Sabtu, 24 Mac 2012

Permohonan Kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012





Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Permohonan Kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012 boleh dibuat mulai 22 Mac 2012 (Khamis) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia 

Sekian, terima kasih. 

Diterbitkan Oleh: Bahagian Pengurusan Maklumat 

Bahana tipu diculik, dua beradik masuk lokap



Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR - Nasib dua beradik lelaki, yang mendakwa mereka diculik dan dilarikan ke Tanjung Malim, Perak, berakhir dalam lokap apabila helah mereka yang sebenarnya melarikan diri dari rumah keluarga di Jalan Klang Lama di sini, terbongkar.   Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata dua beradik berumur 14 dan 12 tahun itu telah berpakat dengan seorang lelaki untuk memaklumkan kepada keluarga mereka kononnya mereka diculik.    
"Lelaki itu menelefon ibu dua beradik berkenaan mengenai penculikan palsu itu dan ibu mereka memaklumkan kepada bapanya sebelum membuat laporan polis mengenai kes itu pada 15 Mac lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.   
Beliau berkata keesokannya, dua beradik itu ditemui oleh seorang pemandu lori di Tanjung Malim apabila terdengar mereka menjerit meminta tolong dari dalam lori itu sebelum diserahkan kepada polis.   
Polis kemudian menahan lelaki berusia 26 tahun itu kerana membuat panggilan palsu selain menahan dua beradik itu kerana membuat laporan palsu, katanya.    
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai di sini dua hari lepas dan merampas heroin seberat 147.24 gram, yang dibungkus dalam 80 paket plastik kecil, bernilai RM4,000 daripadanya.   
Siasatan awal polis mendapati lelaki itu aktif mengedar dadah di Lembah Pantai dan Brickfields dan dia ditahan reman sehingga 28 Mac ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah, katanya. - Bernama 

Kanak-kanak lelaki terima 20 jahitan diserang 3 anjing


Gambar Hiasan

24 Mac 2012


SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima 20 jahitan pada betis kiri setelah diserang tiga ekor anjing ketika bermain bola sepak di Padang Awam Taman Bandar Baru di Sungai Lalang di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Muhammad Nabil Amin Abd Wahab, 10, dikatakan menjadi penjaga gol ketika bermain bola sepak sebelum diserang tiga ekor anjing itu dari arah belakang, dipercayai kelaparan.
Muhammad Nabil berkata, selepas melihat kehadiran anjing-anjing itu semua rakannya melarikan diri tetapi dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana kaki kanannya sakit pada waktu itu.
"Masa itu saya tengok mulut anjing terbuka luas hingga menyambar kaki kiri dan sempat menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang. Seekor anjing berada di atas saya manakala dua lagi berada di bahagian kepala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Katanya, bagaimanapun nasibnya baik kerana diselamatkan oleh pelanggan sebuah kedai makan berdekatan yang ternampak tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan.
Muhammad Nabil dihantar ke HSAH untuk rawatan dan dibenarkan pulang hari ini dan diberikan cuti sakit selama seminggu.
Sementara itu, ibu mangsa Nor Azila Osman, 29, berkata anak lelakinya itu sudah seminggu tidak ke padang permainan berkenaan kerana belum sembuh sepenuhnya daripada jahitan luka pada bahagian kaki kanan kerana terpijak kaca ketika bermain di padang yang sama.
"Dia (Muhammad Nabil) memang dah lama tidak pergi ke padang sebab tidak boleh berjalan dengan baik dan hari ini sepatutnya jahitan luka akibat kaca dibuka tetapi semalam kena tambah jahitan lagi di betis kiri," katanya.
Nor Azila berkata, kejadian sedemikian sering berlaku di kawasan taman perumahan itu yang mana sebulan lalu terdapat kes seorang budak perempuan sekolah rendah turut digigit anjing sewaktu pulang dari sekolah. - Bernama 

Rabu, 21 Mac 2012

Minda: Penderaan bukan semata-mata lebam

Oleh Dr Zarazuela Zolkipli 
am@hmetro.com.my


MENUNGGU kemunculan parut mungkin terlalu lewat untuk kita menyelamatkan kanak-kanak. Sejak lebih dua dekad lalu pelbagai usaha dilakukan di seluruh dunia untuk mencegah peningkatan insiden penderaan kanak-kanak.
Di Malaysia, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2008 membuktikan berlaku peningkatan kes penderaan kanak-kanak di negara kita. Justeru itu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) tahun lalu melancarkan kempen ‘Get on board’ untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat mengenai isu penderaan kanak-kanak. 

Bagi kebanyakan orang istilah ‘penderaan kanak-kanak’ membawa gambaran kanak-kanak yang lemah dengan badan dipenuhi parut akibat penderaan fizikal atau seksual. Tetapi kami yang setiap hari bekerja dan berhadapan dengan kanak-kanak melihat penderaan emosi, psikologi atau ditinggalkan menerima kesan ‘kerosakan’ yang sama hebat seperti penderaan berbentuk fizikal - hasil kegagalan ibu bapa menunaikan tanggungjawab mereka. 

Wakil Unicef di Malaysia, Hans Olgen menggesa masyarakat memahami definisi istilah penderaan kanak-kanak dalam skop yang lebih luas. Ini aspek yang sangat penting untuk betul-betul difahami. Jika kita hanya menganggap penderaan kanak-kanak hanya membabitkan penderaan fizikal dan seksual saja, banyaklah penderaan terhadap insan kecil ini yang kita akan terlepas pandang.


