OLEH
MD RASUL BIN HARON
1.0 PENDAHULUAN
Catatan-catatan sejarah menunjukkan bahawa Alam Melayu telah pun mengenali agama Islam sejak kurun permulaan Hijrah lagi di mana ia merupakan peringkat pengenalan ke arah satu proses penyebaran agama Islam.
Terdapat penemuan batu nisan di Grisek, Jawa yang bertarikh 1082 Masehi. Artifak ini tidak dapat dijadikan bukti kedatangan Islam yang konkrit kerana kemungkinan batu nisan tersebut merupakan batu nisan pedagang Islam yang meninggal dunia dan dikebumikan di situ. Ia hanya dapat membuktikan bahawa pada waktu itu telah ada orang Islam di Alam Melayu.
Penyebaran Islam secara terancang dan beramai-ramai berlaku pada abad ke 13 Masehi apabila lahirnya Kerajaan Islam Pasai di Utara Sumatera. Sebelum abad ke 13, penyebaran agama Islam berlaku secara tidak langsung. Orang Arab yang datang ke Gugusan Kepulauan Melayu adalah dengan bertujuan untuk menjalankan aktiviti perdagangan. Orang-orang Arab yang mempunyai tapak ekonomi yang kukuh diberi penghormatan besar oleh penduduk tempatan hingga akhirnya mereka mudah memperkenalkan agama Islam.
2.0 Teori dan Bukti Islam datang dari Semenanjung Tanah Arab
Teori yang mengatakan bahawa Islam berkembang ke Alam Melayu dari Semenanjung Tanah Arab dikemukakan oleh John Crawford dan disokong oleh intelektual tempatan, Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut John Crawford, Islam berkembang ke Asia Tenggara menerusi aktiviti para pedagang .
Beliau menggunakan bukti catatan China yang mengatakan bahawa orang Arab dan Parsi telah mempunyai pusat perniagaan dan petempatan di Canton dan Amoy sejak tahun 300 Masehi. Sejak awal lagi pedagang Arab ini telah menguasai perdagangan laut dari pelabuhan Iskandariah di Mesir dan hingga ke China .
Orang-orang Arab telah berdagang secara terus di rantau ini terutama setelah kemunculan Islam di Mekah pada abad ketujuh Masihi. Pedagang Arab yang berdagang ke China telah singgah di pelabuhan utama di Asia Tenggara terutamanya pelabuhan di Selat Melaka. Ini disebabkan kedudukan Selat Melaka yang strategik kerana terletak di tengah-tengah laluan perdagangan. Pelabuhan Melaka menjadi tempat menunggu perubahan angin monsun untuk ke China .
Masa menunggu perubahan angin monsun digunakan oleh pedagang Arab untuk berbincang dan berinteraksi dengan pedagang tempatan dan Asia Tenggara tentang kepercayaan dan agama. Kehidupan serta nilai Islam yang murni yang diperlihatkan oleh para pendakwah serta pedagang Islam ini telah menarik minat masyarakat dan pedagang tempatan kepada ajaran Islam. Kehidupan dan aktiviti pedagang para Arab ini terdapat dalam catatan China yang mengatakan bahawa telah wujud sebuah perkampungan Islam bernama Ta Shih di Sumatera Utara pada tahun 650 Masehi .
Syed Muhammad Naquib al-Attas bersetuju dengan pendapat yang mengatakan Islam datang ke Asia Tenggara adalah dari Semenanjung Tanah Arab. Selain itu, perkataan Arab yang terdapat pada tulisan jawi telah diambil dari bahasa Arab. Tambahan pula adat resam dan kebudayaan orang Melayu bayak dipengaruhi oleh budaya Arab. Contoh yang jelas , amalan menghormati tetamu dan muzik Melayu seperti dabus dan tarian zapin.
