, namun saya percaya bahawa begitulah yang terjadi dan kadangkala kejadian kecil telah sengaja diperbesar-besarkan dan perkara yang salah dan tidak dikaji dengan teliti telah dibetulkan dan seolah-olah benar belaka. Saya menyokong kebebasan bersuara di kalangan masyarakat, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan suara-suara yang kita laungkan itu bersifat benar dan tidak ditokok tambah secara membuta tuli.

Saya amat tertarik untuk mengupas suatu kes yang telah menggemparkan masyarakat nasional iaitu berkenaan kes pergaduhan ala samurai yang berlaku di sebuah sekolah di Manir, Terengganu. Perkara pertama yang bermain di benak pemikiran saya ialah jika dahulu kita menyangka wabak kebejatan moral hanya menyerang remaja di kawasan bandar, kini kita tidak boleh mempunyai mentaliti sebegitu lagi. Remaja yang tinggal di bandar-bandar kecil juga tidak terkecuali dan tidak terlepas, malah ada yang lebih parah. Saya pernah membaca suatu kajian yang membuktikan bahawa kes juvana yang terjadi di kawasan Felda juga ada mengatasi kes di sesetengah kawasan bandar dan ini merupakan suatu petanda yang membimbangkan.

Tidak lama selepas itu kita digemparkan pula dengan kajian oleh seorang pakar kanak-kanak dan remaja daripada Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Dr. Khaidzir Ismail. Hasil kajiannya terhadap 887 pelajar perempuan yang berisiko tinggi di sebuah negeri telah menggoncangkan seluruh lapisan masyarakat. Daripada 887 pelajar, hanya seorang sahaja yang mengaku tidak pernah mengamalkan hubungan seks bebas!

Itu belum lagi dilihat pada pecahan yang melakukan aktiviti lain seperti mengambil minuman beralkohol, menonton video lucah, poteng sekolah dan sebagainya! Seperti biasa, kerajaan di bawah Kementerian Pembanguna Wanita, Keluarga dan Masyarakat cuba memandang enteng dan sunyi terhadap permasalahan ini.

Hasil kajian oleh Dr. Khaidzir Ismail antara lain membuktikan bahawa kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang bermasalah. Saya ternanti-nanti, apakah reaksi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap kajian ini? Adakah kebimbangan mereka setanding atau mengatasi tahap kebimbangan jika anak-anak mereka tidak mendapat keputusan 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau tidak mencapai 10 atau 11 A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Sejujurnya, saya amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga merupakan institusi yang cukup penting dan ampuh dalam melahirkan remaja yang berkualiti dan berjaya. Saya amat menyanjung tinggi terhadap institusi kekeluargaan dan amat percaya bahawa setiap perkara yang membentuk sikap dan diri remaja itu kebanyakannya merupakan acuan ibu bapa mereka. Saya tidak menolak bahawa terdapat juga remaja yang berjaya yang datang daripada keluarga yang bermasalah, benar, tetapi bagi saya lumrahnya mereka hanyalah mewakili sebilangan kecil remaja dan berapa ramaikah remaja yang mampu bertatih menanggung onak, duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya daripada keluarga. Mereka sewajarnya diberi kasih sayang, tunjuk ajar serta model yang terbaik ke arah pembentukan peribadi yang mulia, bukannya dengan cara mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam keluarga.

Saya sangat bersimpati dengan rakan-rakan remaja yang lahir dalam keluarga yang bermasalah. Mereka memiliki potensi, intelektual, bakat, dan sinar yang terang, namun telah dimalapkan oleh permasalahan yang dicipta sendiri oleh kedua ibu bapa mereka. Kelak, saya bimbang bahawa gejala ini akan terus menerus berlarutan pada generasi demi generasi.

Saya memerhatikan bahawa impak sistem pendidikan terhadap nilai akal budi di kalangan remaja masih belum cukup berkesan dan mendalam. Kita menyaksikan bahawa matapelajaran Agama Islam atau Pendidikan Moral merupakan antara matapelajaran wajib dipelajari di sekolah rendah atau menengah, namun kes juvana, rogol, vandalisme dan sebagainya terus menerus meningkat. Bukanlah saya mahu menyatakan bahawa kandungan subjek-subjek tersebut tidak relevan dan tidak selari dengan kehendak semasa. Tidak. Tetapi apa yang sangat membimbangkan saya ialah para pelajar hanya mempelajari subjek-subjek sebegini hanya untuk melengkapkan gred A di dalam sijil peperiksaan mereka.

Saya menyanjung tinggi pelajar yang memperoleh keputusan yang gemilang terbilang di dalam peperiksaan mereka, namun apalah gunanya gred A yang berderet-deret sekiranya nilai-nilai murni, hukum-hakam agama serta perilaku-perilaku bermoral yang diterapkan oleh subjek-subjek tersebut langsung tidak mampu terperap pada diri mereka?

Pokok pangkalnya ialah pada institusi keluarga juga. Pertama, kita menyedari bahawa sudah tercipta budaya kini, masyarakat melakukan transfomasi ke arah mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka. Bagus dan selayaknya pujian perlu dihamburkan kepada mereka. Namun, bagi saya ada sesuatu yang tidak kena jika terjadinya kes anak remaja membunuh diri lantaran gagal melakar kejayaan di dalam peperiksaan. Tekanan berlebihan oleh masyarakat termasuk oleh keluarga mereka sendiri telah membebankan para remaja dan hasilnya, akan lahirlah para remaja yang tidak berjiwa dan hanya menuntut ilmu bagi memperoleh kepentingan-kepentingan yang sementara. Keluarga, atau masyarakat seharusnya memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka untuk membuktikan potensi diri mereka untuk berjaya. Kejayaan tidak hanya tercipta di medan peperiksaan yang menguji sejauh mana kemampuan mengaplikasikan formula dan kemahiran menghafal semata-mata. Malah kejayaan juga perlu diukur melalui pemerkasaan akal dan budi dalam membentuk remaja yang bersahsiah.

Remaja yang memiliki kerohanian yang suci bestari, disusuli dengan kemampuan dan kawalan emosi dan jasadi yang cocok dan seimbang serta dilengkapkan dengan keintelektualan tahap tinggi melangit, merupakan impian peribadi saya dalam melihat generasi seusia saya kelak yang memacu kepimpinan dan kemajuan negara. Saya akan berasa gembira dan berbangga sekiranya Malaysia memiliki sejuta doktor, malah hati saya akan berbunga ria sekiranya Malaysia memiliki sejuta jurutera. Namun pada akhir dan zahirnya, kebanggaan saya itu tidak akan ke mana-mana sekiranya di kiri dan kanan saya terdapat berjuta-juta masyarakat yang rosak peribadinya.

Sekadar memetik kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Tamadun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat."

Sekadar berkongsi rasa,

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...