Putrajaya, 27 Ogos 2009- Majlis Perhimpunan Bulanan Bahagian Pendidikan Guru bagi bulan Jun, Julai dan Ogos dan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan dan Sosial Sesi 2009-2010 telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato'Misrah bin Hj.Ibrahim, Pengarah BPG. Perhimpunan pada kali ini berlangsung di Dewan Serbaguna, Aras 9, E12 dan dikelolakan oleh Unit HEP, KDP, PBK dan KP.
Sejak pukul 7.30 pagi, warga BPG mula memenuhi ruang di dalam dewan. Pada pukul 7.45 pagi, Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Pengarah BPG sudah berada di luar pintu utama dewan untuk menyambut ketibaan Dato'Misrah. Kelihatan juga Pengarah-Pengarah IPGM yang sejak dari awal lagi sudah mengambil tempat duduk di dalam dewan. Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Perkhidmatan Awam. Kemudian diteruskan dengan ikrar perkhidmatan awam dan bacaan doa. Selepas itu, ucapan alu-aluan oleh wakil KPP dan diikuti ucaptama oleh Dato'Misrah. Banyak pesanan yang diberi oleh Dato' Misrah kepada keluarga BPG. Antaranya, perbelanjaan yang berhemah dan mengamalkan amalan berjimat-cermat dalam pentadbiran dan juga di dalam kehidupan seharian.
Suasana majlis dihiaskan dengan acara-acara seperti persembahan atau laporan aktiviti bulanan bagi setiap unit, pengenalan warga baru BPG, penyampaian hadiah ulang tahun kelahiran warga BPG yang dilahirkan pada bulan Mei, Jun, Julai dan Ogos dan penyampaian hadiah pertukaran warga BPG. Suasana di dalam dewan yang penuh keceriaan bertukar menjadi suram dan amat menyentuh hati apabila Memori Bersama Allahyarhamah Pn.Roselina binti Hj.Yusuf(Unit Kokurikulum) dipancarkan di layar. Keluarga BPG kehilangan seorang pegawai yang begitu komited dengan tugas. Banyak menguntum senyum. Kurang bercakap. Kuat bekerja dan suka akan cabaran baru. Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Dato'Misrah bin Hj.Ibrahim di dalam ucapan beliau. Bagi yang mengenali Allahyarhamah, amat sependapat dengan Dato'. Begitu juga dengan penulis yang mengenali Allahyarhamah sejak sebelum menjadi keluarga BPG. Semoga Roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa dan beramal soleh dan begitu dirindui Syurga.
Setelah selesai perhimpunan, Mesyuarat Agung BKS sesi 2009-2010 telah berjaya berlangsung dengan keadaan yang harmoni dan tidak banyak berlaku pertandingan. Ini membuktikan keluarga BPG sentiasa bersatu hati dalam memilih mereka yang layak menerajui Badan Kebajikan dan Sosial BPG. Pada sesi kali ini, Encik Amran bin Arifin, KPP Unit Khidmat Pengurusan telah dilantik untuk menjadi Pengerusi BKS. Tahniah kepada Pengerusi dan AJK yang terpilih.
Sekian, terima kasih.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan