Selasa, 21 Disember 2010

Parlimen...jangan jadikan kedai kopi

widgets

MD RASUL BIN HARON
mrasulharon@yahoo.com

Selepas 52 tahun merdeka, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan institusi-institusi demokrasinya kekal agung. Badan perundangan yang berasaskan kepada Westminster di Britain diterima oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957 dan merupakan institusi penting bagi Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berpelembagaan sebagai pemimpin tertinggi.
Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia kekal sebagai negara demokratik sejak merdeka sedangkan banyak daripada negara telah beralih kepada pemerintahan tentera atau diktator. Walaupun prinsip demokrasi negara pernah tercabar tetapi secara keseluruhannya demokrasi serta institusi-institusinya masih berperanan penting di Malaysia.
Antara institusi yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia ialah Parlimen, yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Parlimen merupakan tempat di mana undang-undang negara dirumus, dibahas dan diluluskan demi manfaat negara dan rakyatnya. Parlimen mewakili suara rakyat, intipati penting demokrasi.
Sebagai rakyat, kita rimas menonton gelagat wakil rakyat di Parlimen. Kalau dahulu, setiap kali TV membawa lintas langsung ke Parlimen, kita begitu teruja mendengar suara hujahan wakil rakyat. Bernas dan penuh keilmuan. Kini, segelintir daripada mereka menjadikan Parlimen seperti kedai kopi di simpang jalan. Memekik.Melolong. Caci maki. Kalau beginilah budayanya, sesiapapun daripada kita boleh bersidang di Parlimen. Tidak ada pelajaran pun tidak mengapa. Yang penting wakil rakyat berbudaya kini haruslah memiliki tahap kelentong yang tinggi dan berupaya menjadi anjing yang menyalak bukit. Apabila lensa kamera dihala tepat pada mereka, mulalah menunjukkan kerendahan fungsi otak. Rakyat hanya tersenyum simpul. Apa boleh buat, kita juga yang memilih mereka ini. Ingat nak panjangkan masalah rakyat rupa-rupanya masing-masing nak tunjuk aksi hero di Parlimen. Adakah pemimpin sedemikian rupa akan terus menjadi pilihan kita di dalam PRU yang akan datang?  Fikir-fikirkanlah. Kita pilih yang bekerja bukan cakap-cakap sahaja.
Sistem masyarakat masa kini menekankan kuasa warganegara untuk meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan terhadap tindakan mereka. Idea seperti tatacara pentadbiran yang baik, akauntabiliti dan ketelusan menggambarkan pandangan ini. Rakyat berhak mengetahui dasar, program dan aktiviti kerajaan yang diadakan untuk kepentingan rakyat.  Rakyat muak melihat aksi wakil-wakil rakyat yang lebih teruk tarafnya dengan aksi peminum kopi di kedai kopi yang lebih berhemah dan bijaksana menyuarakan pendapat. Berdasarkan Perkara 21 (1) Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat; "Setiap orang berhak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil-wakil yang dipilih dengan bebas".
Rakyat tidak mahu Parlimen dijadikan kedai kopi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...