Ahmad bin Haji Muhammad Rashid Talu atau nama penanya Ahmad Talu dilahirkan di Lumut Lane, Pulau Pinang pada tahun 1889. Keluarga bapanya berasal dari daerah Talu di Sumatera, Indonesia. Perkataan 'Talu' di hujung nama adalah untuk mengingati asal keturunan keluarganya di sana.
Bapanya, Muhammad Rashid telah berhijrah ke Pulau Pinang dari Sumatera dan menumpang tinggal di rumah seorang kawan yang bernama Saleh Banjar. Bagi menyara hidupnya, Muhammad Rashid bekerja sebagai 'banda' yang tugasnya mencari penumpang-penumpang untuk ke Medan atau ke tempat-tempat lain di Sumatera. Budi baik yang dimiliki oleh Muhammad Rashid telah memikat hati Salleh Banjar untuk menjodohkannya dengan anak saudaranya yang bernama Seri Banon. Suami isteri ini dikurniakan tiga orang cahaya mata; dua lelaki dan seorang perempuan. Yang sulungnya diberi nama Ahmad, kedua Daim dan yang bongsu bernama Mariam.
Kehidupan zaman mudanya penuh dengan liku-liku pengalaman . Beliau merantau ke merata tempat dan melakukan berbagai-bagai pekerjaan bagi menyara hidupnya. Perkenalannya dengan Syed Sheikh Al-Hadi telah membenihkan minatnya untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan dan seterusnya mencuba bakat mengarang novel.
Ahmad Talu menulis semasa lapang atau sewaktu menunggu bengkak dilutut, kaki dan pinggangnya sembuh. Dia suka menyendiri apabila sedang mengarang. Sebuah bilik dikhaskan untuk dia menulis dan membaca. Di dalam bilik tersebut disediakan sebuah meja duduk untuk dia menulis kerana Ahmad Talu tidak boleh menjuntaikan kakinya yang sering bengkak-bengkak itu.
Sepanjang hayatnya Ahmad Rashid Talu telah menghasilkan enam buah novel: Kawan Benar(1927), Iakah Salmah?(1929), Dua Belas Kali Sengsara(1929), Siapa Jahat?(1929), Rahmah binti Abdullah-tidak selesai(1933), Perangkap Hitam(1934) dan tiga novelet (1934-1935): Silap, Sedih dan Dua Kali Selamat.
Menjelang akhir hayatnya Ahmad Rashid Talu menghidap pelbagai jenis penyakit namun hal itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus menyumbangkan bakti melalui karya kreatifnya. Beliau meninggal dunia di Perak pada 12 Julai 1939 kerana sakit buah pinggang.
LATAR BELAKANG KARYA
Karya-karya Ahmad Talu didapati sungguh menarik dengan daya kreatifnya yang begitu besar dibandingkan dengan penulis-penulis sezamannya. Kekreatifannya ini terpancar dalam keseragaman pokok persoalan yang dikemukakan seperti masalah rumah tangga kerana kecurangan suami dan persoalan emansipasi wanita dalam menuntut kemajuan. Juga cerita seorang pelacur yang berjaya mempesona dan meruntuhkan kehidupan beberapa orang lelaki di Bandar Pulau Pinang. Tidak ketinggalan, cerita yang berunsur pengembaraan dipaparkan juga. Nyatalah setiap novelnya membawanya persoalaan yang berlainan, tidak stereotaip dan ini pastinya tidak menjemukan pembaca.
Di samping persoalan tersebut, Ahmad Talu berusaha menyelitkan beberapa hal seperti keruntuhan moral, hasad dengki dan cemburu yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu dalam setiap karyanya. Sebagai penghasilan awal novel-novel Melayu, karya-karya Ahmad Talu tidak terlepas daripada format dan bentuk penceritaan hikayat atau lipur lara. Unsur-unsur tradisi masih terdapat di dalamnya terutama dari segi struktur dan plot cerita. Misalnya, unsur pengembaraan terutama yang berlaku kepada watak-watak utama. Dalam Dua Belas Kali Sengsara, Yahya mengembara seperti dalam cerita-cerita panji atau hikayat-hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Malim Deman, untuk menghadapi cabaran dan akhirnya mengecap kebahagiaan. Heronya terpaksa menempuh berbagai-bagai kepayahan dan cabaran. Tidak ketinggalan aspek-aspek cinta diselitkan sama, seperti apa yang terjadi ke atas diri Yahya yang sentiasa digilai oleh perempuan-perempuan cantik.
Unsur pengembaraan ini dapat dilihat juga dalam novel Iakah Salmah? Dengan apa yang terjadi kepada watak Bakar. Dia dituduh melakukan perbuatan sumbang yang memmalukan keluarga. Kerana malu, dia membawa diri mengembara dan bertindak menukar nama kepada Rakab. Manakala cerita pengembaraan yang yang berdasarkan rompakan di laut dilukiskan dalam Siapa Jahat? Dalam novel ini juga terdapat unsur penyamaran seperti dalam cerita panji. Sejani menyamar sebagai lelaki dengan nama Jani dengan tujuan untuk menuntut bela.
Seperti dalam cerita-cerita lipur lara, novel-novel Ahmad Talu juga menggunakan teknik pantun dan syair dalam melukiskan kecantikan atau perasaan asyik maksyuk seseorang. Malah surat-surat cinta juga ditulis dalam bentuk gurindam, pantun dan syair.
Watak-watak dalam novel-novelnya terdiri daripada keluarga berada seperti cerita lipur lara juga iaitu yang menjadi tonggak cerita adalah kerabat bangsawan. Watak-watak ciptaan Ahmad Talu terdiri daripad golongan menengah yang tinggal di bandar dan telah menerima pendidikan barat. Abdul Bar dalam Kawan Benar adalah anak wartawan, Yahya, watak utama Dua Belas Kali Sengsara, anak orang berada di Kuala Lumpur; Salmah dalam Iakah Salmah? puteri kemanjaan Encik Hussain, seorang saudagar terkenal di Singapura. Jaafar dalam Rahmah binti Abdullah juga anak orang kaya. Begitu juga mangsa-mangsa Sofiah dalam Perangkap Hitam terdiri daripada golongan berada dan memiliki kemewahan hidup.
Menonjolkan kehidupan kelas menengah yang sedang mengecap pembaharuan dari Barat melalui pendidikan serupalah dengan tokoh penting hikayat lipur lara yang memiliki berbagai-bagai keistimewaan seperti kekuatan mental dan fizikal. Watak-watak utamanya digambarkan gagah perkasa, cantik, baik budi dan dapat memikat hati ramai orang.
PEMIKIRAN Pemikiran dalam istilah khusus merupakan perkara yang menjadi isu atau umpama akar yang menjadi tunjangan utama dalam sesebuah karya atau lebih tepat lagi ialah gagasan persoalan-persoalan tertentu yang cuba disampaikan berdasarkan karya yang dicipta. pemikiran sering berpandukan suatu isu untuk menghasilkan sesebuah karya yang kreatif dan kemudiannya memunculkan ketajaman idea-idea yang berakhir dengan tafsiran dalam kehidupan manusia itu sendiri. Hakikat inilah yang membentuk semacam kecairan fikiran-fikiran untuk membentuk suatu luahan perasaan secara protes atau tentangan juga cabaran yang melahirkan hubungan yang erat di antara kebenaran dan imaginasi. Dengan kata lain, seseorang pengkarya itu perlu ada kemampuan yang penuh dalam, supaya dapat mengekpresikan idea-ideanya dengan cukup berkesan dalam menyampaikan objektifnya berlandaskan kehidupan manusia.
Bagi Yahaya Ismail (1967:54) menjelaskan bahawa terdapat beberapa cabang pemikiran berlandaskan nilai karya sastera. Pengkritik berpendapat bahawa kesusasteraan adalah sesuai dijadikan alat untuk mengajar dan mendidik masyarakat atau manusia agar mereka menerima nilai-nilai yang baik. Sebenarnya ukuran yang subjektif, terlalu bergantung kepada nilai-nilai sesuatu masyarakat pada sesuatu masa. Justeru itu, nilai masyarakat yang sama boleh berubah apabila masa atau zaman berubah.
Rumusan yang dapat diperolehi daripada pandangan Yahya itu ialah nilai karya sastera itu harus dilihat dari sikapnya terhadap pemikiran atau tanggapan individu bersandarkan kepada tatahukum (code) sesuatu generasi dalam sesebuah masyarakat. Manakala, Sidi Gazalba (1973:16) mendefinisikan pemikiran sebagai satu urutan yang tertib, yakni mengarah kepada satu tujuan. Sejauh yang dapat dikesani, pemikiran dalam kritikan bersifat estetik . Hubungan di antara pemikiran dengan estetik pula lebih menjurus kepada nilai-nilai yang baik.
Bagi menjelaskan lagi pengertian pemikiran berdasarkan ketauhidan ini, Shafie Abu Bakar (1997) turut memberikan pendapat bahawa pemikiran yang berasaskan sudut maknawi dapat dicari pada tema, falsafah, pemikiran dan unsur yang tersirat. Semuanya bertitik tolak daripada falsafah tauhid yang berpunca daripada sifat-sifat Allah iaitu sifat Jamal (beautiful) dan Kamal (perfection). Inilah yang dinyatakan sebagai keindahan pemikiran atau keindahan maknawi. Justeru itu, pengkaji akan menggunakan istilah maknawi dalam setiap perbincangannya nanti.
Berlandaskan estetika maknawi dari sudut falsafah pemikirannya menjelaskan bahawa Rasulullah adalah sebagai contoh yang sebaik-baiknya untuk dijadikan teladan dalam kehidupan manusia yang berpegang kepada pegangan tauhid. Melusuri Rasulullah sebagai 'Role Model', kita juga banyak dipengaruhi oleh akhlak mulia yang dipertunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu dengan kata lain Rasulullah sebagai model atau ikutan umat Islam Prof Dr Haron Din (1992 : 56-60). Oleh itu, segala akhlak yang terpuji Rasulullah banyak diperkatakan di dalam al-Quran, hadis-hadis dan juga hikayat-hikayat yang kesemuanya menjadi pedoman ke arah nilai-nilai yang murni dalam kehidupan sejagat.
Sesuatu karya itu juga dapat mengarah kepada berbuat baik dan meninggalkan perbuatan yang mungkar seperti yang digambarkan melalui watak Rasulullah. Dalam hal ini, boleh diambil contoh permulaan "Hikayat Nur Muhamad" adalah hikayat Melayu lama yang penting dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam. Hikayat tentang kelahiran Nabi, Nabi bercukur dan seumpamanya adalah berasal daripada pemikiran tasawuf. Hikayat ini mula disalin oleh Ahmad Shamu'Din, Aceh pada tahun 1668 Masihi atas perintah sultan Tajul alam Safitud-Din. Selain Hikayat Nur Muhammad terdapat juga "Hikayat Kejadian Nur Muhammad", "Cerita Nabi Lahir", "Hikayat Khatim al-Nabi" dan "Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah." Hikayat-hikayat ini mengenai Nabi yang terdapat dalam bahasa Parsi dan Arab yang ditulis oleh pengarang seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham dan al-Tabri.
Kesan daripada hikayat inilah diadakan sambutan pada tiap-tiap bulan Rabiuawal bagi merayakan kelahiran Baginda Rasulullah. Ia juga menyatakan bahawa hikayat ini dicipta berdasarkan sebuah hadis Qudsi. Impak daripada hikayat-hikayat ini, maka terdapatlah unsur-unsur yang mendekatkan diri pembaca kepada Rasulullah di samping menyeru supaya manusia itu tetap beriman kepada Allah.
Pengkaji mengambil manfaat berdasarkan pendapat ini, bahawa dalam setiap segi tingkah laku manusia itu turut dipengaruhi oleh kepercayaan terhadap Allah yang maha besar. Sekiranya asas ketuhanan itu tidak dititikberatkan nescaya sukarlah masyarakat itu membina kehidupan yang sempurna berdasarkan atas kepercayaan mereka. Ini dapat digambarkan melalui pengalaman di zaman jahiliyah yang paling ketara sekali kerana ketiadaan asas ketuhanan yang baik pada masa itu. Impak dari fenomena itu, masyarakat Arab di zaman jahiliyah terpesong agamanya dan amatlah sukar untuk membentuk kembali akidah yang telah terpesong itu. Oleh itu, asas ketuhanan amat penting diterapkan bukan sahaja dihidupkan dalam puisi malahan dalam semua genre sama ada cerpen, novel, drama dan penghasilan karya sastera yang lain.
