Rabu, 18 Ogos 2010

Latar Belakang Budaya dalam Organisasi Masyarakat Melayu


Oleh
MD RASUL BIN HARON
Budaya merujuk kepada falsafah yang berkaitan dengan perilaku, tindakan dan pembawaan yang secocok dengan adat resam dan kebiasaan manusia. Ia juga berkait rapat dengan aspek-aspek norma dari moral tertentu yang disepakati dan diterima bersama oleh sesuatu masyarakat. Dengan itu budaya boleh dikaitkan dengan ciri-ciri sifat, sikap dan kebiasaan individu, masyarakat atau bangsa. Dan budaya inilah yang menentukan kedudukan mereka sama ada berjaya, cemerlang, gagal atau mundur.
    Salah satu daripada elemen budaya ialah kerjasama dan permuafakatan. Semangat kekitaan da rasa kekitaan dan rasa setiakawan ialah antara aspek yang sangat rapat dengan cara hidup masyarakat dan budaya orang timur. Dalam konteks masyarakat Melayu misalnya, secara tradisinya sememangnya kuat berpegang kepada amalan gotong royong, tolong-menolong, berkerjasama dan bermuafakat dalam menyempurnakan keperluan hidup. Misalnya mereka bekerjasama untuk membina rumah, membersihkan perkuburan, melangsungkan kenduri-kendara, menyempurnakan jenazah dan sebagainya. Menerusi hubungan baik dan harmoni, permuafakatan mudah diperolehi untuk melaksanakan amalan kebajikan dan mencegah kebatilan. Oleh itu sentimen kepunyaan, obligasi sosial dan kesetiaan komuniti adalah amalan yang menjadi darah daging masyarakat Melayu tradisi.
    Hari ini, dampak modenisasi dan globalisasi telah menjalar ke serata pelusuk desa sehingga menjejaskan amalan dan budaya masyarakat tani. Oleh itu nilai-nilai kolektiviti dan pemuafakatan semakin luntur digantikan dengan budaya material dan konsumerisme. Meskipun demikian, kajian-kajian kemasyarakatan yamg dilakukan mendapati bahawa masyarakat Melayu sama ada di desa mahupun di Bandar, tidak mudah untuk meninggalkan sepenuhnya amalan tradisi seperti kerjasama dan tolong-menolong dalam kehidupan seharian.
PerbincanganLabov Bailey, Wolfran, Cedergren dan Sankoffs, merupakan antara beberapa sarjana bahasa yang mengkaji perkaitan antara masyarakat dan bahasa. Minat mereka ialah untuk mendapatkan makumat tentang masyarakat dengan mengkaji bahasa masyarakat tersebut. Mereka menggunakan pendekatan sosiologi dan statistik. Di dalam masyarakat Melayu wujud pepatah seperti 'bahasa menunjukkan bangsa'. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu dapat memaparkan maklumat jati diri mengenai bahasa Melayu. Sebagai contoh bahasa istana memberi sedikit gambaran tentang bahasa sapaan di istana. Kata-kata seperti "Ampun Tuanku", "patik", Junjung Kasih" dan sebgainya, digunakan pada zaman dahulu sehingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa bahasa ini kekal dan digunakan di dalam upacara adat istiadat istana. Bahasa halus (eufimia) yang digunakan ini memaparkan kesopanan, kesantunan dean ketertiban jati diri bangsa Melayu terutama dalam di dalam upacara yang peuh dengan adat dan istiadat itu. Bahasa sapaan yang betul, tepat dan bersesuaian digunakan pada ketua negeri, orang besar-besar, pemimpin-pemimpin negeri dan orang kenamaan negara menunjukkan ketertiban susunan protokol jati diri masyarakat Melayu sejak zaman dahulu sehingga sekarang.
Setakat ini, sistem rasa orang-orang Melayu berkomunikasi merupakan fenomena yang menarik untuk dikaji dari berbagai perspektif. Ia lebih menjurus kepada sikap orang-orang Melayu yang mementingkan perasaan dalam berbahasa. Kesantunan berbahasa yang merupakan salah satu aspek komponen sosiolinguistik dan sosiobudaya dalam pendidikan bahasa. Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa. Kesantunan bahasa sering kali dapat dilihat dalam interaksi antara individu yang berkomunikasi. Namun pada masa kini, kesantunan bahasa semakin kurang dipraktikkan ketika berkomunikasi. Masihkah kesantunan bahasa itu dipraktikkan ketika berkomunikasi pada zaman globalisasi ini? Apa yang dapat kita sendiri lihat adalah semakin banyak penggunaan kata-kata yang kurang sopan, yakni penggunaan bahasa yang tidak berbahasa ketika berkomunikasi, serta tidak lagi menggunakan sapaan yang bersesuaian ketika berkomunikasi.