Sama ada berbentuk fizikal, seksual, emosi, psikologi atau sekadar dibiarkan tanpa diberikan keperluan asas, semuanya adalah penderaan terhadap kanak-kanak.
Kita tidak boleh menunggu sehingga nampak luka atau lebam pada badan kanak-kanak untuk mengambil tindakan. Kita juga sama sekali tidak boleh menunggu lebih ramai kanak-kanak mati atau mempunyai parut kekal sepanjang hayat. 

Berapa banyak kematian akibat penderaan kanak-kanak yang kita perlukan untuk bertindak pantas mencegahnya? Atau adakah selepas satu tempoh kita terlupa kematian yang terakhir dilaporkan dan menunggu satu lagi kes untuk menggegarkan ingatan masyarakat kita? 

Jika ada sebab yang dirasakan munasabah untuk mengesyaki seseorang kanak-kanak itu menderita atau diancam bahaya, segeralah bertindak untuk melindungi kebajikan kanak-kanak itu, tidak kira siapa pun kanak-kanak berkenaan. Bagaimanapun, nasihat ini tentu saja tidak berguna jika masyarakat masih berpegang kepada konsep ‘tidak mahu jaga tepi kain orang’. 

Mungkin ia disebabkan kurang kesedaran, perbezaan sikap dan pegangan agama atau tidak mahu dilihat sebagai ‘menjaga tepi kain orang’ atau lebih tepat dipanggil ‘penyibuk’. Sedihnya kebanyakan penyiasatan kematian kanak-kanak akibat penderaan sering dilaporkan sebagai terlepas peluang untuk mencegahnya. 

Saya merujuk kepada tulisan saya bertajuk ‘Merotan kanak-kanak kecil adalah satu penderaan (Caning of young children is abuse) di akhbar News Straits Times (NST) pada 26 Mac 2010. Rasa sedih dan hampa apabila mengetahui sikap masyarakat negara ini terhadap tindakan merotan yang mendorong saya untuk menulis lagi. 

Walaupun kebanyakan orang menolak tindakan merotan, ada segelintir pihak yang selesa dengan amalan ini kerana menganggap merotan adalah satu perkara biasa. Pada saya merotan budaya orang dulu dan satu tindakan tidak bertanggungjawab. Sebagai masyarakat yang berfikir dan melihat ke hadapan, sudah tiba masanya untuk kita menghentikan budaya merotan dan mengisytiharkannya sebagai satu bentuk penderaan. 

Dalam persekitaran kerja saya, tiada ada tolak ansur apabila membabitkan bab penderaan kanak-kanak. Malah golongan profesional sama ada doktor, jururawat, pekerja sosial atau guru juga gagal mendokumenkan atau melaporkan kebimbangan mereka terhadap kebajikan kanak-kanak perlu dicela, dipecat, diturunkan jawatan atau dilatih semula. 

Konsep tiada tolak ansur dalam penderaan kanak-kanak perlu diguna pakai di negara kita secepat mungkin. 

Bagaimanapun, untuk masyarakat berubah, kita memerlukan agensi kerajaan yang tersusun khusus bagi mengendalikan isu berkaitan kanak-kanak. Tiada yang lebih menyakitkan hati dan mengecewakan apabila tindakan untuk membela nasib kanak-kanak terhalang dek ketiadaan sistem yang tersusun. 

Di atas kertas, kita memang ada peruntukan undang-undang; tetapi praktikalnya kebanyakan yang terbabit dalam isu kanak-kanak mengadu ketiadaan peraturan yang standard, tidak cukup pekerja sosial dan paling menyedihkan ketiadaan sistem pemantauan kawalan kualiti untuk pengesanan awal kepada kegagalan ini. 

Pada April 2007, The New Sunday Times mendedahkan hanya seorang daripada 10 pekerja sosial di negara ini mendapat latihan untuk pekerjaan mereka. Tiga tahun selepas artikel itu disiarkan, Piawaian Kompetensi Kerja Sosial Kebangsaan diperkenalkan untuk menjamin standard dan kualiti latihan bagi melahirkan pekerja sosial. 

Dalam membuat keputusan penting, seseorang biasanya membuat keputusan sendiri berdasarkan kepercayaan peribadi dan moralnya. Bagi isu perlindungan kanak-kanak, tiada seorang pun sepatutnya membuat keputusan sendiri. Ketidakcekapan dalam sistem yang bersifat individu ini sebenarnya hanya menunggu malapetaka. 

Contohnya dalam kes mangsa penderaan kanak-kanak di United Kingdom, Victoria Climbe, penyiasat mendapati pekerja sosial bertanggungjawab ke atas mangsa, melakukan kesilapan besar apabila mengambil keputusan sendiri dan menganggap Climbe tiada risiko atau tidak berada dalam keadaan berbahaya. Kes itu ditutup seminggu sebelum Climbe meninggal dunia akibat kecederaan yang mengerikan. 

Kita perlu mengambil iktibar dan belajar daripada tragedi ini. Sebarang keputusan membabitkan pembelaan nasib kanak-kanak tidak boleh dilakukan oleh satu orang, ia sepatutnya membabitkan pelbagai agensi dengan undang-undang yang ketat. 

Tahniah diucapkan kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang merancang penggubalan Akta Pekerja Sosial tahun lepas. Memang sudah tiba masanya untuk kita ada akta sedemikian. Pada masa sama, undang-undang dan peraturan pembelaan nasib kanak-kanak perlu diperluas dan diguna pakai di seluruh negara dalam sistem kehakiman, kepolisan, perubatan dan pendidikan secara standard. 

Tanpa usaha bersungguh-sungguh yang selaras, kita mungkin akan gagal untuk melindungi kanak-kanak - satu perkara yang tidak sepatutnya ada dalam laluan kita menuju negara maju. 

Penulis adalah pakar neurologi paediatrik dan boleh dihubungi melalui zzolkifli@hotmail.com




Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...