Rumusannya, Pengalaman luas yang dimiliki oleh manusia digabungjalinkan dengan ajaran agama Islam. Umat Islam perlu menguasai falsafah keilmuan berlandaskan al-Quran dan Hadis. Umat Islam perlu memainkan peranan untuk membangunkan pemikiran rasional dalam menghadapi cabaran pada zaman kini. Umat islam perlu bersikap lebih kritis terhadap semua ilmu falsafah Islam yang didatangkan kepada mereka.
Begitu juga saranan yang dikemukakan oleh Prof Syed Ali Ashraf (1977) turut mengajak umat Islam menjadikan prinsip-prinsip Islam dan al-Quran serta Hadis sebagai sumber rujukan utama untuk menghasilkan karya-karya sastera yang boleh membangunkan peribadi mulia di kalangan pembaca dan penikmat karya mereka. Beliau juga turut mengakui bahawa Hamzah Fansuri merupakan Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Penciptaan genre syair yang dilakukan oleh Hamzah Fansuri dicipta selepas kedatangan Islam ke Nusantara. Syair-syair Hamzah Fansuri membicarakan persoalan ketuhanan, kewujudan Tuhan, soal-soal falsafah dan metafizik serta hubungan manusia dengan Tuhan. Hamzah Fansuri secara tidak langsung mempelopori sastera sufi atau mistik yang tinggi nilainya sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang ulama dan pengarang Acheh yang ulung pada zamannya.
Karya Hamzah Fansuri yang membicarakan falsafah Islam dan aspek kerohanian yang mendalam dan berkualiti turut menjadi tunjang sastera Islam seterusnya. Pengaruh yang kuat syair-syair keagamaan dan bercorak mistik ini turut mengutarakan ilmu tasawuf yang akhirnya mencetuskan pembicaraan terhadap hubungan insan dengan penciptanya dan manusia seluruhnya. Justeru itu, fahaman Wujudiah yang berkembang dalam tradisi kesusasteraan Islam di Nusantara menerusi syair-syair sufi ciptaan Hamzah Fansuri ini mencetuskan aliran baru dalam dunia sastera dan kehidupan beragama di Nusantara. Penghasilan puisi-puisi seperti "Syair Perahu", "Syair Dagang", "Syair Sidang Fakir", "Rubai Hamzah Fansuri" dan "Syair Burung Pingai" merupakan pencetus kepada kelahiran lebih banyak lagi puisi sama ada dalam bentuk syair atau persajakan. Karya-karya tersebut membicarakan persoalan ketauhidan dan keagamaan khususnya bidang tasawuf, mantik, ilmu fiqah dan seterusnya memancarkan fahaman Wahdatul Wujud yang diyakininya.
Pelbagai persoalan yang merangkumi hubungan manusia dengan Pencipta-Nya (al-Khaliq) dan kupasan tentang pengertian hidup yang nasib ini dibicarakan dengan semangat intelektualisme dan rasionalisme Islam yang tulen. Oleh itu, karya-karya berunsur Islam dan kerohanian tulen yang tinggi nilai sastera dan seninya itu diungkapkan hasil pembersihan jiwa (tazkiyah al-Nafs), mujahadah dan analisis diri (muhasabah) yang dilalui Hamzah Fansuri bertahun-tahun lamanya dengan mengembara, berfikir kritis dan memperdalamkan ilmunya dengan kehidupan berlandaskan al-Quran dan Hadis.
Hal yang sama turut diperkatakan oleh A Hasjmy (1969 : 47-69) iaitu sastera sufi yang amat indah dengan ciri khasnya yang melambangkan kekudusan hati, kedalaman erti, keakraban, dengan Maha Pencipta, tunduk tanpa syarat kepada iradat Ilahi. A Hasjmy turut menyentuh tentang hadis Rasulullah s.a.w yang terjemahannya menerangkan bahawa orang yang membelanya dengan ketajaman lidahnya, iaitu sasterawan mukmim yang paling terkenal di zamannya seperti Hassan bin Sabit, Ka'ab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan sebagainya. Rasulullah berpendapat bahawa hasil-hasil karya sastera mereka sangat tajam tikamannya terhadap musuh-musuh Islam seperti ternyata dari sebuah hadisnya, yang terjemahannya:
…Ucapan para sasterawan itu,
Lebih dalam tikamannya
Ke dada kaum Quraisy
Daripada mata lembing
Rasulullah juga turut gemar sekali mendengar sajak-sajak karya Umaiyah bin Shal, kerana kandungannya mengingatkan orang kepada Allah dan peristiwa hari berbangkit. Para sasterawan muslim banyak menjadi sahabat Rasulullah dan Rasulullah turut mendorong mereka agar menciptakan sajak-sajak jihad yang dapat membangkitkan semangat juang seperti "Jarjin Zaidan" dan "Tariikh Adab Al Lughah Al Arabiyah (juz 1)". Hadis-hadis Nabi yang terkutip di atas menegaskan bahawa dalam seni bahasa ciptaan sasterawan muslim terkandung mutiara-mutiara hikmat yang bernilai. Karya-karya sasterawan muslim, asal tidak bertentangan dengan garis-garis yang telah ditetapkan Allah. Justeru itu, para sasterawan sebagai khalifah Allah diharuskan membentuk organisasi dalam lingkungannya, agar gerak langkah mereka dalam melaksanakan amanah Allah berhasil baik kerana ada dukungan sebuah badan yang merupakan kekuatan. Karya sastera khususnya puisi dapat menggambarkan keadaan masyarakat, bahkan yang terutama sekali melukiskan jiwa dan peribadi sasterawan pencipta karya itu sendiri.