Pendapat Geertz yang mengatakan hirarki atau susun lapis masyarakat mewujudkan variasi bahasa. Sarjana tempatan, Mohd Amin Arshad menyokong pendapat tersebut dengan mengatakan bahawa bahasa Jawa, Bali, Sunda, variasi bahasa mengikut tingkat kebangsawanan tetapi ini tidak berlaku dalam bahasa Indonesia. Hal yang sama juga wujud dalam bahasa Melayu iaitu bahasa istana. Selain itu keadaan sosio-ekonomi penutur juga boleh mewujudkan variasi bahasa. Perbezaan kelompok masyarakat berdasarkan tingkat kebangsawanan sebab pada zaman moden perolehan status sosial ekonomi yang tinggi tidak lagi dikaitkan dengan status kebangsawanan.

 
Asmah Hj.Omar(1991) juga menyokong pendapat Geertz mengenai variasi yang paling ketara ialah variasi berdasarkan kawasan(daerah). Amnya, variasi ini dikenali sebagai dialek atau loghat daerah. Variasi bahasa dalam variasi daerah atau variasi daerah yang kecil dalam sistem bahasa yang sama. Perbezaan boleh dilihat dari segi bunyi, penggunaan kata dan ungkapan-ungkapan tertentu. Selain itu tidak ada sempadan yang jelas antara satu dialek dengan dialek yang lain. Di semenanjung Malaysia, variasi bahasa mengikut daerah biasanya berkaitan dengan nama negeri seolah-olah sesuatu variasi bahasa mengikut kawasan itu hanya terdapat dalam sempadan kawasan tersebut.

 
Variasi yang yang berdasarkan situasi sosial akan menghasilkan dialek sosial. Ini bermakna secara ammnya, ada bahasa kasar, bahasa halus dan bahasa neutral. Semua kelainan sosial ini menunjukkan ciri-ciri penggunaan bahasa yang ditentukan oleh situasi sosial(Asmah Hj.Omar).

 
Sebagai contoh dalam bahasa Melayu ada perbezaan di antara bahasa di raja dengan bahasa biasa. Dalam bidang sosialinguistik terdapat satu konsep yang dikenali sebagai diglosia iaitu keadaan dalam sesuatu masyarakat yang memeringkatkan variasi bahasanya. Dengan itu, ada variasi tertentu yang dikatakan lebih tinggi daripada variasi yang lain. Jika terdapat diglosia dalam sesuatu masyarakat berbahasa, maka akan wujud kelainan bahasa taraf tinggi dan kelainan bahasa taraf rendah. Contoh bahasa istana adalah variasi taraf tinggi jika dibandingkan dengan bahasa lain. Ada ukuran tertentu untuk mengklasifikasikan sesuatu variasi itu bertaraf tinggi atau rendah. Ukuran-ukuran itu bergantung kepada keadaan masyarakat itu sendiri. Mengikut Abdul Chaer dan Leonie Augustine (1997), tingkatan atau dan kedua kedudukan sosial dalam masyarakat dapat dilihat dari dua segi iaitu dari segi kebangsawanan dan kedua dari segi kedudukan sosial yang ditandai dengan tahap pendidikan dan status ekonomi yang dimiliki.

Dalam konteks kebangsawanan penggunaan variasi bahasa yang jelas tergambar dalam masyarakat yang berbahasa Jawa. Kuntjaraningrat(1967), membahagikan masyarakat Jawa kepada 4 golongan:

i.    Wong cilik
ii.    Wong saudagar
iii.    Priyayi
iv.    Ndara

    Manakala Cliiford Geertz membahagikan masyarakat Jawa kepada 3 golongan:

i.      Priyayi
ii.     Bukan priyayi tetapi berpendidikan dan tinggal di Bandar
iii.    Petani dan orang yang tidak berpendidikan

Berdasarkan tatatingkat ini dalam masyarakat Jawa, terdapat pelbagai variasi bahasa yang digunakan sesuai dengan tingkat sosial. Bahasa yang digunakan oleh Wong Cilik tidak sama dengan Wong Saudagar atau berbeza dengan golongan priyayi. Variasi bahasa yang digunakan oleh orang-orang yang berbeza tahap sosialnya termasuk variasi dialek sosial lazimnya disebut sosialek. Perbezaan variasi bahasa yang wujud apabila pihak terlibat dalam pertuturan itu mempunyai tatatingkat sosial yang berbeza. Contoh: Jika golongan Wong Cilik berbicara dengan golongan priyayi atau ndara atau petani yang tidak berpindidikan dengan ndara yang berpendidikan, masing-masing menggunakan variasi bahasa Jawa yang berbeza.

