Khamis, 7 April 2022

Perbezaan antara `baru’ dengan `baharu’

 


Memartabatkan Bahasa Melayu Bil.5/2022

 

BMKPM

 

Munsyi Md Rasul bin Haron

 

 

'Baru' ialah kata bantu manakala 'baharu' ialah kata adjektif. 'Baru' kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud just, manakala 'baharu' pula membawa maksud new . Dalam erti kata lain, 'baru' berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut:

i.     Mereka baru sahaja berkenalan

ii.    Dia baru tiba dari Pulau Pinang

iii.   Mesyuarat itu baru sahaja selesai

 

Manakala 'baharu' (new) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan 'lama' atau 'buruk' seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi morfologi, kata 'baru' tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu 'baru-baru' seperti dalam ayat: Baru-baru ini dia memenangi Hadiah Sastera Remaja. Manakala kata 'baharu' boleh menerima awalan teR- menjadi 'terbaharu', awalan mempeR- menjadi 'memperbaharu' dan apitan meN-...-i menjadi 'membaharui'.

 

Dari segi semantik, baharu juga boleh bermaksud moden. Kadang-kadang 'baharu' juga dipendekkan menjadi 'baru' dalam pengunaan harian. Bagaimanapun, hal ini tidak digalakkan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...