PEMIKIRAN AHMAD RASHID TALU
Melalui novel-novel yang dihasilkannya pada sekitar tahun-tahun 1920-an dan 1930-an beberapa pengalaman, sikap dan pemikiran Ahmad Talu dapat ditemui. Enam buah novelnya iaitu Kawan Benar, Iakah Salmah?, Siapa Jahat?, Dua Belas Kali Sengsara, Perangkap Hitam dan Rahmah binti Abdullah, sedikit sebanyak berasaskan kisah dan pengalaman hidup pengarangnya sendiri.
Dirinya yang kematian ibu dan dijaga pula oleh ibu tiri semasa kecil menjadikan Ahmad Talu seorang yang sensitif dan perajuk. Perasaan ini mendorong dia mengambil keputusan untuk lari dari rumah, meninggalkan bapa dan adik-adik. Tindakan ibu tiri sering menggelisahkan dirinya yang masih belajar dalam darjah tiga sekolah Melayu. Rasa tidak puas hati dengan suasana di rumah dan kehadiran ibu tiri dalam hidupnya dijalin semula dengan sedikit perubahan dalam novel Dua Belas Kali Sengsara. Dia membawa diri merantau ke beberapa buah tempat serta terpaksa mengalami ranjau hidup yang payah. Berbagai-bagai pekerjaan dilakukan dan kesusahan yang ditanggung semasa di rantauan cuba digambarkan juga pada Daeng Ketuloh(watak dalam Siapa Jahat?) yang meninggalkan kampung halaman kerana patah hati dengan tindakan orang kampung halaman kerana patah hati dengan tindakan orang kampung yang membunuh bapa mentuanya yang tidak berdosa. Begitu juga dengan Abu Bakar(watak dalam Iakah
Salmah?) yang membawa diri ke Singapura kerana dituduh telah mencemarkan nama baik keluarga tanpa berusaha membela diri.
Ahmad Talu berbangga dengan asal keturunan bapanya. Kebanggaan itu amat jelas dengan penggunaan nama samarannya iaitu dengan perkataan "Talu" diletakkan di hujung namanya. Begitu juga watak-watak dalam kebanyakan novelnya digambarkan sebagai berasal dari Indonesia. Bukan sahaja asal keturunan sesuatu watak, malah kehidupan dan kemajuan masyarakat Sumatera selalu dijadikan contoh bagi mencapai kemajuan, terutama dari segi pergaulan muda-mudinya. Ahmad Talu memuji-muji pergaulan tersebut sebagaimana yang ditulisnya dalam Kawan Benar (Ahmad Talu, 1975:31) melalui perbualan Puteh dengan Ramlah.
Karya-karya Ahmad Rashid Talu didapati sungguh menarik dengan daya kreatifnya yang begitu besar dibandingkan penulis-penulis sezamannya. Pemikiran moden ini terpancar dalam keragaman pokok persoalan yang dibincangkan seperti masalah rumah tangga kerana kecurangan suami dan persoalan emansipasi wanita dalam menuntut kemajuan. Juga cerita seorang pelacur yang berjaya mempersona dan meruntuhkan kehidupan beberapa lelaki di bandar Pulau Pinang.
Didapati juga Ahmad Talu adalah penulis yang amat mengambil berat tentang aspek keagamaan. Sikapnya terhadap agama amat jelas. Dia kuat berpegang teguh kepada agama yang dianggap sebagai penyelesai pergolakan hidup dan pelerai masalah keduniaan. Hal ini bertepatan dengan ajaran Islam iaitu agama sebagai cahaya penyelesai masalah yang sahih di muka bumi ini. Ahmad Talu mendedahkan pelbagai masalah masyarakat Melayu seperti soal akhlak, pergaulan dan pengaruh kemodenan yang dipandang dari sudut keagamaan.
Bagi Ahmad Talu, setiap orang Melayu mestilah beriman dan berpegang teguh kepada ajaran Allah serta meninggalkan laranganNya. Akhlak yang mulia hanya dapat dibentuk dengan panduan agama. Sebab itulah dalam novel-novelnya hal ini begitu ditekankan. Watak-watak ciptaannya sentiasa patuh mengerjakan sembahyang. Lihat sahaja Yahya dalam Dua Belas Kali Sengsara, walau bagaimana menderita namun tidak pernah meninggalkan sembahyang lima waktu.
Pengkaji berpendapat bahawa asas ketuhanan penting dalam penghasilan sesebuah karya. Melaluinya sastera dilihat sebagai bukan satu aspek yang terasing dari Islam dan dianggap sebagai mencerminkan kesyumulan Islam. Dalam kata lain, sebagai alat dalam menyampaikan pendidikan yang penting dalam membina rasa keinsanan dan keislaman dan mendekatkan diri kepada Allah.
Islam sebagai agama Allah yang sebenar yang diredaiNya telah mengaturkan berbagai-bagai sistem. Antaranya sistem ibadat yang memperlihatkan keutuhan perhubungan antara hamba dengan Allah, antara hamba dengan hamba, masyarakat dengan masyarakat, negara dengan negara dan sebagainya. Dalam konteks ibadat yang berbentuk khusus, Islam telah menentukan jenis-jenisnya dan menetapkan cara-cara pelaksanaannya yang tersendiri dan tersusun rapi demi menuju pencapaian matlamat kesempurnaan dalam beragama, merangkumi keduniaan dan keakhiratan.
Segala yang disebut sebagai menggambarkan kesempurnaan Islam itu sebagai 'Al-Din' yang juga disebut sebagai 'Way of life' atau cara hidup yang sempurna. Oleh itu, dalam mencari keabadian cinta sejati, manusia itu perlu mendambakan seluruh kasihnya dengan cara menceburkan diri ke jalan kerohanian agar dapat memurnikan dan mengindahkan jiwa untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Bagi mereka yang mengamalkan tasawuf menggangap bahawa mereka yang taat kepada agama sahajalah yang sebenarnya dapat dianggap menempa kejayaan hidup dalam dunia ini. Mereka yang tidak berusaha ke arah itu tidak dapat dianggap sebagai mencapai kejayaan yang sejati.