Pihak yang tataingkat sosial yang lebih rendah menggunakan tingkat bahasa yang lebih tinggi iaitu krama yang tatatingkat sosial lebih tinggi. Tingkat bahasa untuk tatatingkat sosial rendah dikenali sebagai ngoko. Variasi bahasa yang penggunaan didasarkan kepada tingkat-tingkat sosial dikenali dalam bahasa Jawa sebagai undak usuk. Sehubungan dengan undak usuk ini bahasa Jawa boleh dibahagikan kepada dua:
i.    krama    - untuk tingkat tinggiii.    ngoko    - untuk tingkat rendah
Pembahagian ini diperincikan kepada:

i.     muda krama
ii.    kramantaraiii.   wreda krama madya ngokoiv.   madyantarav.    madya kramavi.   ngoko sopanvii.  ngoko andhap 
Clifford Geertz pula membahagikan kepada dua iaitu:

 i.    kramaii.    ngoko
krama
i.    krama inggil
ii.    krama biasa
iii.    krama madya

Ngoko

i.    ngoko madya
ii.   ngoko biasaiii.  ngoko sae (penggunaan agak khusus)
Komunikasi Orang-Orang Melayu
Bahasa sebenarnya wujud kerana kata, tiada kata tiadalah bahasa. Perhubungan untuk menyampaikan dan menerima gagasan antara seorang dengan seorang dan seterusnya antara seluruh anggota masyarakat dengan anggota masyarakat yang lainnya di seluruh jagat ini adalah melalui bahasa (Keris Mas, 1988:31). Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat (fakta) semata-mata, tetapi turut berperanan dalam menyampaikan perasaan prejudis penggunanya.
Dalam bahasa yang kita gunakan, kata Ludwig Wittgenstein, ahli falsafah bahasa dari Austria, tersirat suatu orientasi hidup yang bukan saja merangkumi konsep yang menjadi pegangan kita mengenai sekitar, melainkan juga perasaan, nilai, fikiran, kebudayaan, hingga tahayul. Bahasa amat penting kerana ia yang menentukan hubungan dan pergaulan dalam segala segi di masyarakat .Dengan bahasalah kita dapat menyembunyikan dan mengungkap fikiran, dengan bahasa pula kita mencipta dan mengakhiri sesuatu konflik. Kerana bahasa juga, kita menyerahkan cinta dan dengannya pula kita mengumumkan perang. Singkatnya, bahasa adalah petunjuk kehidupan dan gambaran dunia kita. Maka dengan bahasa yang kita gunakan itu boleh menggambarkan keperibadian kita, siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu hal yang baik mahupun sebaliknya.
Yang kurik itu kundi,yang merah itu saga,yang baik itu budi,yang indah itu bahasa.
Pantun di atas menggambarkan bahawa pentingnya penggunaan bahasa bagi menggambarkan budi seseorang. Penggunaan bahasa yang betul oleh si pemakainya menggambarkan si pemakai mempunyai budi pekerti yang tinggi. Kesantunan bahasa adalah alat untuk menunjukkan kehalusan budi bahasa, beradab dan bersopan. Selain itu penggunaannya adalah untuk menjaga perasaan orang lain.Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa, di mana ia merujuk kepada cara dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang itu dengan penuh sopan, tidak biadab atau kurang ajar. Kesantunan bahasa merangkumi aspek-aspek seperti pemilihan kata yang digunakan ketika bertegur sapa (bahasa sapaan), nada, gerak laku dan gaya yang digunakan ketika berkomunikasi. Kesantunan bahasa sering kali dapat dilihat dalam interaksi antara individu yang berkomunikasi. Tatabahasa atau tatacara berbahasa harus sesuai dengan norma-norma budaya sesuatu masyarakat yang menggunakan bahasa. Kesantunan bahasa sesuatu masyarakat sering kali dipengaruhi oleh norma-norma budaya masyarakat tersebut. Bahasa yang baik menunjukkan budaya yang sihat sesuatu masyarakat dan sebaliknya. Bangsa Melayu amat terkenal dengan kesantunan bahasa mereka. Bahasa Melayu sering dikaitkan dengan bahasa yang indah, sopan dan lembut yang diperlihatkan melalui pertuturan kita. Kesantunan orang-orang Melayu akan terserlah dengan penggunaan penanda-penanda sopan, iaitu beradab sebanyak mungkin kepada si pendengar. Semakin banyak penanda santun digunakan dalam sesuatu ujaran maka akan bertambahlah tingkat kesantunan si penutur. Ia sesuai dengan ciri-ciri kesopanan yang dimiliki oleh orang-orang Melayu yang dianggap pemalu, lembut dan penuh keprihatinan terhadap orang lain.
Walau bagaimanapun, kesantunan berbahasa dalam sesebuah bahasa atau masyarakat itu bersifat khusus. Apa yang dianggap sebagai sopan dalam sesuatu bahasa atau masyarakat itu mungkin dianggap sebaliknya dalam bahasa atau masyarakat lain. Ini adalah kerana bukan semua bahasa atau masyarakat memberikan penekanan yang sama kepada sesuatu aspek kelakuan itu dalam pembentukan atau menetapkan soal kesopanan.
Berdasarkan hakikat, beberapa hasil sastera tradisi Melayu mengalami kepunahan dan cenderung dilupakan masyarakat. Contoh yang paling mudah dan nyata ialah syair Melayu. Ia hampir tidak dapat bertahan sebagai sebuah hasil seni dan khazanah keilmuan Melayu akibat pergeseran nilai yang berkembang dalam masyarakat hari ini. Syair kini seolah-olah kehilangan makna, sama ada sebagai hiburan, fungsi keagamaan, pendidikan dan pengukuhan sistem kekerabatan dan sebagaimana kedudukannya dalam masyarakat tradisional. Sarjana dan pengkaji kesusasteraan tradisional, Harun Mat Piah menegaskan bahawa syair adalah salah satu daripada genre-genre puisi Melayu tradisional Nusantara yang cukup popular dan tersebar amat luas dalam kehidupan masyarakat sehari-hari. Sebuah rangkap puisi menjelmakan pemikiran, kebijaksanaan dan kematangan akal budi Melayu dalam mengamat, mendidik serta mengkritik sesuatu secara beralas dan berlapik kerana orang-orang Melayu Nusantara amat mementingkan sistem rasa dalam komunikasi.