Syed Muhammad Naquib al-Attas juga mengatakan bahawa kebanyakan karya tempatan menceritakan bahawa pengislaman raja di Asia Tenggara dilakukan oleh syeikh dari Semenanjung Tanah Arab, misalnya, Hikayat Raja-Raja Pasai yang menceritakan bahawa mubaligh atau pendakwah yang pertama tiba di Pasai ialah ialah seorang sufi berketurunan Arab yang bernama Sheikh Ismail. Beliau berjaya mengislamkan Raja Pasai, iaitu Merah Silu dan kemudiannya bergelar Malik al-Salih manakala Raja Pattani Phaya Tu Nakpa pula telah diislamkan oleh Sheikh Said.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berpendapat bahawa mulai akhir abad ke-13, perubahan yang ketara berlaku pada kerajaan awal di pesisir Selat Melaka. Perubahan ini ialah dari segi anutan agama. Terdapat bukti sejarah seperti catatan Marco Polo pada tahun 1292 Masehi, yang mengatakan kerajaan Perlak telah menerima Islam. Sumber China yang menunjukkan Samudera-Pasai juga telah menerima Islam pada tahun 1281 Masehi. Batu nisan Raja Malik al-Saleh bertarikh 1297 Masehi mengukuhkan lagi penerimaan Islam di Sumatera pada akhir abad ke-13 Masehi.
Kebanyakan pedagang Arab telah menetap selama beberapa bulan sebelum meneruskan perjalanan sehingga sebahagian besar daripada mereka telah membina petempatan atau kampung di situ. Perkampungan ini menjadi penting kerana kerana menyediakan tapak untuk berdagang serta berfungsi sebagai tempat megumpul barang jualan dan tempat membeli barang-barang mewah yang datang dari China dan India. Selain itu, terdapat orang Arab di perkampungan ini yang berkahwin dengan wanita tempatan. Dengan ini wujud tapak yang kukuh bagi pedagang Arab ini menjalankan perdagangan dengan pelabuhan lain di Alam Melayu.
Bukti tambahan tentang kedatangan Islam dari Semenanjung Tanah Arab ialah kebanyakan kitab agama yang dikarang dalam bahasa Melayu pada peringkat awal menggunakan bahasa bahasa serta gaya penulisan yang dipengaruhi oleh bahasa Arab. Contohnya, Hikayat Nabi Bercukur.
Selain itu, tidak terdapat unsur India atau China dalam kitab yang dikarang oleh ulama tempatan pada peringkat awal. Kitab tempatan seperti tauhid, tafsir al-Quran dan hadis didapati menggunakan bahasa Arab dan sumber rujukan dari Semenanjung Tanah Arab.
Pedagang Islam dari Arab memainkan peranan yang penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu. Hamka berpendapat bahawa terdapat bukti yang kukuh bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini datang terus dari Semenanjung Tanah Arab dengan dibawa oleh orang Arab yang bergelar Shaykh, Sayyid atau Waliullah dan mereka inilah yang memainkan menyebarkan Islam kepada orang Melayu.
Dengan merujuk kepada karya sastera Melayu tradisional seperti Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Hamka dengan jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses pengislaman orang Melayu. Hamka dengan berpandukan kepada Hikayat Raja-Raja Pasai menyatakan bahawa pengasas kerajaan Pasai iaitu Merah Silu bermimpi bertemu dengan Rasulullah dan ketibaan Shaykh Ismail di pelabuhan yang dihantar oleh pemerintah Makkah bagi menyebarkan Islam kepada penduduknya. Dalam perjalanannya ke Samudera-Pasai, Shaykh Ismail telah singgah di Mu’tabar (Malabar) dan bertemu dengan Sultan Muhammad yang berketurunan Sayidina Abu Bakar.
Peranan orang Arab juga dapat dilihat berdasarkan peristiwa yang terdapat dalam Sejarah Melayu iaitu Sultan Muhammad Shah bermimpi bertemu dengan Rasulullah dan diajar membaca syahadah. Baginda diminta menjemput pada keesokan harinya di pelabuhan Sayyid Abdul Aziz, seorang Arab yang datang dari Jeddah.