Beliau juga berusaha menyelitkan beberapa hal seperti keruntuhan moral, hasad dengki dan cemburu yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu dalam setiap karyanya. Sebagai karya yang pada asasnya berlainan dengan hikayat atau lipur lara, kita temui beberapa pembaharuan dalam karya-karya beliau. Didapati beliau adalah penulis mengambil berat tentang aspek keagamaan. Sikapnya terhadap agama amat jelas. Beliau kuat berpegang teguh kepada agama yang dianggap sebagai penyelesai pergolakan hidup dan pelerai masalah keduniaan. Beliau mendedahkan pelbagai masalah masyarakat Melayu seperti soal akhlak, pergaulan dan pengaruh kemodenan yang dipandang dari sudut keagamaan.
Jelas di sini dalam hal jodoh pertemuan, sikap Ahmad Talu terlampau maju ke hadapan. Bukan sahaja dia menyokong konsep cinta dahulu sebelum kahwin dan jodoh pertemuan ditentukan sendiri oleh diri yang berkenaan malah dia menyokong serta merestui sistem poligami. Dia sendiri misalnya telah mengalami tiga kali perkahwinan. Dalam Dua Belas Kali Sengsara, Yahya dikatakan suami yang bahagia memiliki tiga isteri. Pada akhir cerita, Yahya digambarkan hidup penuh keriangan dengan isteri-isterinya. Para pembaca mahu diyakinkan bahawa hidup bermadu bukanlah hidup yang penuh ranjau dan pahit. Sebaliknya, jika pandai mengendalikannya, tidak menimbulkan sebarang masalah. Beristeri lebih daripada satu memang dibenarkan oleh agama Islam dan Ahmad Talu berharap pembaca tidak menolaknya secara melulu.
Di samping itu, dia juga berkeyakinan bahawa cinta tulen dan setia diiringi dengan pengorbanan. Tidak kira dalam apa bentuk sekalipun, baik harta mahupun nyawa. See Ho dan Kamariah dalam Dua Belas Kali Sengsara sanggup berkorban demi cinta mereka terhadap Yahya. See Ho sanggup meninggalkan suami dan agama manakala Kamariah rela berhabis harta dan wang ringgit. Bakar dalam Iakah Salmah? sanggup meninggalkan keluarga mengembara kerana tidak sanggup menentang wajah tunangnya, Nahariah, kerana dia dituduh berlaku curang. Sofiah dalam Perangkap Hitam rela menyerahkan wang dan barang kemasnya kepada Said, kekasih yang dikatakan sedang mengalami kesusahan dan memerlukan bantuan. Akhirnya dia sendiri menderita.
Ahmad Talu terus-menerus mengkritik beberapa anggapan lapuk yang dimiliki oleh masyarakat Melayu. Anggapan yang paling tidak disetujui ialah sikap jahil orang-orang Melayu dalam menghantar anak-anak mereka belajar ke sekolah Inggeris. Dengan kepercayaan yang membuta tuli ini menyebabkan bilangan anak-anak Melayu ketika itu yang belajar ke sekolah Inggeris amat sedikit. Ibu bapa takut jiwa anak-anak mereka diracun oleh agama Kristian. Malah ada momokan yang mengatakan bahawa "belajar di sekolah Inggeris akan jadi kafir".
Persoalan semasa yang sedang berlaku ketika itu digarap semula dalam karya-karyanya. Isu utama yang sedang hangat diperkatakan pada sekitar tahun-tahun tersebut ialah tentang pendidikan Inggeris dan kedudukan kaum wanita di tengah-tengah masyarakat. Ketika itu timbul anggapan di kalangan orang-orang Melayu bahawa seandainya anak-anak dihantar ke sekolah Inggeris, anak tersebut akan menganut agama Kristian dan mati dalam keadaan kafir. Ahmad Talu berusaha keras menyedarkan masyarakat Melayu tentang perlunya pendidikan Inggeris.
Untuk itu dalam setiap novelnya dijelaskan bahawa orang yang berjaya, hidup mewah, berfikiran maju dan sentiasa dihormati adalah terdiri daripada mereka yang telah mendapat pendidikan Inggeris. Perlunya pendidikan itu adalah sebagai langkah awal mencapai kemajuan. Oleh itu watak-wataknya terutama golongan muda digambarkan telah mendapat pendidikan Inggeris dan berfikiran maju.
Mengikut budaya Melayu Nusantara, teguran yang dibuat terhadap seseorang Melayu yang lain boleh dilakukan secara terus-terang atau melalui cara sindiran. Za'ba (1965) mengatakan teguran dengan menempelak dikategorikan sebagai teguran secara langsung manakala teguran cara menyindir adalah teguran secara tidak langsung. Menurut Za'ba lagi, menempelak bermaksud mengatakan sesuatu kepada seseorang secara tepat dan lansung tanpa berselindung. Manakala menyindir adalah perkataan yang ditujukan kepada seseorang dengan tidak disebutkan secara tepat. Jadi menyindir hanya disigungkan secara dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain dan tidak sebut secara berterus-terang.
Justeru, Ahmad Talu lebih gemar menggunakan novel untuk melahirkan perasaannya. Novel pada zaman sebelum merdeka umumnya membawa fikiran dan perasaan yang sederhana dalam susunan bahasa yang sederhana pula.
Novel yang dihasilkan oleh Ahmad Talu bertindak sebagai suatu pernyataan dari kesedaran beliau tentang pendidikan. Fahaman lapuk ini juga menjadikan kaum wanita sentiasa dipinggirkan, tidak diberi kebebasan apatah lagi keluar rumah walaupun untuk menuntut ilmu. Anak-anak perempuan yang telah tamat sekolah Melayu akan dicarikan jodoh segera dan dipaksa berumah tangga. Kaum lelakinya pula dihantar ke sekolah pondok, mempelajari hukum agama dan peringkat tertinggi dihantar belajar ke Mesir. Keadaan ini membimbangkan golongan yang inginkan pembaharuan dan kemajuan yang dipelopori oleh Syed Sheikh Al-Hadi.
W.E. Maxwell dalam Penyata Tahunan Negeri Selangor(1889), menyatakan kemudahan-kemudahan yang sederhana bagi pelajaran untuk anak-anak negeri ini, tetapi ibubapa masih tidak mengendahkannya. Beliau berpandangan penduduk Melayu kurang kesedaran tentang pentingnya pendidikan pada waktu itu.