Dalam erti kata lain, pengukuhan syair tradisional Melayu itu sejajar dengan falsafah dan keilmuan masyarakat Melayu Nusantara yang tetap berpijak pada akar budaya dan nilai-nilai luhur. Pendapat Harun turut dipersetujui oleh sarjana Indonesia, Muhammad Takari Jilin Syahrial dan Fadlin Jaafar dalam kertas kerja bersama mereka. Kedua-duanya berpendapat syair adalah salah satu hasil sastera tradisional yang juga berkembang di Sumatera Utara. Kewujudannya bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga falsafah dan keilmuan Melayu Nusantara.
Kurangnya Aspek Kesantunan Berbahasaa. Engkau, ke mari … ambil nombor ni.b. Awak duduk dulu.
Ayat di atas sebagai contoh ujaran yang diucapkan oleh individu ketika sedang berinteraksi dengan pelanggan atau tetamu yang hadir ingin meminta perkhidmatan di jabatan atau syarikat mereka.

Ayat (a) tersebut sudah dapat kita tafsirkan betapa kasarnya bahasa mereka yang mengujarkan ayat ini, begitu juga ayat (b). Cara yang lebih sopan ialah dengan mengujarkan atau mengucapkan ayat tersebut dengan:
c. Encik, silakan ambil nombor terlebih dahulu.
d. Boleh tunggu sekejap, silakan duduk.

Ayat (c) dan ayat (d) di atas lebih menunjukkan tutur kata yang mesra dan bersopan atau memetingkan perasaan orang lain. Begitu susahkah kita menggunakan sistem rasa ketika berkomunikasi. Seperti yang kita tahu dengan berkomunikasi secara lemah lembut dan ramah mesra serta penggunaan tatacara bahasa yang sesuai, maka kita tidak akan dibenci oleh mereka atau individu dengan kita berkomunikasi.

Selain contoh ayat (a) dan ayat (b) yang menggambarkan tiadanya atau kurangnya aspek kesantunan berbahasa, kita perhatikan pula ungkapan di bawah ini.
e. Pak cik Sulaiman, awak dah makan?
f. Cikgu, kamu dah lama sampai?
Apa pula permasalahan dengan kedua-dua ayat di atas? Dalam bahasa Melayu, kedua-dua ayat di atas sememangnya betul dari segi tatabahasanya. Tetapi yang salah ialah pemilihan perkataan yang tidak mengikut tatasusila masyarakat orang Melayu yang mementingkan sistem rasa. Ayat-ayat tersebut tidak mempunyai kesantunan berbahasa.Selain aspek kesalahan pemilihan kata yang bersesuaian atau pemilihan kata yang lebih bertatasusila, terdapat juga aspek lain iaitu mencarut atau menyumpah (swearing) juga turut mempunyai kesan negatif terhadap kesantunan berbahasa. Mencarut atau menyumpah ialah bentuk dan penggunaan bahasa yang dianggap kasar, keji dan lucah oleh sesebuah masyarakat. Antara kata-kata yang sering digunakan ketika mencarut atau menyumpah ialah kata-kata 'kotor' yang dikaitkan dengan seks dan najis, misalnya shit dalam masyarakat Inggeris, dan juga menggunakan kata-kata yang merujuk kepada haiwan yang disalahgunakan semasa memanggil atau merujuk kepada seseorang, misalnya babi, anjing, beruk dan sebagainya. Kurangnya aspek kesantunan berbahasa juga disebabkan oleh nada atau intonasi yang keras, kasar dan nada suara yang meninggi mungkin membangkitkan rasa kemarahan bagi yang mendengar. Begitu juga bahasa kasar dan penggunaan gaya bahasa yang kurang sesuai juga antara kurangnya aspek kesantunan berbahasa. Penggunaan bahasa yang kasar menjejaskan imej diri penutur dan boleh membangkitkan kemarahan pendengar, oleh itu hal ini hendaklah dielakkan. Begitu juga gaya bahasa yang berunsurkan bahasa ejekan, bahasa herdik atau bahasa sindiran akan membuat berbekas dalam hati penerima dan dia akan memendam dendam.
Akhir-akhir ini semakin banyak orang yang mempunyai bahasa tetapi tidak berbahasa yakni tiada kesantunan bahasa, baik orang tua, baik muda, baik orang bawahan mahupun atasan. Hal ini berlaku di tempat-tempat kerja seperti di ladang, di kilang, di firma swasta dan di pejabat-pejabat awam dan juga turut berlaku di rumah, di tempat membeli-belah dan sekolah.Masalah kurangnya aspek kesantunan berbahasa ini sering terjadi pada pihak-pihak yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan (costumer services). Tiada lagi kesantunan berbahasa ketika tetamu atau pelanggan yang hadir meminta bantuan atau minta perkhidmatan pada para anggota Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan seperti polis dan imigresen. Bahkan cara pertuturan mereka pula amat atau sedikit kasar serta tiada senyuman yang terukir di wajah mereka.

