Sabtu, 12 Mac 2011

NOTA MANGSA TSUNAMI KEPADA TUAN PENGUASA BIROKRASI

Azim Salleh
SeruPuisi































(14 Zulqaedah 1425)

Tuan Penguasa Birokrasi,
Mercu Singgahsana,
Mahligai Kerajat & Kuasa,
- semoga dirahmati Allah serta dilimpahi hidayah...

Tuan,
Per: Peleraian Jambak Harapan Hati

Sukacita, kami menitip penghargaan kerana simpati tuan terhadap nasib kami. Atas nama kemanusiaan, berjejal pesta pameran budi (dengan mempamer replika cek sebesar pintu rumah); riak bangga terpancar dari gemerlap sepanduk pelbagai warna dan lambangnya.

i). Sesungguhnya kami bersyukur dengan musibah bertatah hikmah ini. Sejak lahir, kami cukup bahagia menikmati hidup seadanya. Kami sentiasa qana‘ah menerima rezeki kurniaan Allah. Biarlah kami masih mewarisi cembul kedaifan, asalkan tidak dibebani hutang yang menjerut kehidupan - (takut terhumban ke neraka). Jerih rintih si marhain telah sebati dalam diri, maka musibah tsunami kami depani dengan taqwa dan redha.

ii). Apalah lagi yang ada untuk diharap. Hanya jurai kenangan membebat luka kami sambil menangisi kemusnahan ini. Lantas, berbekalkan pancaindera, kudrat dan semangat anugerah Allah, kami mesti bangkit membina kehidupan yang lebih indah.

iii). Begitupun, kami sebenarnya dibelit keliru. Kami umpama tagan buat mengaut kesempatan dari simpati insan. Terjojol mata kami menatap angka-angka besar (sumbangan?) di layar pameran budi yang sekadar menjadi hiasan indah, melatari pelbagai agenda dan kerenah.

iv). Apalah daya kami, tuan! Kini kami terpaksa menggalas hutang untuk memulakan hidup ini - (semoga keturunan kami tidak mengutuk kerana berhutang akibat musibah tsunami). Namun berdetak jua kata hati; daripada sejumlah angka-angka besar (derma?) itu, apakah sebenarnya yang layak bagi mangsa seperti kami?

v). Bukanlah kami memilih emas permata, jauh sekali untuk bersifat haloba. Namun sewajarnya madu dihulur tidak bersalut tuba. Jika tepu di atas, jangan lompong di bawah. Kalau ada yang tiris, usah biarkan terus menitis atau lenyap di angin lalu.

vi. Ternyata tsunami membawa iktibar, sejarah dan keajaiban tersendiri. Keprihatian tuan serta seluruh warga, sesungguhnya adalah bakti paling terpuji. Bagaimanapun, nota ini sekadar suatu pernyataan terhadap peleraian jambak harapan hati, semoga amanah besar ini tidak dikhianati…!

Mudah-mudahan budi dan jasa tuan akan dikira sebagai amal soleh di sisi Allah S.W.T.

AZIM SALEH
Kg. Tanjung Tsunami

*(Petikan - Antologi Puisi Tsunami: Rakaman Sejarah Ngeri, terbitan Karyawangsa Sdn. Bhd. 2005)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...