Malahan pula sistem yang diperkenalkan adalah suatu sistem pendidikan moden yang bercanggah serta bertentangan dengan sistem pendidikan tradisi yang ada. Oleh itu, kedatangan barat sebenarlah yang mencelik serta memartabatkan pendidikan masyarakat peribumi. Nilai atau sudut pandangan beginilah yang mahu mereka tanam atau disematkan dalam minda generasi akan datang. Dengan ini aspek penjajahan negara bangsa yang mereka lakukan nampak lebih seimbang dan berjaya dihalalkan dari segi moralnya.
R.J.Wilkinson (1957), pernah menyatakan bahawa murid-murid di pondok mula belajar perkataan-perkataan Arab dan selepas sudah menguasainya, mereka akan terus mempelajari dengan cara menghafaz huruf abjad Arab supaya menjadi sebagai panduan membaca doa dan teks Arab. Biasanya mereka belajar tiga pelajaran sehari, setiap pelaran mengambil masa satu jam. Pelajaran pertama biasanya dimulakan selepas sembahyang subuh. Kedua selepas sembahyang zuhur dan satu lagi selepas senja. Pada masa yang lain, murid-murid akan menolong gurunya menguruskan hal-hal rumah dan bekerja di kebun atau sawah. Melalui kerja-kerja itu, murid-murid secara tidak langsung belajar kemahiran-kemahiran yang dikehendaki supaya dapat menjalankan kerja dalam kehidupan seharian mereka. Sungguhpun guru tidak menerima sebarang gaji daripada pengajarannya, ibubapa murid itu biasanya membekalkan tikar dan bantal, periuk dan beras untuk gurunya.
Kenyataan yang dibuat oleh R.J.Wilkinson menggambarkan sistem pendidikan tradisional memang sudah lama wujud. Pendidikan formal pondok lebih kepada pembinaan jati diri masyarakat Melayu pada waktu itu. Cuma kemasukan Inggeris menjadi pemangkin ke arah memperkenal dan mempercepatkan pendidikan formal.
Walaupun zahirnya, kenyataan Wilkinson adalah menunjukkan aktiviti pelajaran terhad kepada membaca al-quran, menghafal abjad Arab, mengingati dan menghafaz doa serta mempelajari prinsip-prinsip asas agama Islam. Ini adalah memberi gambaran umum di negeri-negeri tanah jajahan adalah mundur dan naif daripada pendidikan dan pelajaran. Masyarakat Melayu dianggap mundur dan lemah daya fikir. Kehidupan masih terikat dalam bentuk tradisi. Ini adalah gambaran kaca mata penjajah kepada masyarakat peribumi yang mereka duduki. Semuanya adalah sebagai gambaran untuk membersihkan diri penjajah atau menghalalkan tindakan mereka itu untuk menjajah dan merekalah yang sebenar pencetus serta memberi kesedaran dalam pendidikan negara yang mereka jajahi.
Sejarawan tempatan, Ramlah Adam menolak gagasan idea Wilkinson terhadap pendidikan masyarakat Melayu. Ramlah Adam menyatakan bahawa dalam masyarakat Melayu, sistem pendidikan juga mengalami perubahan yang nyata. Berdasarkan rekod-rekod yang ada, sama ada yang berbentuk hikayat atau rekod rasmi British, masyarakat Melayu memang mempunyai sistem pelajaran atau pendidikan yang sesuai. Mengikut rekod pendidikan di kalangan masyarakat Melayu lebih bersifat pemindahan kemahiran pertanian, perdagangan, seni mempertahankan diri dan sistem kepercayaan yang bersifat Hinduisme.
Pengalaman hidup di Pulau Pinang, sebuah negeri jajahan Inggeris yang lebih maju daripada negeri-negeri Melayu lain ketika itu selain Singapura, begitu berkesan di hatinya. Beliau bangga dengan masyarakat Pulau Pinang yang mula mendapat pendidikan Inggeris terutama dengan tertubuhnya Penang Free School. Di situ juga pesat berlangsungnya kegiatan penerbitan akhbar dan majalah seperti Saudara, Al-Ikhwan serta Semangat Islam dan begitu banyak terdapat kedai buku. Ini semua membahagiakan Ahmad Talu dan suasana ini mahu dirakamkan dalam cerita-ceritanya sebagai kenang-kenangan dan pengetahuan generasi kemudian.
Beliau juga dengan terbuka mengutuk sifat hasad dengki dan takbur yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu. Kebenciannya terhadap hal ini disuarakan dalam Iakah
Salmah?, halaman 114.
…..penyakit yang besar sekali yang selalu menjahanamkan
hamba-hamba Allah iaitu penyakit hasad dengki dan takbur.
Dan itulah penyakit yang tertanam pada hati iblis yang
menegahkan daripada mengikut perintah Allah Taala ke neraka
jahanam…
Bagi beliau, sifat ini susah mahu disingkirkan daripada hati bangsa Melayu, seakan-akan mendarah daging. Sifat-sifat ini sebenarnya penghadang kemajuan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Sebagai orang yang cintakan pembaharuan, beliau berterima kasih kepada pemerintah Inggeris yang banyak membawa perubahan dan kemajuan terhadap masyarakat Melayu. Beliau berbangga dengan keadaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu seperti yang dicatatkan dalam Iakah Salmah?,halaman 34.
Cuba bapa perhatikan kepada government kita. Tidakkah pada
tiap-tiap mereka yang akan dijadikan menjadi pegawai dan
kepercayaan diberati sumpah.
Tulisnya lagi:
Tentu tidak lain, melainkan supaya pegawai itu jangan khianat
dan supaya mereka itu berkata benar dan menimbang adil,
istimewa pada zaman kita ini, ialah zaman kemajuan. Dan
zaman yang wajib benar kita mengucapkan beribu-ribu syukur
kepada Tuhan Yang Maha Adil dan memberi beribu-ribu terima
kasih kepada Government kita kerana benar-benar nikmat Allah
atas kita yang pada masa ini tiada ada bagi seperti adat orang-orang
dahulu kala.