Manakala mereka yang menggunakan kata carutan atau sumpahan boleh berlaku pada dua tahap iaitu secara sedar atau sengaja semasa bercakap untuk tujuan tertentu seperti ingin menyakiti hati atau menghina atau menghina sesuatu pihak, menjadi agresif serta perlihatkan sikap tertentu terhadap pihak yang dicemuhkan itu. Tahap yang kedua ialah secara tidak sedar atau tidak sengaja yang mengakibatkan pengucapan kata 'kotor' secara spontan, di tahap ini berlaku semasa seseorang itu menghadapi tekanan emosi seperti dipermalukan secara tiba-tiba di khalayak, atau sewaktu melatah dalam kalangan masyarakat Melayu. 
Faktor-Faktor Kurangnya Mementingkan Sistem Rasa
Setelah membincangkan tentang siapa, di mana dan bila (situasinya), maka dapatlah kita mengambil sedikit kesimpulan tentang punca atau faktor-faktor penyebab kurangnya kesantunan bahasa ketika berkomunikasi. Di sini terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terhasilnya bahasa yang tiada kesantunannya, iaitu disebabkan oleh gangguan emosi, kurangnya ilmu pengetahuan tentang tatabahasa bahasa Melayu dan kebudayaan masyarakat Melayu dan juga diujarkan atau dituturkan secara disengajakan atau sekadar bergurau senda.Kurangnya aspek kesantunan berbahasa dalam suatu situasi kemungkinan disebabkan oleh gangguan emosi, mungkin sedang marah atau sedang ada masalah yang menimpa si penutur maka terkeluarlah kata-kata yang tidak sopan atau kata yang agak kasar nadanya. Hal ini boleh jadi disengajakan ketika menuturkan kata-kata demikian untuk melepaskan perasaan marah atau kekusutan fikiran, dan besar kemungkinan juga tidak disengajakan kerana sedang alpa atau lalai dibuai perasaan emosi tersebut.
Selain itu kurangnya ilmu pengetahuan tentang tatabahasa atau tatasusila bahasa Melayu dan kurang pengetahuan tentang adat budaya masyarakat orang Melayu juga boleh menjadi faktor kurangnya aspek kesantunan berbahasa. Hal ini terjadi pada mereka yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu atau mereka tidak dididik dalam masyarakat Melayu. Tetapi terdapat juga penutur adalah orang Melayu tetapi tetap juga kurang pengetahuan tentang tatabahasa bahasa Melayu misalnya mereka tidak bersekolah.Walau bagaimanapun, penilaian tentang kesantunan berbahasa sebenarnya ditentukan secara mutlak oleh pihak yang mendengar atau yang diajak bercakap. Di mana sering kali terjadi apabila pihak yang mendengar atau diajak bercakap menganggap dan menuduh pihak yang bercakap itu berlaku kurang sopan terhadapnya, misalnya si penutur sengaja menuturkan sesuatu yang menyinggung perasaan si pendengar, padahal si penutur tidak pernah berniat untuk berbuat demikian.
Saranan Bagi Cara Komunikasi Mementingkan RasaTerdapat beberapa cara menunjukkan cara kesantunan berbahasa, di antaranya ialah cara sapaan lisan atau bertulis menurut bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Terdapat juga pelbagai situasi yang berbeza yang menuntut kita, yakni penutur bahasa untuk menggunakan bahasa yang menepati situasi dan kehendak sosial. Maka kita harus menggunakan bahasa yang bersesuaian, nada atau intonasi yang tepat serta gaya bahasa yang sesuai dengan situasi dan sekeliling. Hal yang perlu juga selain kebolehan menghasilkan dan menginterpretasi ayat-ayat dalam bahasa Melayu dengan tepat (ayat yang betul dari segi nahu bahasa Melayu) ialah berkebolehan menggunakan bahasa Melayu yang sesuai (yang mematuhi adat dan resam berbahasa Melayu) mengikut pelbagai situasi sosial atau budaya yang sudah tentu harus mematuhi prinsip dan laras kesantunan berbahasa Melayu.
Oleh itu, para anggota Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan seperti polis dan imigresen akan memberikan perkhidmatan dengan penuh beradab elalui tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa ingin membantu. Senyuman yang diberikan haruslah ikhlas dan anggaplah ianya sebagai hadiah atau sedekah. Ini adalah cara tidak langsung dapat meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian Perkhidmatan Awam serta menaikkan imej perkhidmatan.Maka berucap salamlah ketika bertemu. Mulakan dengan sikap ramah dan terbuka. Rasulullah Sallalahu Wasallam bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah-lembut dalam semua perkara." Kepentingan kesantunan berbahasa bukan sahaja untuk keluarga, tetapi juga untuk guru, rakan sekerja dan para pelanggan yang memerlukan khidmat kita.
Sementara itu rangsangan dari dalam diri orang-orang Melayu boleh datang daripada hati . Hati seseorang boleh melahirkan sesuatu mesej yang menyebabkan dia berfikir mengenai perkara itu. Mesej tersebut biasanya dalam bentuk perasaan. Oleh itu ia boleh mempengaruhi fikiran individu tersebut. Di sini kita katakan bahawa dia dipengaruhi oleh 'rasa' hatinya. Bagi seseorang yang berfikiran objektif dan rasional, fikirannya mampu mengawal bisikan bisikan hatinya itu. Jadi mesej daripada hati berbentuk emotif. Jadi seseorang yang melayan kehendak hatinya akan melahirkan mesej yang emotif juga. Maka pada peringkat ini seseorang menjadi emosional.
Mengikut budaya Melayu Nusantara, teguran yang dibuat terhadap seseorang Melayu yang lain boleh dilakukan secara terus-terang atau melalui cara sindiran. Za'ba (1965) mengatakan teguran dengan menempelak dikategorikan sebagai teguran secara langsung manakala teguran cara menyindir adalah teguran secara tidak langsung. Menurut Za'ba lagi, menempelak bermaksud mengatakan sesuatu kepada seseorang secara tepat dan lansung tanpa berselindung. Manakala menyindir adalah perkataan yang ditujukan kepada seseorang dengan tidak disebutkan secara tepat. Jadi menyindir hanya disigungkan secara dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain dan tidak sebut secara berterus-terang. 
Justeru, orang-orang Melayu lebih gemar menggunakan puisi untuk melahirkan perasaannya. Puisi pada zaman tradisi umumnya membawa fikiran dan perasaan yang sederhana dalam susunan bahasa yang sederhana pula. Kesederhanaan bentuk dan isi menyebabkan ia senang diingat atau dihafaz. Itulah sebabnya pantun, gurindam dan seloka mudah dihafaz dan diulang-ulang oleh orang Melayu. Bahasanya yang cantik, tepat dan kadang-kadang lucu itu menyebabkan ia mudah lekat dalam ingatan dan terus menjadi sebutan dalam sindir-menyindir, ajuk-mengajuk dan gurau senda.