Pada tahun 1345 Masehi, Raja Samudera yang bernama Maliku-Zahir II(1326-1348 M) dikunjungi oleh pengembara Arab Ibnu Batutah yang telah menyatakan kekagumannya tentang perasaan dan minat keagamaan Sultan Maliku-Zahir II. Ibnu Batutah juga menceritakan bahawa pada zaman tersebut, beliau pernah bertemu dengan dua orang ulamak dari Parsi.
Sumatera tempat pertama Islam bertapak di Gugusan Kepulauan Melayu. Penerimaan agama Islam di sebelah Pantai Timur Sumatera adalah usaha penyebaran yang dilakukan orang-orang Arab. Raja-raja tempatan menerima agama Islam kerana sebahagian besarnya tertarik kepada kekayaan perdagangan yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab. Selain itu, penyebaran Islam di sepanjang Selat Melaka disebabkan oleh perkahwinan di antara keluarga diraja dengan pedagang. Misalnya, perkahwinanSultan Pasai yang pertama beragama Islam dengan puteri Raja Perlak.
Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam penyebaran Islam di Alam Melayu tidak boleh dinafikan. Jikalau ditinjau semua kenyataan hasil kesusasteraan keagamaan yang telah merujuk kepada sumber-sumber tulisan lama Islam yang berkenaan dengan kepulauan ini, kita akan dapati bahawa tidak ada satu pun laporan, rujukan atau sebutan yang merujuk kepada penulis India atau kitab yang berasal dari India dan digubah oleh orang India. Bahkan penulis-penulis yang disebut sebagai ‘orang India’, dan kitab-kitab yang disebutkan ‘berasal dari India’ oleh para sarjana Barat khususnya, sebenarnya penulis-penulis bangsa Arab, dan kitab-kitab yang berasal dari negara Arab atau Timur Tengah (Farsi), dan kebanyakannya disebut sebagai ‘Farsi’ itu pun sebenarnya Arab.
Mubaligh-mubaligh Islam terdiri daripada orang-orang Arab atau Arab-Farsi, dan ini nyata dari gaya nama dan gelaran mereka masing-masing. Memanglah benar bahawa sesetengah daripada golongan mubaligh ini datang melalui India, akan tetapi sesetengah daripada golongan mubaligh ini datang terus dari negeri Arab, dan ada juga melalui negeri Farsi dan negeri China. Ada juga mubaligh Arab ini datang melalui negeri-negeri Maghribi dan dan Turki.
Pendakwah Arab datang langsung dari Semenanjung Tanah Arab , menukarkan agama pemimpin Melayu tempatan kepada Islam. Langkah ini diikuti seterusnya oleh rakyat jelata. Sumber tempatan yang berupa karya istana menunjukkan bahawa orang Arab yang datang ini bukanlah pedagang tetapi pendakwah yang datang secara khusus bagi menyebarkan agama Islam. Hamka juga menyenaraikan peranan pendakwah Arab yang mengislamkan raja-raja Melayu di Samudera-Pasai, Aceh, Tanah Jawa, Kedah, Maluku, Tidore, Kalimantan, Brunai, Mindanao, Sulu dan Pontianak.
Semangat dakwah Islamiah yang tertanam di hati pedagang Arab ini telah dapat menarik minat masyarakat tempatan. Kepercayaan dan amalan baru sentiasa menjadi tajuk perbualan serta ikutan mereka yang berada di tempat ini. Disebabkan kemurnian sikap serta tingkah laku pedagang Islam yang datang dari Semenanjung Tanah Arab, maka, perkara tersebut telah menjadi ikutan penduduk setempat. Perkampungan pedagang Islam ini juga telah menjadi pusat perbincangan tentang agama Islam di kalangan pedagang yang tinggal di situ.
Islam lebih cepat tersebar apabila pedagang yang berdakwah mengamalkan sifat berhemah dan lemah lembut semasa menyampaikan ajaran Islam. Ini dapat menarik minat penduduk tempatan untuk memeluk agama Islam.
S.Q. Fatimi meletakkan kejayaan pemelukan Islam orang Melayu ialah kerana peranan yang dimainkan oleh para pendakwah. Sikap mereka sama sekali berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh pengembang agama Kristian sehingga menyebabkan penolakan orang Melayu terhadap agama Kristian. Dalam usaha menyebarkan agama Islam di kalangan orang Melayu, para pendakwah bersikap terbuka dalam hubungan mereka dengan penduduk tempatan. Mereka mempelajari bahasa serta budaya Melayu dan berkahwin dengan wanita tempatan serta menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Islam juga tersebar melalui perkahwinan, termasuk perkahwinan siasah dan perkahwinan biasa. Perkahwinan siasah berlaku di kalangan kerabat raja. Misalnya di Melaka, Sultan Mansur Syah dan Sultan Muzaffar Syah telah mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan raja Siak, Kampar, Inderagiri dan Jambi di Sumatera. Selain itu, puteri raja Melaka juga dikahwinkan dengan raja Pahang dan raja Kedah. Dengan perkahwinan itu, negeri-negeri tersebut dapat diislamkan kemudiannya. Perkahwinan biasa pula berlaku antara pedagang atau ulama Islam dari Semenanjung Tanah Arab dengan penduduk tempatan. Menerusi perkahwinan ini, Islam tersebar di kalangan keluarga orang yang baru dikahwini. Seterusnya, Islam tersebar pula di kalangan masyarakat sekeliling keluarga yang dikahwini oleh pedagang Arab tersebut.
Islam juga telah bertapak di Brunai menerusi peranan Brunai sebagai pusat perdagangan yang penting di Borneo. Bukti tentang ketibaan Islam di Brunai adalah berasaskan catatan China pada tahun 977 Masehi yang mengatakan Brunai telah menghantar seorang pembesar Pu Ali, ke China. Walau bagaimanapun, Islam telah mula tersebar dengan meluas di Brunai dan di pantai pulau Borneo hanya pada abad ke-15 dan abad ke-16. Salah seorang pendakwah yang telah dapat menyebarkan Islam di wilayah ini ialah Syariff Ali Mufaqih Muqaddam atau Syariff Berkat yang berasal daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. . Dengan pengislaman Brunai, wilayah di sekitarnya seperti kepulauan Sulu dan juga Mindanao diislamkan.
Menurut cerita orang Sepanyol yang datng ke daerah Sulu dalam tahun 1521 Masehi, pulau-pulau di sebelah utara masih ramai manusia yang bersikap biadap. Berbanding dengan penduduk di selatan yang telah memeluk Islam dan mempunyai kerajaan sendiri. Orang Islam telah mengadakan hubungan perdagangan dengan orang Islam dari Jawa dan China, serta saudagar-saudagar dari Hindustan. Sesetengah sejarawan berpendapat bahawa pengislaman penduduk kepulauan Sulu adalah melalui seorang mubaligh Arab yang bernama Makhdum Ibrahim Al-Akhbar Al-Husaini.
Pengislaman penduduk Pulau Mindanao, pulau yang kedua besarnya di Filipina berlaku hasil usaha seorang bangsa Arab yang bernama Sharif Muhammad Kebongsuan. Beliau tiba di Natubakau, muara Sungai Rio Granda, menjelang akhir abad kelima belas dan berjaya menarik minat penduduk di situ memeluk Islam. Kapten Thomas Forrest dalam bukunya ada menyatakan bahawa ketika beliau mengunjungi Mindanao dan Sulu pada tahun 1775 Masehi, orang Islam di sana menerangkan bahawa agama Islam telah berkembang di sana sejak 300 tahun yang silam. Berdasarkan kenyataan ini, dianggarkan bahawa mubaligh Islam yang pertama bernama Syarif tersebut datang ke sana kira-kira pada tahun 1475 Masehi.