Bagi beliau, pemerintah Inggeris telah berjasa mencorakkan hidup dan pemikiran baru kepada masyarakat Melayu di negara ini. Beliau tidak menentang Inggeris tetapi yang ditentang ialah sikap bangsa Melayu sendiri yang iri hati, hasad dengki dan sukar mahu menerima pembaharuan. Sikap inilah sebenarnya yang menjadikan bangsa Melayu mundur dan ketinggalan. Beliau tidak suka bangsa Melayu berasa iri hati dan marah terhadap kerajaan Inggeris serta melupakan jasa yang pihak penjajah itu berikan.
Dalam novel-novelnya, Ahmad Talu menjelaskan juga rasa tidak senangnya terhadap sikap sesetengah golongan muda Melayu yang leka diayun pemodenan. Anak-anak muda yang baru mengecap kemewahan kemewahan serta perubahan hidup ini meniru habis-habisan tabiat dan corak hidup masyarakat Barat. Mereka bergaul bebas tanpa batas, mereka makan minum cara Barat malah menikmati hiburan Barat. Mereka berkumpul di kelab-kelab yang pada mulanya sebagai tempat bertemu dan bertukar-tukar fikiran tetapi lama-kelamaan, kelab ini menjadi tempat mereka melakukan maksiat pula. Pergaulan lelaki dan perempuan begitu intim, tiada batasan. Mereka berbuat sesuka hati, memuaskan nafsu masing-masing.
Salah satu tempat yang dikaitkan dengan anasir-anasir maksiat ini ialah Jongkina Mess. Dia juga menyelar pemuda-pemuda Melayu yang mempunyai pendidikan Inggeris dan menjawat jawatan tinggi, bergaji besar tetapi sentiasa alpa dengan godaan kupu-kupu malam dan bersedia melakukan zina dengan pelacur-pelacur. Kegiatan pelacur dan pemuda Melayu yang alpa ini dipaparkan pada novelnya Perangkap Hitam dan sedikit dalam Kawan Benar. Secara tidak langsung, Ahmad Talu menyatakan juga beberapa keburukan yang akan timbul di samping pemodenan yang menjadi cita-cita bangsa Melayu. Kesan sampingan ini pasti akan menimbulkan masalah jika tidak disedari dan dibendung dari awal terutama oleh golongan muda sendiri.
Penulis amat bersetuju dengan pendapat Rahimah Abdul Aziz yang mengatakan proses pembaratan diperkenalkan dalam berbagai-bagai institusi seperti tanah, gunatenaga, pendidikan dan pentadbiran. Pengaliran demikian adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan penjajah barat. Proses ini telah dipindahkan secara paksa oleh barat ke atas penduduk tempatan dalam usaha mengubah kehidupan sosial penduduk tersebut supaya mencontohi mereka.
Beliau adalah adalah salah seorang pengikut fahaman moden. Marahnya dengan anggapan bahawa wanita hanya layak di dapur sahaja, habis-habisan pemikiran moden beliau disalurkan melalui watak Salmah. Segala pendapat, pandangan, kecaman dan kutukannya terhadap golongan berfahaman lama banyak diutarakan dalam novel Iakah Salmah? Kedudukan wanita diangkat sedemikian rupa. Beliau berpendapat, kaum wanita berhak mengecap kemajuan dan pembaharuan seperti kaum lelaki juga.
Ketokohan dan keperibadian wanita tulen yang cuba ditonjolkan oleh Ahmad Talu ialah Salmah. Wanita ini meliputi kesempurnaan wanita moden idamannya. Salmah petah berhujah, bercita-cita tinggi, berani mengakkan kebenaran, mendapat pendidikan Inggeris, cantik dan beradab sopan. Tidak lupa disisipkan di jiwa Salmah yang tabah dan berani itu perasaan seni yang memang dimiliki oleh semua wanita normal iaitu perasaan cinta, mahu dikasihi dan mengasihi.
Tentang cara berpakaian pula, beliau beranggapan wanita yang memakai gaun atau berceongsam melambangkan wanita moden. Menurutnya, budi pekerti seseorang terutamanya wanita tidak boleh diukur dengan hanya melihat pakaiannya sahaja. Contohnya Salmah, walaupun bergaun, bertopi dan berceongsam, pekertinya mulia dan bersopan terhadap orang tua.
Dia juga tidak bersetuju dengan kain kelubung menjadi pakaian harian wanita-wanita Melayu ketika itu. Tidak setujunya itu digambarkan melalui tindakan Salmah yang berjaya membebaskan Nahariah daripada berpakaian begitu. Alasan Ahmad Talu mudah sahaja, bahawa dengan berkain kelubung boleh mengganggu kesihatan(Iakah
Salmah?, 1975:136)
Dia tidak mahu bangsa Melayu terus-menerus leka dan malas, enak dengan berpeluk tubuh menanti rezeki datang ke riba. Bangsa Melayu harus mencelikkan mata melihat pembaharuan dan kemajuan yang telah lebih dahulu dikecap oleh bangsa-bangsa lain di rantau ini. Bangun dan berusaha bersungguh-sungguh serta bermuafakat untuk mengejar kemajuan. Di samping itu, perasaan hasad dengki sesama sendiri perlu dihindarkan. Golongan tua dan golongan muda pula perlu bersatu, faham-memahami antara satu sama lain . Salah satu punca yang melambatkan pembaharuan di kalangan bangsa Melayu ialah permusuhan antara kedua-dua golongan ini.
Orang Melayu yang mempunyai kesedaran ialah mereka yang terdedah dengan pengaruh luar, khususnya dengan idea kemajuan yang yang sedang berkembang di Timur Tengah. Melalui pendedahan inilah, gerakan pembaharuan mengorak langkah cuba membangunkan masyarakat yang sedang tidur dengan merubah cara mereka berfikir dan seterusnya mempengaruhi cara mereka bertindak. Kumpulan ini yang dikelompokkan sebagai Kaum Muda mendukung idea kemajuan dengan menggunakan dua pendekatan yang berkesan, iaitu melalui pendidikan dan media percetakan bagi menyebarluaskan pemikiran yang mereka perjuangkan.
Dalam usaha menyebarkan idea kemajuan kepada masyarakat Melayu, golongan pembaharuan kadangkala begitu ghairah dengan idea tersebut sehingga terkadang-kadang terdorong menyokong pendekatan yang bercanggah dengan amalan Islam. Walaupun terdapat percanggahan dalam perjuangannya, dalam menilai pendekatan yang digunakan oleh Kaum Muda, satu analisis yang adil dan terbuka haruslah dibuat. Kaum Muda mempunyai cita-cita murni bagi menyedarkan bangsa Melayu mempunyai daya saing, menghayati Islam yang bebas daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan mewujudkan bangsa Melayu yang berfikiran terbuka dengan menjadikan mereka yang lebih maju sebagai model.
Usaha-usaha yang dilakukan oleh mereka yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah ini telah mencetuskan kesedaran bangsa Melayu yang bukan kecil sumbangannya dalam sejarah perkembangan bangsa Melayu. Penyebaran idea pembaharuan telah meninggalkan kesan kepada masyarakat Melayu. Namun begitu, kesinambungannya adalah tidak terancang dan lebih berkisar kepada idea serta perjuangan yang berpaksikan kepada individu. Ketiadaan organisasi yang membantu menggerakkan perkembangan idea dan perjuangan kebangsaan ini menyebabkan gerakan tersebut tidak berjaya menjadi gerakan berpengaruh.
Walau bagaimanapun, dalam sejarah perkembangan gerakan pembinaan bangsa Melayu, usaha yang dipelopori dan sumbangan golongan yang memperjuangkan idea kemajuan ini amat bermakna. Mereka merupakan pelopor yang telah menyemaikan idea kemajuan yang menyeru masyarakat Melayu supaya melakukan pembaharuan bagi membolehkan mereka menjadi bangsa-bangsa yang maju seperti bangsa lain.
KESIMPULAN
Daripada segala pendapat dan pandangan yang terpancar melalui karya-karyanya, jelaslah beliau sebenarnya seorang yang bersikap nasionalis. Beliau sebenarnya mahu menyedarkan bangsa Melayu agar mara ke hadapan merebut kemajuan. Beliau melihat keruntuhan perpaduan Melayu disebabkan sengketa fahaman, lama lawan baru.
Kemunduran orang-orang Melayu jelas berpunca daripada ketandusan ilmu pengetahuan dan adanya perasaan hasad dengki serta iri hati sesama sendiri. Baginya, bangsa Melayu dapat setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini, seandainya sikap dan kepercayaan lapuk dikikis. Daripada pandangan dan pendapat yang terpancar melalui karya-karyanya, jelaslah bahawa Ahmad Talu sebenarnya seorang yang bersikap nasionalis. Dia sebenarnya mahu menyedarkan umat Melayu agar mara ke hadapan merebut kemajuan. Dia melihat keruntuhan perpaduan Melayu disebabkan sengketa fahaman- lama lawan baru. Kemunduran orang-orang Melayu jelas berpunca daripada ketandusan ilmu pengetahuan dan perasaan hasad dengki sesama sendiri. Baginya, bangsa Melayu dapat standing dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini, seandainya sikap dan kepercayaan lapuk dikikis. Sedarlah akan kelemahan diri serta rela menerima teguran yang mendatangkan kebaikan. Dalam pada itu, sebagai penganut Islam, agama mestilah dijunjung dalam apa keadaan dan suasana sekalipun. Pembaharuan yang dikejar tidak bererti sekiranya ajaran dan suruhan Allah diketepikan.
Demikianlah beberapa pemikiran Ahmad Rashid Talu yang tercerna dalam karya-karya ciptaannya. Beliau menggunakan arena penulisan novel sebagai medan berpropaganda dan berkhutbah. Novel menjadi wadah menyalurkan pemikiran beliau terhadap suasana dan keadaan kehidupan masyarakat Melayu dalam era tersebut.
RUJUKAN
A.Hasjmy. Sastera dan Agama. Banda Atjeh: Badan Harta Agama Daerah Istimewa Atjeh, 1980.
Ahmad bin Hj Muhammad Rashid Talu, Iakah Salmah?, Diterbitkan semula 1975, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Ahmad bin Hj Muhammad Rashid Talu, Perangkap Hitam, Diterbitkan semula 1987. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hussein. Sastera dan Masyarakat. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Zakry Abadi, 1974.
Mok Soon Sang & Lee Shok Mee, Pendidikan di Malaysia, Petaling Jaya: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd., 1988.
R.J.Wilkinson, "A Malay Custom and Belief", JMBRAS, Vol.30, bah.4, 1957.
Rahimah Abdul Aziz, Pembaratan Pemerintah Johor (1800-1945): Suatu Analisis Sosiologi Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.
Ramlah Adam, Maktab Melayu Melaka 1900-1922, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
Sarah Sadon,1996. Pengalaman, Sikap dan Pemikiran Ahmad Rashid Talu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shafie Abu Bakar. "Aliran-Aliran Mutakhir (1970-an) Dalam Kesusasteraan Bahasa Malaysia: Satu Penilaian Falsafah". Kertas Kerja. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia,1979.
Shafie Abu Bakar. "Antara Sastera dan Tasawuf" dalam Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin. Kuala Lumpur: Diselenggarakan oleh Abdul Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1994B.
Shafie Abu Bakar. " Kau dan Aku : Satu Analisis Takmilah " Dewan Sastera, Januari 1995.
Shafie Abu Bakar. "Estetika dan Takmilah". Kertas Kerja Seminar Seni dan Sastera. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1997.
Shafie Abu Bakar. "Sastera Islam: Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid dalam Penelitian Sastera: Metodologi dan Penerapan Teori. Diselenggarakan oleh S.Jaafar Husin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995A.
Shafie Abu Bakar. "Takmilah: Teori Sastera Islam" dalam Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti. Diselenggarakan oleh S.Jaafar Husin. Kuala Lumpur, 1995B.
Shellabear, W.G. Kitab Kiliran Budi. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1965.
Shiply, Joseph T. ed., Dictionary of World Literature. Littlefield: Adam & Co,1960.
Sidi Ghazalba. Pandangan Islam Tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1970.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM, 1978.
Yahya Ismail. Bimbingan Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Sdn. Bhd., 1975.
Yahya Ismail. Bimbingan Sastera Melayu Moden. Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1967
Yahaya Ismail, 1970. Satu Kajian Mengenai Karya-Karya Ahmad Rashid Talu, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.