Sabtu, 9 Mei 2009

PROGRAM ANJAKAN MINDA SEMERBAK


Greenwood, 8 MEI 2009- Satu program telah dilaksanakan oleh unit HEM di bawah pimpinan Pn.Fouziah bt Yaacob dengan dibantu oleh Unit Kaunseling Sekolah iaitu Program Anjakan Minda. Pelajar-pelajar bermasalah selalunya dikatakan kurang dengan keyakinan diri, mempunyai rasa rendah diri dan banyak dibelenggu masalah terutamanya masalah psikologikal. Kesemua faktor ini biasanya memberi kesan terhadap kemampuan mereka untuk bersaing dengan pelajar-pelajar lain dalam banyak hal terutamanya dalam bidang akademik. Oleh sebab itu, sebahagian daripada mereka mempunyai prestasi akademik yang kurang baik. Selain dari itu, mereka hilang arah tuju dan tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas yang membolehkan mereka merancang perjalanan untuk mencapai cita-cita mereka.

Perkembangan semasa dan kelangsungan pelbagai isu yang sering dipaparkan di media massa kebelakangan ini jelas telah banyak menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat pada hari ini. Berita tentang golongan pelajar bertindak di luar batas-batas kesopanan dan kesusilaan, bergentayangan dan hidup bergelumang dengan kegiatan-kegiatan yang tidak berakhlak cukup mengejutkan ibu bapa, masyarakat umum dan kerajaan. Oleh sebab itu, perlulah dikenal pasti sebab-musabab masalah yang semakin menular dalam jagat kehidupan masyarakat majmuk Malaysia, khususnya dunia kehidupan golongan pelajar sekolah.



Barangkali ada benarnya, kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki hidup dan memburu dunia kebendaan saban hari sehingga mereka yang sering terbelenggu dek tekanan hidup terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak merupakan antara berlakunya kepincangan dan kebobrokan akhlak pelajar kita pada hari ini. Menurut Kaunselor SEMERBAK, Pn Masifah dan Cik Fatimah Az-Zahrah, kekurangan didikan moral dan agama, sistem pendidikan dan institusi masyarakat yang terlalu mengutamakan atau mengagung-agungkan kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa memberikan perhatian yang seimbang kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar-pelajar turut merancakkan keberleluasaan gejala sosial dalam kehidupan kita sehari-hari. Pendapat mereka turut disokong oleh Encik Deva yang juga seorang kaunselor. Encik Deva menekankan bahawa nilai budi bahasa dianggap amat penting dalam usaha melahirkan modal insan yang sempurna akhlaknya dan mempunyai kekuatan jati diri serta perilaku mulia dan terpuji sekali gus sebagai asas budaya hidup pelajar khususnya.



Tiga objektif utama Program Anjakan Minda iaitu;



i. Meningkatkan kesedaran dan jatidiri pelajar dengan memberikan ilmu pengetahuan dan hala tuju.



ii. Membimbing dan membantu para pelajar yang menghadapi maslah.



iii. Meningkatkan hubungan baik antara ibu bapa dan guru untuk membantu perkembangan diri pelajar.






SMK Seri Gombak amat beruntung memiliki Pn.Rahimah bt Omar. Beliau merupakan seorang pengetua yang mengutamakan pencapaian akademik dan tidak pernah terlepas pandang melihat masalah disiplin yang dilakukan oleh para pelajar. Bagi beliau, masalah disiplin mempunyai kaitan yang rapat dengan pencapaian prestasi akademik. Justeru, beliau sentiasa menyokong sepenuhnya program-program yang melibatkan pembinaan modal insan.






Begitu juga dengan Pn.Hasnah bt Shamsudin, Guru Penolong Kanan(Akademik) yang juga mempunyai misi dan visi yang selari dengan Pn.Rahimah iaitu menjadikan SMK Seri Gombak sekolah yang terbilang dari segi akademik, sahsiah dan ko-kurikulum. Aturcara program pada Program Anjakan Minda adalah seperti berikut:




7.30 am -Pendaftaran


8.00 am -Ceramah 'Anjakan Minda' oleh Ustaz Kamarudin bin Arshad dari SMK Darul Ehsan


10.00am -Aku Janji dan Bacaan Ikrar


10.30am - Rehat


10.50am - Sesi Perbincangan Antara Ibu Bapa dan Guru


12.00pm - Bersurai




Masyarakat hari ini lebih menekankan aspek kebendaan atau materialisme. Hal ini sekali gus meminggirkan nilai-nilai moral seperti berbudi bahasa, hormat menghormati, bertolak ansur dan sebagainya. Ibu bapa dan guru-guru haruslah berganding bahu dengan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi pelajaryang boleh diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai-nilai budi bahasa yang terpuji.




Seperti yang umum ketahui, segala-galanya bermula dari rumah kerana ibu bapa menjadi teladan awal dan merupakan pencorak hidup kehidupan anak mereka. Pendapat ini dikongsi penulis dengan Encik Kamal, NYDP PIBG Semerbak dan Encik Mazlan salah seorang AJK PIBG. Kerjasama erat di antara PIBG di bawah pimpinan Dr.Ir Mohd Helmi bin Zulkawi dan pihak sekolah memang tidak dapat disangkalkan.


Untuk melahirkan anak yang berakhlak dan bersahsiah tinggi, tidak kira di dalam atau diluar rumah, pendidikan agama yang secukupnya merupakan pasak utama yang perlu diterapkan dalam kehidupan mereka. Tidak kira apa jua agama, semuanya mendidik ke arah kebaikan. Ibu bapa juga perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak mereka kerana dewasa kini ada segelintir anak yang memprotes ibu bapa mereka lantaran kurang mendapat perhatian. Di samping itu juga, ibu bapa perlu memantau segala aktiviti anak mereka agar semuanya dalam keadaan terkawal dan terpelihara.



Usahlah terlalu asyik mencari harta sehingga hal anak dikesampingkan. Tidak dinafikan, sememangnya wang ringgit menjamin dan mampu memberikan kesenangan dalam kehidupan kita. Kita haruslah berpada-pada. Jika anak kita yang ibarat mutiara ini digilap dengan lebih giat lagi, mereka mampu menjadi modal insan acuan Malaysia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang amat diperlukan oleh negara, agama dan bangsa.




Dari perspektif Islam, sememangnya tidak dinafikan lagi bahawa Islam mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Rasulullah SAW juga menganggap bahawa menderhaka kepada orang tua sebagai dosa besar selepas syirik. Rentetan itu, jika menyebut perkatah 'uuh' atau 'aah' dikira sebagai menyakiti dan menderhakai ibu bapa, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul mereka.




Bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya juga, menghormati ibu bapa dan guru-guru itu landasan utama penawar anak derhaka. Tuntasnya, seorang pelajar yang mempunyai rasa hormat yang menebal dalam dirinya akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.




Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mengangkat nama SMK Seri Gombak sebagai sekolah yang TERBILANG baik dari segi akademik, sahsiah dan ko-kurikulum.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...