Puisi bertindak sebagai suatu pernyataan dari kesedaran masyarakat dan ia menjadi satu kuasa yang membantu menjalin masyarakat Melayu itu supaya hidup lebih rapat. Sebagai suatu alat kebudayaan, ia merapatkan lagi anggota masyarakat sehingga mereka merasa lebih hampir satu sama lain dalam kebiasaan hidup, cara berfikir dan merasa dan lain-lain. Rangkap-rangkap pantun atau gurindam dan diulang itu mengingatkan bahawa mereka diikat oleh pertalian darah dan latar belakang hidup yang sama dan ini memperkuatkan lagi ikatan di antara masyarakat Melayu Nusantara.
Pantun, gurindam dan seloka sering dilontarkan di dalam majlis keramaian antara gadis dan pemuda, lelaki dan perempuan sebagai gurau senda dan sindir-menyindir utnuk menambahkan kemeriahan suasana. Jampi dan mantera pula digunakan untuk tangkal dan doa penghalau hantu dan jin yang jahat atau untuk memuja arwah nenek moyang penjaga pantai, sawah, rumah dan bangunan supaya memberkati pekerjaan orang kampung.
Di sini saya petik beberapa pantun untuk menunjukkan gambaran latar belakang masyarakat Melayu yang sebahagian besarnya berdasarkan kerja bercucuk tanam. Sungguhpun pantun-pantun ini kebanyakannya berupa pantun-pantun asmara.
(a)
Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa kami serahkan.

(b)Sayang Sarawak sungainya sempit,Buah nanas lambung-lambungkan;Hendak dibawa perahuku sempit,Tinggal emas tinggal junjungan.
(c) 
Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman;
Hendak mati dihujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.

(d)Bunga melur kembang sekaki,Mari dibungkus dengan kertas;Di dalam telur lagi dinanti,Inikan pula sudah menetas.
(e)Tanjung Katung airnya biru,Tempat mandi si anak dara;Sedang sekampung alangkan dirindu,Inikan pula jauh di mata.    
(f)Pisang emas bawa belayar,Masak sebiji di atas peti;Hutang emas dapat dibayar,Hutang budi dibawa mati.
 
(g)Pulau Pandan jauh ke tengah,Gunung Daik bercabang tiga;Hancur badan dikandung tanah,Budi yang baik dikenang jua.
(h)Rumah kecil tiang seribu,Rumah gedang terpanggung;Dari kecil timangan ibu,Sudah besar timangan untung.
(i)Niat hati nak pancing termenung,Sudah terpancing ikan setoka;Niat hati nak peluk gunung,Sudah terpeluk biawak celaka.
(j)Jalan-jalan sepanjang jalan,Singgah-menyinggah di pagar orang;Pura-pura mencari ayam,Ekor mata di anak orang.
Pada pantun-pantun di atas terdapat sifat-sifat yang ada pada puisi rakyat; sederhana dan konkrit dengan lukisan-lukisan alam yang nyata dan membayangkan corak masyarakat kampung seperti sungai, burung merpati, bunga melur, telur, pisang emas, belayar, emas, Gunung Daik, Pulau Pandan, tanah, rumah, tiang, termenung, ikan setoka, gunung, biawak, pagar dan ayam. Kita juga belajar sedikit sebanyak cara hidup dan cara berfikir orang Melayu dalam masyarakat kampung tersebut, misalnya sebutan tentang budi (hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati dan hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua), kesabaran orang-orang Melayu (di dalam telur lagi dinanti,inikan pula sudah menetas), kesetiaan kepada janji (kalau sungguh bagai di kata, nyawa dan badan kami serahkan), falsafah orang Melayu tentang untung dan nasib (dari kecil timangan ibu, sudah besar timangan untung dan niat hati nak peluk gunung, sudah terpeluk biawak celaka) dan cara orang Melayu berkasih-kasih (pura-pura mencari ayam, ekor mata di anak orang).
KESIMPULANPandangan Geertz terhadap penggunaan bahasa Melayu Jawa berdasarkan tingkat sosial dapat diterima. Bahasa krama dan ngoko dapat dibezakan dari segi penutur. Jika penuturnya mempunyai status sosial yang lebih rendah daripada orang yang disapa menggunakan bahasa ngoko. Jelas, masyarakat Melayu yang mempunyai nilai hormat-menghormati sentiasa beradat apabila berkomunikasi dan sudah menjadi darah daging orang-orang Melayu di Nusantara.
Sebagai kesimpulan dari perbincangan di atas tadi, dalam masyarakat Melayu ada dua jenis variasi bahasa berdasarkan status penggunaannya iaitu variasi bahasa tinggi dengan varisasi bahasa rendah. Apa yang paling penting, kita harus mempertahankan penggunaan aspek kesantunan bahasa ketika kita berkomunikasi. Kesantunan berbahasa ketika kita berinteraksi akan membuat hidup kita lebih aman dan tenteram kerana tiada satu pun individu yang akan sakit hati pada kita yang mempunyai kesantunan bahasa ketika berinteraksi antara satu dengan yang lain. Oleh sebab itulah penggunaan kesantuanan bahasa itu perlu ketika berkomunikasi kerana kesantunan bahasa adalah alat untuk menunjukkan kehalusan budi bahasa, beradab dan bersopan, selain itu penggunaannya adalah untuk menjaga perasaan orang lain. Seperti yang kita tahu bahawa masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi pekerti dan kesantunan bahasa yang mulia. Oleh itu, kita harus mempertahankannya. Kalau boleh, marilah kita sama-sama menjadikan bahasa itu benar-benar jiwa bangsa.
RUJUKANAbdull Sukor Shaari, Nuraini Yusoff & Mohd Isha Awang, 2003. Bahasa Melayu Komunikasi. Pahang Darul akmur: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Ahmad Kamil Mohamed,1992. Kejayaan Berkomunikasi Dalan Era Masyarakat Informasi, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Alauddin Sidal,2003. "Manusia dan Budaya Kerja", INTURA, Kedah: Penerbitan INTAN Wilayah Utara.
Anis Sabirin, 1989. Apakah Itu Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar, 1987. Bahasa Malaysia Saintifik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah, Kertas Kerja "Melestarikan Syair Sebagai Warisan Bangsa", Seminar dan Bengkel Syair Melayu di Akademi Pengajian Melayu, 25 Okt.2007, Universiti Malaya.
Ismail Jusoh, "Bahasa dan Masyarakat", Monograf Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Serdang: Jabatan Bahasa Melayu UPM, Bil.4, Nov., 2000, hlm.52.
Jalil A. Rahman. 'Bahasa Yang Tidak Berbahasa' dlm. Pelita Bahasa, Jilid 3, Bil 8, Ogos 1991. Kuala umpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas, 1988. Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Amin Arshad, 2001. Variasi dan Laras Bahasa Melayu, Serdang: Penerbitan UPM, 2001.
Riris K Toha-Sarumpaet. Merebut Makna, Belajar Bahasa Kehidupan, diambil dari website: http://www2.kompas.com/kompascetak/0305/05/opini/292386. htm.
S. Nathesan. 'Kesopanan dan Kesusilaan Bahasa MAS'. dlm Pelita Bahasa, Jilid 5, Bil. 12, Disember 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Za'ba,1965. Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...