Sebagai pusat perkembangan Islam, Acheh mempunyai ulama-ulama dan pengarang-pengarang kitab yang masyhur. Kitab-kitab mereka juga terkenal hingga ke hari ini. Kitab Bustanus-Salatin (Taman Para Raja) yang diterbitkan dalam tahun 1638 Masehi. Pengarang kitab tersebut ialah Syeikh Nuruddin bin Husani Al Raniri yang berasal dari Gujerat, India telah menyebut nama-nama ulama yang terkenal di Acheh pada abad yang keenam belas dan ketujuh belas. Menurut kitab itu, dalam tahun 1582 Masehi dua orang ulamak datang ke Acheh dari Mekah. Seorang daripadanya bernama Abdul Qadir bin Hajar dan Muhammad Al-Yamani.
Pada tahun 1112 Masehi lagi, Acheh telah diperkenalkan ajaran Islam oleh orang Arab. Pada tahun tersebut, seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah Arif telah menjalankan kegiatan dakwah di Acheh. Kemudian salah seorang pengikutnya iaitu Shaykh Burhanuddin meneruskan misi dakwah jauh sehingga ke Priaman di Pantai Sumatera Barat.
Hakikat yang menunjukkan bahawa penyebaran agama Islam yang dilakukan oleh orang-orang Arab ke Alam Melayu berlaku secara sukarela bukan menggunakan paksaan atau ekspedisi ketenteraan yang dihantar oleh mana-mana pemerintah Islam yang sedang berkuasa, baik di Timur Tengah mahupun di benua kecil India.
4.0 KESIMPULAN
Mubaligh atau pendakwah, ulama dan juga ahli sufi telah memainkan peranan secara langsung untuk menyebarkan agama Islam ke Alam Melayu.
Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad merupakan pendakwah yang terawal berdakwah di Alam Melayu. Selepas itu pendakwah lain telah datang ke Alam Melayu untuk meneruskan penyebaran Islam. Pendakwah, ulama dan ahli sufi seperti Sharif Amir Sayyid al-Syirazi dan Tajuddin al-Asfahani telah menyebarkan dakwah Islamiah di Pasai. Di Melaka pula terdapat pendakwah seperti Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar dan Maulana Yusuf.
Pendakwah-pendakwah Arab ini telah memainkan peranan yang penting dalam kegiatan penyebaran Islam di Alam Melayu. Pedagang Islam yang berdagang di bandar-bandar pelabuhan di Alam Melayu telah tinggal di beberapa buah bandar pelabuhan. Sikap keterbukaan dan kesediaan masyarakat Alam Melayu dalam menerima perubahan telah memudahkan pendakwah Islam dari Semenanjung Tanah Arab menyebarkan dakwah Islamiah tanpa paksaan.
RUJUKAN
1. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: ABIM, 1984.
2. Arnold, T.W. The Preaching of Islam. A History of the Propagation of the Muslim Faith. Lahore: Sh.Muhammad Ashraf, 1979.
3. Dusuki Hj Ahmad. Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1980.
4. Fatimi, S.Q. Islam Comes to Malaysia. Singapura: Publishing House Ltd.,1963.
5. Hamka. Sejarah Umat Islam (edisi baru). Singapura: Pustaka Nasional, 1997.
6. Harrison, B. Asia Tenggara Satu Sejarah Ringkas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1966.
7. Hassan, Hassan Ibrahim. Sejarah Islam. I-VII. Terjemahan Ismail bin Mohd Hassan.
Kuala Trengganu: Yayasan Islam Trengganu, 1986-1988.
8. Ismail Hamid. “A Survey of Theories on the introduction of Islam in the Malay
Archipelago”. Islamic Studies. Vol.XXI. No.3, 1982.
9. Mahayudin Hj.Yahya. Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1998.
10. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. Arkeologi Pra-Islam Pesisir Selat Melaka
Evolusi atau Migrasi. Bangi: Penerbit UKM, 1999.
11. Shellabear, W.G.(cetakan ke-17). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
Sdn.Bhd., 1984.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan