Oleh: MD RASUL BIN HARON
|
Menurut pengkaji-pengkaji sains politik, stail kepimpinan yang dianggap paling berkesan adalah gaya kepimpinan transformasi iaitu kepimpinan yang berupaya membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat.
Kita sebagai rakyat dah muak melihat segelintir pemimpin yang bertelagah demi menonjolkan diri sebagai pembela rakyat. Hentam-menghentam dalam kalangan pemimpin lebih bersifat personal bukan memperjuangkan kebajikan rakyat. Senario yang memualkan ini dapat kita saksikan di dalam media massa. Mereka tidak segan silu mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur lucah di Dewan Rakyat dan di Dewan Negeri. Adakah rakyat yang menonton gelagat pemimpin yang mereka pilih selesa dengan aksi pemimpin mereka? Bertelagah. Bertikam lidah. Beraksi bagai nak berperang.
Dalam situasi ini Rasulullah SAW adalah contoh seorang pemimpin stail transformasi yang paling berjaya di dunia. Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat Jahiliah menjadi orang yang beriman, individu yang bermusuhan menjadi bersaudara, yang kejam menjadi lembut hatinya.
Rakyat terutama yang tinggal di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan berpendapatan rendah yang lain amat mengharapkan berita gembira yang mampu mengubah nasib mereka. Kalau bertegang urat disebabkan memperjuangkan nasib rakyat tidak apa, ini tidak, pemimpin ini tidak betul; pemimpin ini penipu; pemimpin itu skandal; pemimpin itu rasuah dan macam-macam lagi versi yang keluar daripada mulut pemimpin-pemimpin.
Sekiranya kita menganggap bahawa jawatan pemimpin sebagai satu keistimewaan maka kita amat bimbang ia boleh menjejaskan tumpuan untuk memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat sedangkan ketika menjelaskan mengenai tanggungjawab pemimpin ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Setiap orang daripada kamu merupakan pemimpin dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya" (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis ini, Islam memandang bahawa seorang pemimpin itu adalah sebagai wakil atau orang upahan kepada rakyat untuk mentadbir urusan rakyat. Persoalan besar yang timbul di sini ialah apakah hak-hak rakyat terhadap pemimpinnya? Memberi nasihat kepada seseorang pemimpin merupakan hak kita sebagai rakyat. Kita berkewajipan untuk membetulkan tindakannya, menyuruhnya untuk mengerjakan kebajikan atau mencegahnya daripada melakukan sebarang kemungkaran. Rakyat berhak menegur pemimpin kerana seseorang pemimpin dalam Islam adalah manusia biasa. Dia bukan seorang yang terlalu agung atau istimewa sehingga tidak boleh ditegur.
Kepada pemimpin, hentikan peperangan mulut, utamakan rakyat yang meletakkan pemimpin pada kedudukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan